Maklumat yang dipercayai mendedahkan identiti seorang ‘pempengaruh agama’ yang disabitkan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki tersebar di media sosial selepas dia dijatuhi hukuman penjara baru-baru ini.

Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH), kes tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan sesetengah pengguna media sosial yang mempersoalkan mengapa identiti pesalah tidak didedahkan dalam laporan berita.

Dalam kes itu, mahkamah telah mengenakan perintah larangan bersuara (gag order) yang melarang penerbitan nama, gambar, akaun media sosial, serta butiran lain yang boleh menyebabkan mangsa dikenal pasti.

Menurut laman Pejabat Peguam Negara (AGC), ‘gag order’ ialah perintah yang dikeluarkan mahkamah bagi melindungi identiti kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam prosiding mahkamah atau mangsa kesalahan jenayah, khususnya mangsa jenayah seksual.

Tujuan perintah ini adalah untuk melindungi saksi dan mangsa daripada rasa malu atau perhatian awam susulan prosiding mahkamah.

Menurut pengarah urusan firma guaman Shehzhadee Law Corporation, Cik Shehzhadee Abdul Rahman, perintah itu perlu dipatuhi oleh semua pihak dan bukan hanya media atau individu yang terlibat secara langsung dalam prosiding mahkamah.

Malah, katanya, larangan itu tidak hanya terpakai kepada pihak yang kali pertama mendedahkan maklumat berkenaan.

Beliau menambah bahawa individu yang berkongsi semula, memuat naik, atau menyebarkan maklumat yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti juga berpotensi melanggar perintah itu.

“Larangan ‘gag order’ tidak terhad kepada nama mangsa, sebaliknya boleh merangkumi pelbagai maklumat yang secara tidak langsung boleh membawa kepada pengenalpastian mereka.

“Antaranya termasuk nama sekolah, alamat tempat tinggal, nama ahli keluarga, serta hubungan mangsa dengan tertuduh,” ujarnya ketika dihubungi BH.

Menyentuh tentang kes melibatkan dua beradik itu, Cik Shehzhadee berkata masyarakat perlu memahami bahawa sekatan terhadap pendedahan identiti pesalah bukan bertujuan melindunginya, sebaliknya bagi mengelakkan mangsa daripada dikenal pasti.

Ini kerana meskipun pesalah telah dijatuhkan hukuman berat, pendedahan identitinya masih boleh menyebabkan identiti mangsa terbongkar, khususnya jika mereka mempunyai hubungan yang rapat.

Menurut Cik Shehzhadee, kesannya boleh berpanjangan memandangkan maklumat yang telah tersebar di internet dan media sosial sukar dipadamkan sepenuhnya.

“Bayangkan beberapa tahun atau beberapa dekad akan datang, maklumat itu masih boleh dicari, dikongsi, dan dilihat oleh orang ramai.

“Itu boleh memberikan kesan trauma yang sangat besar kepada mangsa,” jelasnya.

Cik Shehzhadee berkata beliau memahami kemarahan masyarakat terhadap pesalah, lebih-lebih lagi dalam kes membabitkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Namun, kemarahan itu tidak seharusnya mendorong orang ramai untuk “mengetepikan perintah mahkamah atau mengambil tindakan sendiri dengan mendedahkan identiti pesalah” di media sosial, katanya.

Sebaliknya, beliau menggesa orang ramai supaya mempertimbangkan kesan sesuatu perkongsian terhadap mangsa sebelum memuat naik atau menyebarkan maklumat berkaitan kes tersebut.

“’Gag order’ diwujudkan untuk melindungi mangsa, bukan pesalah.

“Jadi, jangan ambil mudah atau memandang ringan perintah ini.

“Mereka yang melanggar perintah berkenaan boleh berdepan tindakan undang-undang,” nasihat beliau.