Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan ‘Prez-iden’ Halimah dalam bentuk mainan vintaj
Mantan ‘Prez-iden’ Halimah dalam bentuk mainan vintaj
Mantan ‘Prez-iden’ Halimah dalam bentuk mainan vintaj
Hanya ada satu di dunia ini dan ia sudah pun dijual pada harga $80.
Itulah mainan unik berbentuk bekas gula-gula vintaj, Pez, yang memaparkan wajah mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.
Sebaik sahaja mainan itu dimuat naik ke media sosial pada 11 Jun lalu, ramai warganet teruja melihat wajah pemimpin kegemaran ramai itu dijadikan karakter comel.
Pez ialah jenama gula-gula vintaj terkenal dari Austria yang sangat popular di seluruh dunia sejak era 80-an dan 90-an.
Keunikan Pez bukan pada rasanya, tetapi pada bekas plastik mekanikalnya yang mempunyai pelbagai kepala karakter kartun popular seperti Mickey Mouse atau Star Wars.
Cara makannya unik.
Anda perlu menolak kepala watak itu ke belakang dan sebiji gula-gula keras berbentuk segi empat tepat akan keluar dari bahagian ‘lehernya’.
Pereka di sebalik mainan buatan tangan itu hanya dikenali sebagai GT, anak watan Singapura berusia 40 tahun yang kini menetap di Australia.
Di bawah jenama Bird Hand Toys, GT menggunakan peraturan kata yang cukup bijak dengan menukarkan nama bekas gula-gula ikonik ‘Pez’ kepada ‘Prez’— singkatan bagi Presiden.
Meskipun bersaiz kecil, arca itu direka lengkap menampilkan ciri khas Puan Halimah, termasuk gaya tudungnya yang kemas serta bingkai cermin matanya.
Pada 11 Jun, ‘birdhandtoys.asia’ memuat naik hantaran di Instagram yang disertakan kapsyen menandakan ia sudah dijual.
“Menukarkan bekas gula-gula Pez kepada karya ini yang merujuk kepada (mantan) Presiden Halimah, menggunakan permainan kata ‘Prez/President’.
“Bungkusan gula-gula di dalamnya juga ditukar untuk disesuaikan dengan tema yang sama.
“(Saya) gembira dengan hasil projek ini dan saya sama sekali tidak mengesyorkan ia dimakan kerana terdapat banyak penggunaan gam untuk mencantumkan bahagian-bahagiannya. Boleh didapati secara dalam talian sebagai karya 1-of-1 (satu-satunya di dunia).”
Setakat ini, hantaran itu telah menerima hampir 6,000 tanda suka dan lebih 20 komen.
Lebih menarik, mainan koleksi dewasa ini turut disertai dengan bungkusan kad retro buatan khas, sebiji seperti gaya mainan kedai runcit pada era 80-an dan 90-an dahulu.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum melihat bagaimana seorang mantan pemimpin yang amat dihormati oleh masyarakat dalam bentuk seni pop moden yang kreatif.
Pengguna Instagram ‘77.1452542’ berkata:
“Alahai, cepat sangat habis dijual!”
Seorang lagi pengguna ‘jaydenation ’meninggalkan komen:
“Boleh buat lagi?”
Membalas, akaun jenama ‘birdhandtoys.asia’ menjawab:
“Mungkin presiden-presiden yang lain”.
Pengguna ‘bahalmas’ pula telah ‘tag’ akaun Instagram rasmi Puan Halimah sebagai cara memaklumkan Puan Halimah mengenai mainan itu.
Akaun ‘birdhandtoys.asia’ pula menjawab komen itu dengan nada bergurau:
“Ini sudah seperti murid mengadu kepada cikgu tentang kesalahan kawan sekelas.”
Berita Harian (BH) telah menghubungi GT untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai proses kreatifnya.
