Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memerlukan masjid mempunyai perjanjian rasmi secara bertulis bagi mendapatkan khidmat asatizah yang bergerak secara bebas dengan menetapkan syarat utama termasuk skop kerja, tempoh, keperluan notis dan pembayaran.
Dalam satu kenyataannya kepada Berita Harian (BH) pada 13 Januari, Muis berkata ia juga sedang menyemak insiden berkaitan dakwaan pemberhentian mengejut kelas Ustazah Shameem Sultanah di Masjid Al-Falah di Bideford Road.
Ini bagi menentukan fakta dan memastikan panduan relevan telah dipatuhi, tambah Muis.
Isu ini menarik perhatian selepas Ustazah Shameem mendakwa dalam satu hantaran di Facebook pada 5 Januari lalu bahawa kelas bulanan wanita kendaliannya di Masjid Al-Falah tidak akan diteruskan pada 2026.
Beliau mendakwa bahawa dirinya tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perkara itu lantas tidak berpeluang untuk mengakhiri sesi pengajiannya semasa kelas terakhirnya itu.
“Muis akan menyemak insiden itu bagi mengesahkan fakta dan memastikan panduan relevan telah dipatuhi.
“Muis memerlukan masjid mempunyai perjanjian rasmi secara bertulis bagi mendapatkan khidmat asatizah yang bergerak secara bebas dengan menetapkan syarat utama termasuk skop kerja, tempoh, keperluan notis dan pembayaran.
“Asatizah boleh menghubungi Muis secara langsung untuk maklum balas atau kemusykilan dengan pihak pengurusan masjid,” kata Muis.
Kenyataan itu menambah bahawa Muis akan mengambil tindakan yang perlu berdasarkan hasil semakan itu dan akan terus bekerjasama dengan masjid untuk memastikan tadbir urus dan piawai profesional yang betul dikekalkan.
“Kami kekal komited menyokong masjid dan asatizah kami, dan untuk menegakkan piawai yang melindungi kepercayaan serta keyakinan masyarakat kita,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu dalam respons e-melnya kepada BH, pihak Masjid Al-Falah meminta agar semua pertanyaan dirujuk terus kepada kenyataan Muis.
Ustazah Shameem yang dihubungi wartawan menerusi WhatsApp juga memilih untuk tidak memberikan ulasan tambahan buat masa ini.
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) turut memaklumkan menerusi e-mel bahawa mereka enggan mengulas mengenai isu tersebut.
Menurut seorang ustaz yang enggan dinamakan, beliau mendakwa secara lazim, pihak masjid akan menghubungi asatizah atau pembantu peribadi asatizah melalui Whatsapp, panggilan telefon atau e-mel untuk membuat tempahan awal misalnya bagi khidmat ceramah, khatib, imam atau lain-lain lagi.
“Setelah ia disahkan, ada beberapa pihak masjid yang akan menghantar e-mel undangan rasmi atau mengirimkan surat.
“Namun bagi saya, melalui pesanan ringkas seperti mesej juga mencukupi dan tidak perlukan surat rasmi,” dakwa ustaz itu.
“Tetapi, tugasan ini berbeza berbanding kuliah tetap yang memerlukan komitmen panjang dan biasanya terikat dengan kontrak daripada suku tahunan sehingga bertahun, tertakluk kepada semakan dan persetujuan bersama,” tambah ustaz itu lagi.
Seorang lagi ustazah tempatan yang bekerja secara bebas dan berpengalaman, Ustazah Farhana Munshi, pula berkata hubungan berkaitan khidmat antara asatizah dengan masjid sering kali bergantung kepada kepercayaan berbanding dokumen rasmi.
“Saya tidak ingat jika diberikan kontrak,” ujar Ustazah Farhana mengenai pengalamannya.
Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana setakat ini mempunyai hubungan profesional yang baik dengan pihak masjid. Sebelum ini, beliau pernah mengajar di Masjid Khalid dan Masjid Darussalam sebelum pandemik Covid-19.
Dalam catatan Instagram beliau pada 7 Januari, seorang ustaz bekerja bebas yang mendakwa pernah menjadi Pegawai Dakwah (MRO), Ustaz Muhammad Haziq Zainal menekankan pentingnya pembaharuan kontrak tahunan secara konsisten.
“Kontrak ini menyatakan dengan jelas mengenai pembayaran, tempoh dan sebab (kelas) ditamatkan. Walaupun pentadbirannya berat, langkah ini melindungi kedua-dua pihak,” kongsi beliau yang telah membuka syarikat pengurusan jenazah sendiri baru-baru ini.
Ustaz Leyaket Ali Mohamad Omar pula berkata bahawa majlis ilmu adalah ruang amanah yang memerlukan adab dan komunikasi yang jelas.
Dalam satu hantaran peribadi di Facebook pada 5 Januari, beliau berkata:
“Apa yang paling dibimbangkan bukanlah keputusan itu sendiri, tetapi ketiadaan penutup yang tepat, baik untuk guru yang berkhidmat dengan ikhlas dan untuk jemaah yang meluangkan masa, amanah, dan cinta ilmu.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg