Bagi keluarga Cik Fariedah Kamaruzzaman, bantuan hidangan sedia dimakan atau ‘ready-to-eat (RTE) meals’ bukan sahaja memastikan ada lauk di rumah, malah membantu mereka menjimatkan sekitar $50 daripada perbelanjaan dapur setiap bulan.

Penjimatan itu membolehkan Cik Fariedah, 52 tahun, menggunakan wang yang ada bagi keperluan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, termasuk wang belanja sekolah $6 sehari dan perbelanjaan berkaitan kelas tambahan.

“Sebelum kami menerima bantuan hidangan RTE, kami belanja lebih daripada $150 untuk barang dapur dalam satu bulan.

“Selepas kami menerima bantuan itu, perbelanjaan kami tak cecah $100 pun,” kata bekas pegawai keselamatan itu ketika ditemui Berita Harian (BH) di flat sewa dua biliknya di Yishun.

Keluarga Cik Fariedah merupakan antara penerima program hidangan RTE kendalian badan amal Free Food For All (FFFA), yang membekalkan mereka sekitar 15 pek makanan setiap bulan.

Beliau dan suaminya, Encik Johari Ebdus, 62, tahun, mempunyai tiga anak serta empat cucu dan kini tinggal bersama anak bongsu mereka yang berada di Darjah 5, manakala dua anak yang lain tinggal berasingan.

Menurut Cik Fariedah, mereka mula menerima bantuan itu selepas mengetahui tentang program FFFA menerusi Facebook pada 2025.

Antara hidangan yang diterima ialah kari ayam dan ayam masak merah dalam uncang, yang lazimnya dimakan bersama nasi putih atau nasi beriani.

“Ada kalanya, kami menambah bahan sendiri seperti sayur dan ikan mengikut cita rasa kami.

“Kari ayam kegemaran anak perempuan saya, manakala kami berdua sendiri suka ayam masak merah,” ujar Cik Fariedah sambil tertawa bersama suaminya.

Namun, bagi pasangan itu, manfaat hidangan tersebut bukan hanya pada penjimatan wang, malah ia turut meringankan kerja menyediakan makanan untuk keluarga.

Encik Johari (kanan) dan Cik Fariedah menerima sekitar 15 pek hidangan RTE setiap bulan, termasuk kari ayam dan ayam masak merah yang menjadi antara kegemaran keluarga.
Encik Johari (kanan) dan Cik Fariedah menerima sekitar 15 pek hidangan RTE setiap bulan, termasuk kari ayam dan ayam masak merah yang menjadi antara kegemaran keluarga. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Ia memudahkan kerja kami kerana tak perlu fikir banyak, ‘Bahan ini ada tak? Kalau nak masak ini, apa yang perlu ada?’

“Kami juga tak lagi perlu keluarkan ayam dari peti sejuk dan tunggu sehingga ia tidak lagi beku sebelum boleh dimasak.

“Hidangan RTE boleh disediakan dengan cepat apabila tiba waktu makan dan kami boleh tumpukan lebih banyak masa kepada anak dan cucu-cucu apabila mereka datang,” jelas Cik Fariedah.

Kini, hidangan sama yang diterima keluarga Cik Fariedah turut boleh dirasai orang ramai menerusi inisiatif baharu FFFA, ‘Buy One, Feed One Family’.

Di bawah inisiatif itu, orang ramai boleh membeli kotak berharga $65 yang mengandungi kesemua 11 jenis hidangan RTE yang turut diagihkan kepada penerima bantuan FFFA.

Ini merangkumi lauk seperti ayam masak merah, kari ayam dan ayam minyak bijan; hidangan berasaskan karbohidrat seperti nasi putih, nasi biryani, nasi lemak, nasi pulao kacang kuda, nasi cendawan claypot, serta bubur ayam dan bubur vegetarian; selain bubur kacang hijau sebagai pencuci mulut.

Antara hidangan RTE yang diagihkan FFFA kepada penerima bantuan. Sebanyak 11 jenis hidangan ditawarkan, termasuk ayam masak merah, kari ayam, dan pencuci mulut seperti bubur kacang hijau.
Antara hidangan RTE yang diagihkan FFFA kepada penerima bantuan. Sebanyak 11 jenis hidangan ditawarkan, termasuk ayam masak merah, kari ayam, dan pencuci mulut seperti bubur kacang hijau. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut FFFA, setiap kotak yang dibeli akan membiayai bekalan hidangan RTE selama sebulan bagi sebuah keluarga dalam programnya.

Cik Fariedah sebelum ini bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah bangunan komersial di Raffles Place sebelum berhenti kerja pada 2024 untuk menguruskan keperluan persekolahan anak bongsunya.

Encik Johari pula pernah bekerja sebagai penyelia pembersihan tetapi berhenti pada 2023 kerana tempat kerjanya di Jurong terlalu jauh dari kediaman mereka yang ketika itu terletak di Sembawang.

Menurut Encik Johari, beliau turut berdepan masalah kesihatan dan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Khoo Teck Puat selama kira-kira sebulan pada 2025 selepas mengalami batuk dan sesak nafas.

Beliau juga mengalami masalah aliran darah pada bahagian kaki sehingga kukunya menjadi hitam dan tertanggal.

Hidangan RTE yang dihantar Free Food For All (FFFA) kepada Cik Fariedah (kiri) dan Encik Johari turut membantu mereka menyediakan makanan dengan lebih mudah tanpa perlu memasak dari awal.
Hidangan RTE yang dihantar Free Food For All (FFFA) kepada Cik Fariedah (kiri) dan Encik Johari turut membantu mereka menyediakan makanan dengan lebih mudah tanpa perlu memasak dari awal. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi menampung kehidupan harian, keluarga tersebut menerima bantuan kewangan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO), termasuk bagi sewa rumah dan bil api dan air, selain bantuan bulanan sebanyak $300 daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Selain bantuan FFFA, keluarga itu mendapatkan barangan makanan daripada satu inisiatif masyarakat di kawasan kejiranan mereka yang mengagihkan antaranya telur dan barang keperluan asas setiap Selasa.

Meskipun mereka sendiri menerima beberapa bentuk bantuan, pasangan itu berkata mereka sedar terdapat keluarga lain yang berdepan keadaan lebih sukar.

“Kalau kami ada hidangan RTE berlebihan, kami kadangkala akan kongsinya dengan rakan dan jiran yang lebih memerlukan.

“Kami ini kira masih okey lagi. Ada orang yang pendapatannya kurang, ada orang yang susah, jadi kami cuba membantu mereka sedikit sebanyak,” kongsi Encik Johari.

Sekilas inisiatif bantuan hidangan RTE dari FFFA

  1. Menurut FFFA, sekitar 1,000 keluarga telah menerima bantuan hidangan RTE sepanjang enam bulan lalu.
  2. Di bawah program sokongan selama tiga bulan itu, setiap keluarga menerima antara 15 dengan 45 uncang hidangan RTE sebulan, bergantung pada saiz isi rumah mereka.
  3. Antara penerima ialah keluarga berpendapatan rendah, warga emas, individu yang menghidap penyakit kronik atau kurang upaya, serta keluarga yang berdepan krisis seperti pemenjaraan atau pemberhentian kerja pencari nafkah.
  4. Menurut FFFA, hidangan RTE sesuai bagi isi rumah yang tidak mempunyai kemudahan dapur lengkap, termasuk peti sejuk yang berfungsi.
  5. Berbanding makanan yang baru dimasak dan lazimnya perlu dimakan pada hari sama, hidangan RTE boleh disimpan dan dimakan apabila diperlukan.
  6. Mereka yang ingin mendapatkan bantuan hidangan RTE boleh lungsuri laman FFFA di https://www.freefood.org.sg/get-help