Gangguan elektrik jejas majlis Nisfu Syaaban di Masjid Al-Falah
Gangguan elektrik jejas majlis Nisfu Syaaban di Masjid Al-Falah
Suasana di Masjid Al-Falah berdekatan Orchard Road diselubungi kegelapan seketika semasa majlis tahlil sempena malam Nisfu Sya’ban pada 2 Februari.
Menurut satu catatan Facebook pada hari sama, masjid tersebut memaklumkan bahawa “kini berlaku gangguan bekalan elektrik di Cairnhill9 yang menjejaskan Masjid Al-Falah serta Majlis Nisfu Sya’ban kami”.
“Pihak kami sedang bekerjasama rapat dengan pengurusan bangunan bagi memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin.
“Orang ramai diminta agar bertenang kerana program akan diteruskan seperti yang dirancang,” menurut catatan tersebut.
Menurut hantaran di Instagram yang dimuat naik Masjid Al-Falah pada 30 Januari, majlis tersebut dijadual berlangsung dari 6 hingga 9 malam di Dewan Solat Utama masjid berkenaan.
Orang ramai dijemput untuk menyertai “Tahlil Akbar dan khatam 40 hadis Imam Nawawi, satu malam istimewa untuk mengingati, bermuhasabah dan berdoa”.
Siaran langsung majlis tersebut turut dimuat naik di YouTube pada 2 Februari.
Dalam video berkenaan, suasana di dalam masjid kelihatan gelap buat seketika sebelum lampu dinyalakan ke arah ustaz-ustaz yang mengiringi majlis itu.
Berita Harian telah menghubungi Masjid Al-Falah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

