Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu serba hitam, kini berani bergaya penuh warna
Dulu serba hitam, kini berani bergaya penuh warna
Dulu serba hitam, kini berani bergaya penuh warna
Setiap pagi, Cik Marliyana Zahari memperuntukkan sehingga dua jam untuk bersiap.
Semuanya bermula dengan busana asas, lazimnya kebaya janggan – busana tradisional Jawa dengan kolar tinggi seperti kolar ceongsam.
Dari situ, beliau akan memadankan lapisan pakaian, permainan warna dan tekstur sebelum melengkapkan hijab yang digayakan secara kreatif.
Aksesori pula menjadi sentuhan terakhir.
Ini termasuk lencana, rantai kunci dan cincin yang telah dikumpul sejak bertahun-tahun untuk menghiasi penampilannya, disempurnakan dengan solekan mata berwarna-warni serta celak mata terang yang menjadi identiti gayanya.
Bagi sesetengah individu, penampilan itu mungkin kelihatan agak keterlaluan disebabkan lambakan aksesori.
Namun bagi eksekutif perkongsian berusia 24 tahun itu, setiap helaian pakaian dan aksesori merupakan cerminan dirinya.
“Anda pasti tidak percaya jika saya katakan yang saya bermula dengan hanya memakai pakaian berwarna hitam.
“Bagi saya ketika itu, warna hitam adalah pilihan paling selamat dalam fesyen Muslimah, dan sejujurnya, pilihan paling selamat di Singapura,” katanya kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Pengakuan itu sukar dibayangkan apabila melihat gaya Cik Marliyana hari ini.
Busana berwarna terang, cetakan yang saling bertembung, aksesori bersaiz besar dan lapisan demi lapisan pakaian kini menjadi sebahagian daripada identitinya.
Namun keberanian itu tidak muncul dalam sekelip mata.
Seperti ramai gadis berhijab lain yang masih mencari identiti diri, beliau pernah menganggap bahawa pakaian sopan bererti memilih gaya yang sederhana dan tidak menonjol.
Untuk tempoh yang lama, beliau mengehadkan pilihan fesyennya kerana percaya kreativiti perlu dikorbankan demi kesopanan.
Persepsi itu berubah sedikit demi sedikit apabila beliau mula meneroka fesyen 'maximalist’ – satu gaya yang meraikan prinsip lebih banyak bererti lebih baik.
Cik Marliyana mula mengumpul aksesori daripada kedai barang-barang terpakai atau 'thrift shop’ serta pereka tempatan bebas.
Apabila aksesori yang dijual di pasaran lebih cenderung kepada rekaan ‘minimalist’, beliau memilih untuk menghasilkan anting-anting sendiri, malah pernah mengusahakan perniagaan kecil menjual hasil ciptaannya pada 2023.
Berkongsi tentang barang yang mengandungi nilai sentimental paling tinggi daripada koleksi yang dimiliki, beliau berkata ia merupakan sepasang anting-anting berbentuk beg cangkerang Barbie.
“Ia mengingatkan saya kepada permulaan perjalanan fesyen saya.
“Teman lelaki saya ketika itu, yang kini bergelar tunang, sering menghadiahkan anting-anting kepada saya.
“Setiap kali memakainya, saya teringat sejauh mana saya telah berkembang dalam menemui gaya sendiri, serta insan-insan yang sentiasa menyokong saya,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.
Semangat untuk terus bereksperimen dengan pakaian sedia ada akhirnya menjadikan Cik Marliyana perhatian ramai di media sosial.
Segalanya bermula dengan kebaya janggan kuning yang dipakainya semasa sambutan Hari Raya 2026.
Selepas menerima pujian bahawa warna kuning sangat serasi dengan dirinya, beliau enggan membiarkan busana itu tersorok di dalam almari sehingga Aidilfitri berikutnya.
Sebaliknya, kebaya tersebut dijadikan asas kepada penampilan harian yang dipenuhi lapisan pakaian, aksesori dan warna-warna ceria.
Video yang dimuatnaiknya ke TikTok pada 7 Jun pantas tular, sekali gus menarik perhatian ramai yang jarang melihat busana tradisional Melayu digayakan dengan sentuhan kontemporari yang begitu berani.
Setakat ini, video itu telah meraih lebih 85,000 tontonan dan hampir 5,000 tanda suka.
Rata-rata, warganet memuji gaya penampilannya.
Seorang pengguna ‘cakey’ berkata:
“Saya sangat minat dengan gaya anda.”
Pengguna ‘HudahAnwar’ pula meninggalkan komen:
“Saya akan rasa sangat gembira jika dapat terserempak dengan awak di luar. Terima kasih kerana berani mengekspresikan diri!”
Walaupun pernah tular sebelum ini menerusi penampilan serba merah jambu di sebuah acara bertemakan fesyen Jepun, sambutan terhadap kebaya kuning itu meninggalkan kesan yang berbeza.
Berkongsi dengan BH, mesej yang paling menyentuh hatinya datang daripada golongan muda yang berhijab.
Ramai yang berkongsi bahawa kandungannya memberi keyakinan kepada mereka untuk bereksperimen dengan warna dan gaya tanpa merasakan bahawa hijab membataskan kreativiti.
“Semasa mula-mula bertudung, ada ketikanya saya sendiri rasa hijab mengehadkan apa yang boleh saya pakai.
“Lama-kelamaan, saya sedar bahawa hijab itu bukanlah batasannya. Sebaliknya, ia adalah tanggapan saya sendiri tentang bagaimana rupa fesyen bagi seorang yang berhijab,” katanya.
Bagi Cik Marliyana, kesopanan dan ekspresi diri tidak pernah bercanggah.
Sebaliknya, batasan tertentu sering mendorong seseorang menjadi lebih kreatif dalam mencari cara baharu untuk menggayakan pakaian yang dimiliki.
Kini, selepas banyak bereksperimen dengan warna-warna terang menerusi pengaruh sub-budaya fesyen Jepun seperti Decora dan Gyaru, beliau mahu meneroka dimensi baharu pula.
Perhatiannya kini lebih cenderung kepada permainan tekstur dan corak seperti tartan, cetakan harimau bintang, fabrik yang berbeza serta padanan corak yang sengaja dibiarkan bertembung.
Walaupun gayanya terus berkembang, prinsipnya tetap sama.
“Peraturan nombor satu saya ialah berhenti menggayakan pakaian demi memuaskan hati pengkritik imaginasi anda.
“Tidak kira apa yang anda pakai, pasti akan ada orang yang mempunyai pendapat tersendiri. Jika kita sentiasa cuba memuaskan hati semua orang, kita tidak akan benar-benar menemui gaya yang kita suka.
“Fesyen sepatutnya menyeronokkan, bukannya sesuatu yang menakutkan. Hijab pula telah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan gaya saya, dan bukan penghalang,” ujarnya.
