Bagi Encik Mohamed Yasin Mess dan isteri, Cik Norliza Amin, keputusan untuk kembali ke sekolah pada usia 50-an tahun bukanlah demi mengejar cita-cita peribadi.

Sebaliknya, ia dilakukan demi menemani dan menyokong anak mereka dalam setiap langkah perjalanan pendidikannya selama tiga tahun di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Baru-baru ini, pasangan itu menamatkan pengajian bersama anak lelaki mereka, Encik Muhammad Faezin Mohamed Yasin, 31 tahun, yang disahkan menghidap autisme ringan ketika beliau berusia 12 tahun.

Mereka bertiga berjaya memperoleh sijil Nitec Lanjutan dalam kursus Reka Bentuk Interaktif.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Norliza, 56 tahun, dan suaminya, 58 tahun, mengakui tidak begitu meminati bidang teknologi maklumat (IT).

“Disebabkan minat Faezin yang mendalam terhadap teknologi dan gadget, kami akhirnya memutuskan untuk menceburi bidang ini supaya dapat membantu Faezin kekal bermotivasi,” kata ibu dua anak itu.

Menurut beliau, keputusan itu juga menjadi salah satu usaha untuk mengekalkan hubungan kekeluargaan dan mencabar minda mereka secara bersama.

Sebelum ini, anak sulung mereka itu telah menamatkan dua kursus Nitec dalam bidang Teknologi Infokomunikasi dan Aplikasi Web, namun menghadapi kesukaran mencari pekerjaan tetap disebabkan keperluan sokongan tambahan.

Biarpun begitu, Encik Faezin telah mendapatkan sokongan SG Enable dan beliau diberi peluang bekerja buat kali pertama di sebuah syarikat setempat pada usia 28 tahun.

Encik Faezin bekerja sebagai seorang ‘picker’ yang ditugaskan untuk mengambil barangan yang dipesan pelanggan dalam talian, dari rak yang tersedia dan kemudian menghantarnya kepada rakan sekerja yang akan membungkus pesanan tersebut.

Beliau bekerja secara sambilan sementara meneruskan pengajiannya di peringkat Nitec Lanjutan.

“Dengan pengajiannya ini, kami harap kelayakan tersebut dapat meningkatkan peluang kerjaya dan tahap berdikari beliau pada masa hadapan,” kata Cik Norliza yang turut menyakinkan suaminya untuk mendaftar bersama meskipun Encik Yasin sudah lebih 20 tahun tidak menuntut ilmu secara formal.

Langkah kembali belajar bukan sesuatu yang terlalu asing buat Cik Norliza kerana beliau pernah menamatkan pengajian sambilan dalam memburu ijazah Perniagaan dengan Psikologi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2022.

Bagi Cik Norliza, perjalanan beliau, suami dan Encik Faezin, mengambil masa hampir tiga tahun sebelum mereka bertiga berjaya menggenggam sijil itu bersama-sama.

Sepanjang tempoh tersebut, pasangan suami isteri itu perlu mengimbangi kerja sepenuh masa sebagai kakitangan badan berkanun, tanggungjawab keluarga serta menghadiri kelas selepas waktu kerja dan pada hari Sabtu.

“Perjalanan yang jauh dan rasa penat selepas bekerja, belajar menggunakan alat IT dan sistem yang baru, serta menyesuaikan diri dengan pembelajaran formal selepas puluhan tahun menjadi perkara yang kami harus lalui bersama.

“Yasin (suami beliau) menghadapi kesukaran kerana pekerjaan beliau bersifat amali atau ‘hands-on’ yang tidak ada kena-mengena dengan IT, manakala Faezin, walaupun cekap menggunakan teknologi, kadangkala memerlukan panduan tambahan untuk mengikuti arahan dan mengekalkan fokus,” jelas Cik Norliza yang kerap menjadi pemberi motivasi, penyusun jadual belajar dan penyokong dari segi emosi.

Sementara itu, anak bongsu pasangan itu, Encik Luqman Hakim Mohamed Yasin, 26 tahun, sedang menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dengan pengkhususan dalam Sejarah dan Kesusasteraan Inggeris.

Bagi Cik Norliza yang merupakan pelajar matang pula, beliau memuji persekitaran kelasnya yang amat terangkum.

“Para pensyarah turut memahami dan prihatin terhadap pelajar berkeperluan khas dan memberi sokongan tambahan bila perlu, dan pelajar saling membantu antara satu sama lain, bukannya bersaing,” jelas Cik Norliza.

Menurut beliau, terdapat beberapa lagi pelajar sekelasnya yang merupakan pelajar istimewa.

Berkongsi lanjut, beliau berkata menjelang peperiksaan, mereka tiga beranak akan duduk belajar bersama.

Nota akan disiapkan dan mereka saling bantu-membantu, katanya.

Beliau menyifatkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai prinsip penting yang harus dipegang kerana minda harus terus dicabar tanpa mengira usia.

“Pendidikan memang tidak mudah, tapi berbaloi. Kalau tidak mencuba, kita tidak akan tahu,” katanya.

Cik Norliza mengakui sering memikirkan tentang masa depan anaknya apabila mereka sudah tiada kelak, dan berharap kemahiran serta keyakinan diri yang dimiliki dapat membantu anaknya itu menjalani kehidupan dengan lebih berdikari.

Bagi meraikan kejayaan itu, mereka bertiga meluangkan masa bercuti dan menikmati hidangan bersama di Lapangan Terbang Changi selepas tamat pengajian.

Apabila ditanya mengenai langkah seterusnya bagi mereka bertiga, Cik Norliza berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk menyambung pengajian secara sambilan, mungkin di Politeknik Temasek walaupun akur kursus diploma lebih mencabar.