Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu pendiam akibat tumor otak, anak bongsu tujuh beradik kini lebih mudah bergaul
Sokongan keluarga, terapi bantu murid Darjah Tiga jalani kehidupan lebih aktif selepas dua pembedahan
Dulu pendiam akibat tumor otak, anak bongsu tujuh beradik kini lebih mudah bergaul
Dahulu pendiam dan sukar meluahkan perasaan selepas disahkan menghidap tumor otak, Nur Maisarah Johari, sembilan tahun, kini gemar menari, bergurau dengan adik-beradiknya dan bergaul dengan rakan di sekolah.
Perubahan pada anak bongsu tujuh beradik itu disifatkan sebagai sesuatu yang amat bermakna oleh ibunya, Cik Zalina Eksan, 50 tahun, yang menyaksikan sendiri perjuangan Maisarah sejak ketumbuhan tersebut dikesan pada 2022.
“Dia seorang anak yang sangat kental dan bersemangat. Sejurus selepas pembedahan, dia sudah boleh berjalan untuk melalui sesi fisioterapi walaupun masih terdapat beberapa wayar yang bersambung pada badannya,” kongsi Cik Zalina.
Perjalanan itu bukan mudah bagi suri rumah sepenuh masa tersebut, yang perlu menjaga Maisarah di samping menguruskan enam lagi anaknya dan suami yang menghidap penyakit jantung.
Menurutnya, sokongan keluarga, pihak sekolah, dan Persatuan Tumor Otak Singapura (BTSS) membantu Maisarah menjalani kehidupan lebih aktif serta membina keyakinan dirinya.
Dalam usaha memperkukuh sokongan kepada pesakit tumor otak, BTSS mengumumkan geran berjumlah $200,000 sempena acara Brainy Car Rally 2026 di Politeknik Republic pada 31 Oktober.
Geran sebanyak $100,000 setiap satu akan disalurkan kepada Institut Sains Neuro Nasional (NNI) dan Institut Barah Universiti Nasional, Singapura (NCIS), bagi menyokong penyelaras penjagaan klinikal yang membantu pesakit menyesuaikan diri selepas keluar dari hospital, termasuk sepanjang tempoh pemulihan.
Mengimbas kembali detik sebelum diagnosis, Cik Zalina berkata guru tadika Maisarah mula menyedari perubahan pada matanya yang kelihatan sedikit juling, selain tingkah lakunya yang semakin pendiam dan sukar memberikan tumpuan.
Maisarah kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk menjalani pemeriksaan lanjut, termasuk imbasan resonans magnetik (MRI), yang mengesan ketumbuhan pada otaknya.
“Apabila doktor menyampaikan berita itu, saya sangat terkejut sehingga kelu lidah, tetapi saya terima apa yang Allah takdirkan.
“Saya tidak pernah terfikir anak saya akan menghidap penyakit seperti itu, tetapi saya harus tabah menghadapinya dan membuat yang terbaik untuk dia,” cerita Cik Zalina.
Cik Zalina berkata Maisarah menjalani pembedahan pertama pada 2022, diikuti pembedahan kedua sekitar 2024, dan kemudian menerima terapi proton yang memerlukan beliau dibius supaya tidak bergerak sepanjang rawatan.
Menurutnya, antara detik paling sukar bagi beliau ialah melihat anak kecilnya dibawa masuk ke bilik pembedahan dan menunggu sehingga terlupa makan kerana terlalu bimbang.
Selepas pembedahan kedua, Cik Zalina berkata beliau mula melihat perubahan ketara pada anaknya, yang semakin mudah bergaul dengan rakan dan meluahkan perasaan.
“Apabila mendengar muzik yang rancak, dia akan berjoget gembira. Kami belajar menerima ujian ini dengan fikiran positif dan bersabar,” ujarnya.
Maisarah, yang kini berada dalam Darjah Tiga, juga gemar menonton kartun dan membaca buku.
Ketika Berita Harian (BH) menemui keluarga itu di rumah mereka, Maisarah kelihatan membaca buku bersama kakaknya, Nur Jehan Johari, 14 tahun.
“Saya suka membaca buku bahasa Melayu dan belajar Bahasa Ibunda,” bisik Maisarah secara malu.
Walaupun tumor otak Maisarah kini sudah tiada, Cik Zalina berkata anaknya masih memerlukan pemeriksaan MRI tahunan, pemantauan hormon, dan memakan tiga jenis ubat.
“Maisarah juga mempunyai tiub shunt kekal yang fleksibel, dipasang di dalam kepalanya dan bersambung dari otak, melalui belakang telinga hingga ke bahagian berhampiran buah pinggang, untuk mengawal aliran dan mengalirkan lebihan cecair,” jelasnya.
Bagi membantu masalah penglihatannya, Cik Zalina sering mengajak Maisarah mengecam objek dan papan tanda ketika berada di luar rumah.
“Saya tidak mahu dia diasingkan daripada pergaulan rakan sebaya dan terperangkap dalam dunianya sendiri,” tambahnya.
Bagi Cik Zalina, tanggungjawab menjaga Maisarah turut menuntut kesabaran kerana suaminya, Encik Johari Rahmad, 55 tahun, menghidap penyakit jantung dan telah menjalani prosedur pemasangan dua sten.
Menurut beliau, anak-anaknya yang lebih dewasa turut membantu menjaga Maisarah, khususnya memastikan adik bongsu mereka mengambil ubat mengikut jadual.
“Dahulu saya seorang yang cepat marah dan kurang sabar. Tetapi, selepas melalui ujian penyakit anak dan suami ini, saya belajar untuk tenang, banyak bersabar, dan tidak mengeluh,” katanya.
Cik Zalina turut menghargai bantuan BTSS yang menyediakan terapi, kaunseling, dan sokongan emosi kepada keluarganya.
“Melalui perkongsian bersama ibu bapa lain di BTSS yang pernah kehilangan anak, kami sedar betapa berharganya peluang yang kami ada ini untuk terus menyayangi dan mendidik anak kami.
“Kami perlu kuat dari segi mental, saling bekerjasama, dan menghargai insan tersayang selagi mereka ada bersama kita,” nasihat Cik Zalina dalam nada sebak sambil menahan air mata daripada mengalir.