Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua beradik kongsi rezeki, baiki rumah keluarga memerlukan secara percuma
Sebahagian hasil perniagaan syarikat K2 Handymen disalurkan bagi projek penambahbaikan rumah sehingga $1,500
Dua beradik kongsi rezeki, baiki rumah keluarga memerlukan secara percuma
Pengalaman melihat sendiri keadaan kediaman serba kekurangan ketika menjalankan kerja penyelenggaraan rumah mendorong dua beradik menggunakan kemahiran serta sebahagian hasil perniagaan mereka untuk membantu keluarga yang memerlukan.
Encik Muhamad Khairul Anwar Mohd Rosli, 40 tahun, dan adiknya, Encik Muhammad Redha Jamali, 23 tahun, mengendalikan K2 Handymen, sebuah syarikat yang menawarkan khidmat penyelenggaraan rumah seperti pendawaian elektrik, pemasangan peralatan dan kerja pertukangan.
“Sepanjang kami berada di dalam industri sebagai handyman atau juruelektrik, kami banyak berjumpa dengan klien yang mempunyai rumah yang agak daif dan memerlukan perhatian.
“Ini termasuk dari segi keselamatan, kesihatan dan keselesaan penghuni, lebih-lebih lagi warga emas, ibu tunggal atau anak-anak kecil yang kurang bernasib baik,” kata Encik Khairul, abang sulung daripada lima beradik, ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Berbekalkan pengalaman itu, mereka memuat naik sebuah video di TikTok pada Ogos untuk mengajak orang ramai mencalonkan keluarga yang memerlukan bantuan penambahbaikan rumah daripada mereka secara percuma.
Menurutnya mereka, sekitar 30 individu menghubungi K2 Handymen dalam tempoh kira-kira sebulan, untuk mencalonkan diri atau keluarga lain bagi menerima bantuan.
Setiap permohonan dinilai berdasarkan keadaan kediaman dan keadaan keluarga, termasuk menerusi gambar serta video yang dihantar oleh pemohon, dengan keutamaan diberikan antaranya kepada warga emas dan ibu tunggal yang mempunyai tanggungan kewangan atau berdepan masalah kesihatan.
Bagi projek pertama inisiatif kemasyarakatan itu, dua beradik tersebut memilih Cik Sariana Majid, 39 tahun, seorang ibu tunggal kepada enam anak berusia antara enam dengan 16 tahun.
Menurut Cik Sariana, beliau mendapat tahu mengenai inisiatif itu selepas seorang rakannya menghantar video TikTok K2 Handymen kepadanya.
Beliau kemudian menghubungi syarikat itu menerusi WhatsApp dan menghantar gambar serta video keadaan rumah sewanya untuk dipertimbangkan.
Cik Sariana bekerja sambilan sebagai penghantar makanan GrabFood, selain menjalankan perniagaan kuih secara kecil-kecilan dari rumah.
Pada 30 September, K2 Handymen menjalankan kerja penambahbaikan di bahagian dapur rumah Cik Sariana, termasuk memasang kabinet dapur.
Berbeza daripada kerja pertukangan yang terbina dalam, kedua beradik itu berkata mereka menggunakan barangan sedia ada, termasuk perabot daripada IKEA, sebelum memasang dan mengubah suainya mengikut keperluan rumah tersebut.
Bagi projek yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat itu, Encik Khairul mereka menetapkan had sehingga $1,500 bagi setiap kediaman.
“Saya hantar seperti yang diminta dan tidak sangka akhirnya rumah kami terpilih untuk melalui proses ubah suai itu,” kata Cik Sariana dengan penuh kesyukuran.
Menurutnya, bantuan tersebut amat bermakna kerana rumah merupakan tempat beliau dan anak-anaknya berkumpul, berehat dan menjalani kehidupan bersama.
“Proses ubah suai ini bukan sahaja mencantikkan rumah, tetapi memberikan kami ruang yang lebih selamat, selesa dan sesuai untuk saya membesarkan anak-anak,” katanya lagi.
Ditubuhkan pada Ogos 2019, K2 Handymen kini mengendalikan sekitar 30 projek sebulan, termasuk pendawaian elektrik, pemasangan pemanas air, kerja pertukangan dan pelbagai kerja penyelenggaraan rumah.
Minat Encik Khairul dalam bidang tersebut turut dipengaruhi bapanya, Encik Jamali Dawood, yang pernah menjalankan perniagaan berkaitan penghantaran dan menyara keluarga dengan bekerja sendiri.
Encik Khairul mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan teknologi elektrik, manakala Encik Redha menyertai perniagaan tersebut bagi membantu operasinya.
Buat permulaan, kedua-dua beradik itu berkata mereka menyasarkan untuk membantu satu atau dua kediaman setiap bulan sambil mengimbangi inisiatif tersebut dengan tuntutan operasi perniagaan mereka.
Mereka merancang memperuntukkan satu atau dua hari, biasanya pada hujung bulan, untuk menjalankan kerja penambahkaian secara percuma.
Menurut mereka, jumlah penerima bantuan boleh ditambah pada masa akan datang sekiranya perniagaan berkembang dan mempunyai tenaga kerja yang mencukupi.
Bagi Encik Khairul dan Encik Redha, usaha tersebut bukan sekadar peluang menggunakan kemahiran mereka untuk membantu golongan yang memerlukan, malah satu cara berkongsi rezeki dengan masyarakat.
“Setakat ini, kami cuma berharap agar kami dapat membantu memberi senyuman kepada orang-orang yang lebih memerlukan.
“Tidak semua orang bernasib baik dan kami rasa ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami sebagai orang Islam untuk membantu satu sama lain, tidak kira bangsa atau agama,” terang mereka.