Ketika berusia 16 tahun, Cik Sara Anisa Sallehuddin mengubah bilik tidurnya menjadi ruang menerima pelanggan selepas mempelajari seni dandanan rambut secara sendiri menerusi tutorial di YouTube.

Kini, berusia 18 tahun, pelajar tahun ketiga jurusan Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Politeknik Ngee Ann itu mengendalikan Braidistry™, perkhidmatan dandanan rambut khusus dalam gaya cornrows (anyaman rambut rapat ke kulit kepala dalam corak barisan) dan box braids (anyaman berpetak yang dibahagikan kepada bahagian kecil).

Minat Cik Anisa terhadap dandanan tocang rambut, atau braiding, mula berputik sejak di bangku sekolah rendah apabila beliau gemar menggayakan rambut sendiri sebelum ke sekolah.

Apabila semakin tertarik dengan gaya seperti cornrows dan box braids, beliau mula mendalami teknik tersebut dengan menonton tutorial di YouTube serta mengikuti hasil kerja pendandan braiding dari Amerika Syarikat, Afrika, Brazil dan Bali.

“Di Singapura, perniagaan dandan braid bukan sesuatu yang lazim, terutamanya dalam kalangan masyarakat kita, jadi saya nampak ini sebagai peluang mencuba sesuatu yang unik,” kata Cik Anisa, kakak sulung kepada seorang lagi adik.

Cik Anisa mengambil masa sekitar tiga jam untuk menyelesaikan gaya dandanan ‘cornrows’ (anyaman rambut rapat ke kulit kepala dalam corak barisan) untuk pelanggannya. Khidmat ini berharga sekitar $200.
Cik Anisa mengambil masa sekitar tiga jam untuk menyelesaikan gaya dandanan ‘cornrows’ (anyaman rambut rapat ke kulit kepala dalam corak barisan) untuk pelanggannya. Khidmat ini berharga sekitar $200. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Tanpa mengikuti kursus formal, Cik Anisa terlebih dahulu mencuba gaya yang dipelajarinya pada rambut sendiri sebelum beralih kepada adik perempuan, bapa saudara, dan rakan sebagai model latihan.

Selepas berlatih sekitar empat bulan, beliau mula menawarkan perkhidmatan perniagaan dari rumah (HBB) dari bilik tidurnya pada 2024.

Ketika itu, Cik Anisa mengenakan bayaran bermula $40 bagi satu kepala sebelum menaikkannya secara berperingkat kepada $65 apabila kemahiran dan hasil kerjanya bertambah baik.

Kini, kadar perkhidmatannya bermula daripada $120, bergantung kepada gaya dan panjang rambut pelanggan.

Mengimbas kembali pelanggan pertamanya, Cik Anisa berkata pelanggan itu bukan daripada kalangan rakan sekolah atau kenalan rapat.

Sebaliknya, Cik Anisa memasarkan hasil kerjanya menerusi Instagram dan TikTok, sebelum membuka slot kepada orang ramai.

“Pelanggan pertama saya betul-betul orang luar, seorang wanita dewasa yang mahu membuat dandan rambut braid bagi majlis Makan Malam dan Tarian (D&D) syarikatnya,” imbau Cik Anisa.

Cik Anisa mula perniagaan dandanan rambut ‘braiding’ dari rumah dan kini bekerja secara bebas di kedai gunting rambut The Golden Rule Barber Co di 21 Bussorah Street.
Cik Anisa mula perniagaan dandanan rambut ‘braiding’ dari rumah dan kini bekerja secara bebas di kedai gunting rambut The Golden Rule Barber Co di 21 Bussorah Street. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Menurut Cik Anisa, langkahnya mendalami seni dandanan braid turut mendapat sokongan keluarga, termasuk ibunya yang merupakan guru sekolah menengah dan bapanya yang bekerja sebagai penyelam komersial.

Tambahnya, keluarga beliau juga membantunya menetapkan harga perkhidmatan, menyusun ruang di bilik tidur, serta berkongsi hasil kerjanya di media sosial.

“Keluarga saya tidak pernah menganggap minat ini sebagai membuang masa, malah mereka sangat menyokong minat saya ini,” jelasnya.

Cik Anisa kini mengendali Braidistry™ di kedai gunting rambut The Golden Rule Barber Co. (TGR) yang terletak di tingkat dua di 21 Bussorah Street.

Menurut Cik Anisa, titik perubahan bagi Braidistry™ berlaku pada Februari 2026 apabila pengasas TGR, Encik Yanto Sani, menghubunginya menerusi TikTok dan menawarkan ruang untuk beliau menjalankan perkhidmatannya di cawangan Bussorah Street.

Beliau berkata kerjasama itu membolehkannya beralih daripada menawarkan perniagaan dari rumah kepada persekitaran kedai dengan kemudahan mencuci dan mengeringkan rambut.

Di bawah pengaturan bekerja secara bebas itu, Cik Anisa menerima 70 peratus daripada bayaran bagi setiap perkhidmatan dilakukannya, manakala baki 30 peratus diserahkan kepada pihak kedai.

Beliau kini menerima purata tiga pelanggan seminggu bagi mengimbangi jadual sekolahnya.

Antara gaya paling mencabar yang pernah dilakukan Cik Anisa ialah ‘small boho box braids’ (gaya tocang berpetak kecil) yang mengambil masa sehingga 10 jam untuk disiapkan.
Antara gaya paling mencabar yang pernah dilakukan Cik Anisa ialah ‘small boho box braids’ (gaya tocang berpetak kecil) yang mengambil masa sehingga 10 jam untuk disiapkan. - Foto INSTAGRAM _BRAIDISTRY

Namun, menguruskan perniagaan ketika masih belajar bukan tanpa cabaran, katanya.

Menurut Cik Anisa, pendapatan bulanannya menerusi Braidistry™, yang menjadi sumber pendapatan utamanya, bergantung pada jumlah pelanggan yang tidak menentu.

“Tidak semestinya setiap bulan adalah bulan yang baik, tetapi itu merupakan sebahagian daripada proses menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Beliau berkata pengalaman itu mengajarnya supaya tidak hanya bergantung kepada jumlah pelanggan, sebaliknya sentiasa mencari peluang lain untuk menjana pendapatan sementara Braidistry™ terus berkembang.

Bagi Cik Anisa, kemahiran braiding memerlukan ketelitian, kesabaran serta pemahaman tentang bentuk kepala pelanggan kerana setiap gaya mempunyai corak dan pembahagian rambut yang berbeza.

Beliau menggunakan dua jenis gel khas – gel merah untuk ketahanan jalinan dan gel lutsinar untuk garis pembahagian yang kemas.

Selepas selesai menoncang rambut pelanggan, beliau menyapu ‘mousse’ dan menggunakan pengering rambut sebelum menyapu minyak untuk melembapkan kulit kepala pelanggan.

Menurut Cik Anisa, antara gaya paling mencabar yang pernah dilakukannya ialah small boho box braids (gaya tocang berpetak kecil) yang mengambil masa sehingga 10 jam untuk disiapkan.

Selain cabaran menghasilkan dandanan yang rumit, beliau turut berdepan salah tanggapan bahawa rambut yang ditocang tidak boleh dicuci.

“Ramai ingat rambut braid tak boleh dicuci, tetapi sebenarnya saya syorkan pelanggan mencuci rambut setiap dua hingga tiga hari sekali,” tambahnya.

Mengenai perancangan masa depan, Cik Anisa berhasrat mendalami diploma khas dalam bidang penggayaan rambut selepas menamatkan pengajiannya di Politeknik Ngee Ann.

“Jangan takut untuk menjadi unik atau berbeza kerana kalau semua orang memilih melakukan perkara yang sama, lebih menarik untuk kita menjadi orang yang berani mencuba sesuatu yang lain,” ujar Cik Anisa.