Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua sahabat tawar khidmat susun rumah, bantu pelanggan urus lambakan barang
Ditubuhkan pada Februari 2026, The Space Edit telah membantu menyusun sekitar 60 rumah
Dua sahabat tawar khidmat susun rumah, bantu pelanggan urus lambakan barang
Barang-barang yang dikumpulkan selama berpuluh-puluh tahun lazimnya bukan mudah untuk dilepaskan, lebih-lebih lagi apabila setiap satunya menyimpan kenangan atau dianggap masih berguna pada masa depan.
Bagi sesetengah warga emas, mengemas dan mengosongkan bilik bukan sekadar soal memilih barang yang ingin disimpan atau dibuang, malah turut melibatkan ikatan emosi terhadap barangan tersebut.
Perkara ini disaksikan sendiri oleh Cik Humairah Junid dan Cik Nurussakinah Yahya ketika membantu seorang wanita berusia lingkungan 70-an mengemas dan menyusun semula biliknya.
Selama dua hari, kedua-dua sahabat sejak sekolah rendah itu, yang juga pengasas bersama perkhidmatan pengurusan dan penyusunan rumah di Singapura, The Space Edit, membantu wanita berkenaan menguruskan barangan yang telah lama disimpannya.
Daripada mendesaknya supaya membuang barang yang tidak lagi diperlukan, mereka mencadangkan agar barangan tersebut didermakan kepada golongan yang memerlukan.
Menurut mereka, cadangan itu diterima baik oleh wanita berkenaan, yang selama ini menyimpan sebahagian barang dengan harapan dapat mewariskannya kepada anak dan cucu.
“Ini merupakan antara pendekatan yang kami gunakan supaya klien seperti beliau lebih terbuka untuk melepaskan barang yang tidak lagi diperlukan,” kata Cik Nurussakinah, 33 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Ditubuhkan pada Februari lalu, The Space Edit menawarkan khidmat penyusunan dan pengurusan ruang kediaman sebagai alternatif kepada perkhidmatan reka bentuk dalaman konvensional.
Syarikat itu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan lambakan barang, menyusun semula ruang dan meningkatkan fungsi kediaman, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
“Minat terhadap penyusunan ruang sebenarnya telah lama berputik.
“Cuma saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perbandingan agama sebelum kembali mengejar minat dalam reka bentuk dan pengurusan ruang selepas menamatkan pengajian,” kata Cik Humairah, 33 tahun, yang juga pengasas Hubakesmaicake.
Cik Nurussakinah pula sememangnya gemar mengemas, membersih, dan memastikan ruang kediaman sentiasa teratur, sekali gus menjadikan beliau rakan yang sesuai untuk mengusahakan perniagaan tersebut.
Selain minat yang sehaluan, Cik Humairah turut menghargai kesungguhan Cik Nurussakinah dalam memperjuangkan kesejahteraan mental wanita, yang menjadi antara nilai penting dalam membentuk hala tuju perniagaan mereka.
“Usaha seperti ini bukan sekadar menjadikan kediaman kelihatan cantik dan teratur, tetapi bertujuan membantu penghuni berasa lebih tenang, selesa dan kurang tertekan dalam ruang kediaman sendiri,” terang Cik Nurussakinah, yang juga seorang jurulatih bersama Hundred Paths Forest School.
Sejak memulakan operasi, mereka telah membantu menyusun sekitar 60 rumah, termasuk pelanggan yang mendapatkan khidmat secara berperingkat bagi mengemas bahagian kediaman yang berbeza.
Menurut Cik Humairah dan Cik Nurussakinah, antara pelanggan utama ialah ibu bekerja yang sukar menguruskan dapur atau bilik anak, keluarga yang memerlukan bantuan mengemas rumah ibu bapa yang lanjut usia, serta individu yang berdepan masalah lambakan barang.
Mereka turut menawarkan khidmat mengemas, membuka bungkusan, dan menyusun barangan bagi klien yang berpindah ke kediaman baharu.
Menurut kedua-dua pengasas itu, antara salah tanggapan yang sering ditemui ialah masalah rumah bersepah boleh diselesaikan hanya dengan membeli lebih banyak kotak atau bekas penyimpanan.
“Sebenarnya, proses penyusunan perlu bermula dengan mengenal pasti barang yang benar-benar diperlukan sebelum sistem penyimpanan yang sesuai diwujudkan.
“Kami sering menemui pelanggan yang sudah membeli pelbagai bekas dan alat penyusun, tetapi masih berdepan masalah ruang kerana tiada sistem yang sesuai untuk memastikan barangan kekal teratur,” jelas Cik Nurussakinah.
Sebelum memulakan kerja, mereka meminta pelanggan berkongsi gambar dan video ruang yang ingin dikemas, selain berbincang bagi memahami keperluan serta menentukan jumlah tenaga kerja, tempoh masa dan kelengkapan penyimpanan yang diperlukan.
Namun, mereka menegaskan bahawa tiada barang milik pelanggan akan dibuang tanpa kebenaran.
Harga perkhidmatan The Space Edit bermula daripada $800, bergantung pada keadaan dan keperluan ruang, termasuk bekalan penyusunan tanpa had serta khidmat pengemas profesional, dengan kos turut mengambil kira sewaan ruang penyimpanan, bekalan pihak luar dan tenaga kerja.
Walaupun kelihatan seperti tugas mengemas biasa, Cik Humairah dan Cik Nurussakinah berkata kerja penyusunan ruang memerlukan tenaga fizikal yang tinggi, dengan setiap sesi berlangsung antara lima hingga lapan jam dan sesetengah projek memerlukan tenaga kerja tambahan.
Namun, kepuasan melihat perubahan pada kehidupan pelanggan menjadi pendorong kepada kedua-dua sahabat itu untuk meneruskan usaha mereka.
Menurut mereka, ada pelanggan yang berasa lega apabila rumah kembali teratur, malah ada yang tersentuh melihat ruang kediaman mereka menjadi lebih selesa untuk digunakan.
Bagi Cik Humairah dan Cik Nurussakinah, matlamat The Space Edit bukan sekadar menjadikan rumah lebih kemas, tetapi membantu penghuni mewujudkan persekitaran yang berfungsi, selesa dan menyokong kesejahteraan emosi.
“Kami juga merasakan bahawa penting untuk memahami pengalaman klien warga emas.
“Ramai antara mereka telah melalui proses pembandaran pesat di Singapura dan menyaksikan begitu banyak perubahan sepanjang hayat mereka.
“Setiap generasi mengalami dan menyesuaikan diri dengan perubahan secara berbeza, dan pengalaman ini boleh mempengaruhi hubungan mereka dengan barangan yang dimiliki.
“Dalam kehidupan di bandar yang serba pantas, kita sentiasa terdedah kepada budaya kepenggunaan dan tekanan untuk mengikuti perkembangan semasa, sehingga tanpa disedari, semakin banyak barang terkumpul.
“Di sebalik setiap ruang yang dipenuhi barang, terdapat individu dengan kisah hidup yang mungkin tidak kita fahami sepenuhnya,” akhiri Cik Nurussakinah.