Topik diikuti
Pergi ke BHkuGara-gara tak nak adik, si cilik tulis surat kepada PM Wong
Dia tidak mahu adik, malah wang yang ditawarkan untuk menggalakkan keluarga mempunyai lebih ramai anak juga tidak mampu mengubah fikirannya.
Apa yang diinginkan Sarah Aafiyah Khairul Azhar, enam tahun, hanyalah untuk terus menikmati pelukan ibu bapanya sebelum tidur dan inginkan lebih banyak masa bersama mereka.
Jadi, apabila ibunya, Cik Siti Humairah Suhaimi, 36 tahun, bergurau bahawa Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mahu rakyat Singapura mempunyai lebih ramai anak, Sarah mengambil kata-kata itu dengan serius.
Pada 26 Ogos, dia menulis sendiri sepucuk surat kepada Encik Wong untuk meminta ‘kebenaran’ agar keluarganya tidak perlu mempunyai anak lagi.
Menurut Cik Humairah, surat itu dikirim ke pejabat Encik Wong pada keesokan harinya.
Tidak sampai seminggu kemudian, pada 30 Ogos, Encik Wong membalas surat Sarah.
“Sila sampaikan ucapan terima kasih kepada Sarah kerana sudi meluangkan masa untuk menulis surat kepada saya!
“Sila yakinkan dia bahawa dia tidak memerlukan keizinan saya untuk kekal sebagai anak bongsu dalam keluarga.
“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk menjadikan Singapura sebuah tempat yang baik bagi keluarga membesarkan anak-anak mereka – sama ada mereka membuat keputusan untuk mempunyai dua, tiga, atau lebih anak!” tulis Encik Wong.
Namun, apabila ditanya bagaimana perasaannya selepas menerima balasan itu, Cik Humairah berkata Sarah hanya menjawab ringkas: “Good” atau ‘baik’.
Cik Humairah, yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden Operasi di SSA Group, kemudian meminta Sarah membaca sendiri emel tersebut.
Menurutnya, semuanya berjalan lancar sehingga Sarah tiba di bahagian penutup.
Apabila melihat ucapan “Warm regards, Lawrence Wong (Salam mesra, Lawrence Wong),” Sarah membacanya sebagai “Warm regrets, Lawrence Wong (Penyesalan mesra, Lawrence Wong),” lantas membuat keluarganya tergelak.
Sarah sememangnya sejak awal tidak pernah bersetuju dengan idea mempunyai adik, kata Cik Sarah.
Dia merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan juga yang paling muda dalam kalangan sepupu di kedua-dua belah keluarga.
Menurut Cik Humairah, Sarah bimbang kehadiran seorang bayi akan mengubah rutin dan mengurangkan masa yang biasa diluangkannya bersama ibu bapanya.
“Dia dah biasa dengan rutin waktu malam bersama kami. Dia suka kami peluknya sebelum tidur.
“Tengah malam pun kadang-kadang dia akan menyelinap masuk ke bilik kami dan tidur atas katil kami,” katanya.
Namun, pendirian Sarah bukan sebab keluarga itu memutuskan untuk tidak menambah cahaya mata.
Cik Humairah dan suaminya, Encik Khairul Azhar Mondzi, 41 tahun, telah memutuskan sejak awal perkahwinan untuk mempunyai dua anak sahaja setelah mengambil kira tuntutan kerja serta pengalaman kehamilan dan kelahiran yang tidak mudah.
Anak pertama mereka, Adam Raees Khairul Azhar, dilahirkan melalui pembedahan crash Caeserean, manakala Sarah pula melalui pembedahan Caesarean kecemasan (emergency Caeserean).
Menurut Cik Humairah, beliau sering bergurau tentang kemungkinan mengandung lagi kerana Sarah mudah beremosi apabila perkara itu dibangkitkan.
Selepas Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 23 Ogos, beliau sekali lagi mengusik Sarah dengan mengatakan bahawa Encik Wong mahu rakyat Singapura mempunyai lebih ramai anak dan pemerintah akan memberikan banyak wang kepada keluarga.
Kali ini, kata Cik Humairah, Sarah menangis dan bertanya kepadanya bagaimana hendak mengeja ‘Lawrence’.
Cik Humairah berkata beliau sengaja enggan membantu Sarah sambil berseloroh bahawa jika Encik Wong tahu beliau membantu menulis surat tersebut, permintaannya mungkin tidak akan diluluskan.
Menurut Cik Humairah lagi, Sarah tidak berputus asa dan mengambil sehelai kertas foolscap milik abangnya dan menulis surat itu sendiri.
Keesokan harinya, mereka ke SingPost untuk membeli setem sebelum Sarah sendiri memasukkan surat itu ke dalam peti surat.
Cik Humairah kemudian menghubungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui e-mel untuk memberikan konteks mengenai surat anaknya itu, tetapi tidak menyangka akan menerima sebarang balasan.
“Saya sebenarnya tidak menjangka langsung akan mendapat jawapan. Hakikatnya beliau membalas, dan pada malam Ahad pula,” ujarnya.
Walaupun Sarah tidak banyak memberikan reaksi selain mengatakan “good (baik)”, pengalaman itu tetap istimewa bagi Cik Humairah kerana ia kali pertama anaknya sanggup duduk dan menulis sesuatu dengan sendiri.
Biasanya, kata beliau, agak sukar untuk memujuk Sarah melakukan latihan menulis ketika waktu ulang kaji.
“Kalau tidak, memang susah hendak suruh dia bekerjasama dan buat latihan,” tambahnya.
Cik Humairah berkata Sarah juga tidak bercadang untuk membalas surat Encik Wong.
Namun, beliau berharap pengalaman itu mungkin membuka ruang untuk Sarah menulis lagi mengenai perkara lain yang dirasakan penting baginya.
Di rumah, Cik Humairah berkata Sarah dan abangnya mengenali Encik Wong sebagai ‘Singapore’s Big Daddy’ kerana mereka masih belum memahami sepenuhnya peranan seorang Perdana Menteri.
Menurut Cik Humairah, gelaran itu turut digunakan beliau dan suaminya apabila menerangkan dasar tertentu kepada anak-anak mereka.
Misalnya, apabila Encik Wong menyentuh mengenai had masa skrin untuk kanak-kanak, pasangan itu akan memberitahu anak mereka:
“Tak boleh tengok televisyen sebab ‘Big Daddy’ kata tak boleh.”
Walaupun beliau tidak merancang untuk menambah cahaya mata, Cik Humairah melihat langkah sokongan yang diumumkan dalam NDR sebagai sesuatu yang dapat membantu keluarga.
“Saya rasa langkah-langkah ini lebih kepada menyokong keluarga yang memang sudah mahu mempunyai lebih ramai anak.
“Bantuan kewangan itu akhirnya dapat meringankan sebahagian pertimbangan kewangan yang datang dengan keputusan tersebut.
“Setiap keluarga tetap perlu membuat keputusan sendiri, menilai sumber, keadaan dan kemampuan masing-masing, dan membuat keputusan yang paling sesuai untuk keluarga mereka,” katanya lagi.
