Sejak beberapa hari lalu, beberapa pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan masjid di Singapura telah mengambil bahagian dalam trend gambar bayi menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang kini sedang tular di media sosial.

Trend gambar bayi AI ialah fenomena media sosial yang menggunakan teknologi tersebut untuk menghasilkan imej bayi yang kelihatan seolah-olah sedang mengambil swafoto dengan secara tidak sengaja.

Antara MMO di Singapura yang mengambil bahagian dalam trend itu adalah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Mendaki, Masjid Kassim, Masjid An-Nahdhah, Masjid An-Nur, Masjid Assyakirin, Masjid Darul Aman, dan Jawatankuasa Kecil Belia Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Belia PA Mesra).

Selain mencuit hati warganet, pemimpin MMO tersebut memberitahu Berita Harian (BH) bahawa trend itu memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat menerusi kandungan yang lebih santai dan dekat dengan pengguna media sosial.

Menurut laporan akbar The Straits Times, trend swafoto bayi itu dipercayai bermula sekitar Julai lalu apabila sebuah jenama fesyen dari Arab Saudi memuat naik imej seorang kanak-kanak dengan konsep sedemikian.

Ia kemudian menjadi tular apabila pengguna, jenama, dan pertubuhan lain di seluruh dunia mula menghasilkan versi masing-masing menggunakan teknologi AI.

Bagi Mendaki, penyertaan dalam trend tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyesuaikan pendekatan komunikasi dengan perubahan tabiat masyarakat mendapatkan maklumat.

Hantaran Instagram Mendaki pada 3 Ogos yang disertakan kapsyen “feeling FOMO (rasa bimbang ketinggalan)” setakat ini menerima lebih 600 tanda suka serta pelbagai komen daripada warganet.

Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata masyarakat hari ini semakin banyak meluangkan masa di wadah digital, justeru pendekatan pertubuhan juga perlu berkembang seiring dengan perubahan landskap.

“Sejak awal tahun ini, kami memberikan lebih tumpuan kepada kandungan media sosial kerana masyarakat hari ini banyak meluangkan masa di wadah digital.

“Kami terus menghasilkan kandungan yang segar, kreatif, dan relevan untuk berinteraksi dengan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, trend AI itu hanyalah satu daripada pelbagai kandungan kreatif yang dihasilkan Mendaki sebagai respons kepada fenomena yang sedang tular.

“Bersempena Hari Kebangsaan, ia juga memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi dengan masyarakat secara lebih santai, sambil menyemarakkan semangat kebersamaan.

“Bagi kami, pendekatan seperti ini bukan sekadar meraih perhatian, tetapi juga membuka ruang untuk lebih ramai mengenali Mendaki serta mengikuti program dan inisiatif yang kami tawarkan,” ujarnya.

MUIS turut menyertai trend tersebut apabila memuat naik gambar bayi AI di akaun media sosial rasminya tanpa sebarang kapsyen.

Walaupun tidak disertakan kapsyen, imej bayi itu dipaparkan di hadapan ungkapan.

“A gracious Muslim community of excellence that inspires and radiates blessings to all (Sebuah masyarakat Islam cemerlang yang penuh ihsan, menjadi inspirasi serta menyebarkan rahmat kepada semua),” tulis ungkapan itu.

Hantaran tersebut yang dimuat naik pada 3 Ogos menerima lebih 1,100 tanda suka.

Masjid Kassim pula menyifatkan penyertaannya dalam trend tersebut sebagai satu usaha santai untuk kekal relevan serta mendekati pengikut di media sosial.

Menurut pihak pengurusan Masjid Kassim, penyertaan itu juga membolehkan mereka meluaskan jangkauan kandungan berkaitan ilmu agama, khidmat sosial dan aktiviti masjid.

“Masjid Kassim berharap dapat terus kekal dekat dengan masyarakat, khususnya golongan muda, melalui pendekatan yang santai dan relevan dengan trend semasa, sekali gus mengekalkan keterlibatan audiens dengan wadah media sosial masjid,” jelas pihak pengurusannya.

Sedang kebanyakan pertubuhan memilih imej bayi, Masjid Assyakirin pula mencuri perhatian apabila tampil dengan kelainan menggunakan imej seorang warga emas dalam hantaran swafoto AI tersebut.

Timbalan Pengurus Masjid Assyakirin, Encik Ahmadusshafa Zainudin, berkata pendekatan itu dipilih kerana pihaknya mahu mengetengahkan mesej bahawa masjid meraikan setiap lapisan masyarakat.

“Di sebalik trend yang menampilkan kanak-kanak yang comel, kami tidak ingin lupa untuk memberikan perhatian juga kepada warga emas kita.

“Di masjid, kita raikan semua lapisan umur, baik dari yang kecil hingga yang berusia,” kongsi beliau.

Selain MMO di Singapura, beberapa agensi pemerintah seperti Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), serta portal komunikasi dalam talian rasmi pemerintah, gov.sg, telah menghasilkan versi masing-masing.