Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu dua anak meninggal dunia di Tanah Suci selepas tunai haji
Ibu dua anak meninggal dunia di Tanah Suci selepas tunai haji
Allahyarhamha Noridah Mohammed Nasir hembus nafas terakhir kerana komplikasi jantung di sisi keluarga
Ibu dua anak meninggal dunia di Tanah Suci selepas tunai haji
Pergi berempat tetapi pulang bertiga.
Kepulangan tiga beranak dari Tanah Suci diselubungi hiba apabila mereka terpaksa membina kekuatan baharu tanpa satu-satunya ‘ratu’ keluarga mereka.
Allahyarhamha Noridah Mohammed Nasir, 63 tahun, yang menunaikan haji bersama suami dan dua anaknya, menghembuskan nafas terakhir kerana masalah komplikasi jantung, pada 1 Jun lalu, di Hospital King Abdullah di Makkah.
Walaupun dapat memenuhi hasrat menunaikan haji sekeluarga, ketibaan di tanah air pada 5 Jun lalu, terasa sepi buat Encik Azmi Ramlan, 64 tahun, dan dua anak lelakinya, Encik Muhammad Noor Adzdzin Azmi, 33 tahun, dan Encik Muhammad Noor Adzdzeeq Azmi, 23 tahun, tanpa wanita utama dalam hidup mereka.
Bagaimanapun ketika dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, Encik Azmi berkata mereka reda melalui fasa kehidupan baharu.
Pemergian mengejut itu berlaku selepas penantian selama 13 tahun untuk mereka sekeluarga menjejakkan kaki ke Baitullah bersama-sama.
Namun bagi Encik Azmi, keredaan mengatasi segala-galanya apabila melihat Allahyarhamha dijemput Ilahi selepas berjaya menyelesaikan kesemua rukun utama ibadah hajinya.
“Kami menunggu 13 tahun untuk panggilan ini. Sepanjang di Madinah dan Arafah, Allahyarhamha sihat sepenuhnya.
“Isteri saya hanya mula mengadu sesak nafas dan pedih ulu hati ketika kami berjalan kaki menuju ke kompleks melontar jamrah pada 28 Mei lalu,” kongsi Encik Azmi, yang juga menyambut hari lahir ke-64 pada 27 Mei.
Menurut beliau, keadaan Allahyarhamha semakin merosot keesokan harinya, pada 29 Mei, apabila mula hilang selera makan, pening kepala dan mual sehingga terpaksa mewakilkan anak sulungnya bagi ibadah melontar jamrah.
Melihatkan keadaannya semakin lemah pada lewat malam itu, Encik Azmi bersama anak-anaknya serta pihak agensi, Shahidah Travel & Tours, segera membawa Allahyarhamha Noridah, menggunakan kerusi roda, ke klinik bangunan hotel sebelum dibawa ke Hospital King Abdullah pada pagi 30 Mei.
Hasil ujian imbasan pemeriksaan mendapati terdapat saluran darah yang tersumbat pada jantung Allahyarhamha, selain dikesan mengalami kebocoran pada bahagian arteri.
Setelah dua hari bertarung nyawa dalam keadaan tidak sedarkan diri di Unit Jagaan Rapi (ICU), Allahyarhamha disahkan menghembuskan nafas terakhir pada 1 Jun lalu, pada 10.19 malam waktu tempatan Makkah.
“Doktor di hospital Makkah memberitahu anak saya Allahyarhamha bertahan sehabis daya demi menyelesaikan hajinya.
“Malah, doktor sendiri berkata, ‘Insya-Allah, haji mabrur... beliau pergi selepas semuanya selesai.’ Sebagai suami, saya akur dengan aturan-Nya yang cukup sempurna,” ujar Encik Azmi yang kini membantu anak sulungnya mengendalikan gerai kantin di sebuah sekolah menengah.
Menyifatkan Allahyarhamha sebagai seorang yang manja tetapi tegas dalam mendidik anak-anak, Encik Azmi berkongsi rutin harian di rumah mereka tidak banyak berubah memandangkan mereka tiga beranak sudah biasa menguruskan kerja rumah demi memanjakan Allahyarhamha sebelum ini.
Menurut Encik Azmi, Allahyarhamha difahamkan telah berkhidmat selama 43 tahun di syarikat JTC, namun sikap baik arwah yang sebenar hanya baru diketahui meluas selepas beliau tiada.
Rakan-rakan sekerja mendedahkan Allahyarhama seorang yang sangat pemurah, suka memberi makan dan kerap meminjamkan wang kepada sesiapa yang kesempitan.
Mengulas mengenai keadaan mereka tiga beranak sekarang, Encik Azmi berkata mereka sedang perlahan-lahan mengemas pakaian Allahyarhamha untuk didermakan kepada badan kebajikan.
“Masa akan mengubati kesedihan kami. Pakaian terakhir yang kami beli bersama di Makkah akan saya simpan selamanya sebagai kenangan,” ujarnya mengenang betapa gembira Allahyarhamha semasa memilih dan membeli baju itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Anggulia, ketika dihubungi BH mengesahkan kejadian tersebut dan memuji ketabahan luar biasa yang ditunjukkan keluarga Encik Azmi sepanjang tempoh kritikal itu.
“Urusan jenazah Allahyarhamha alhamdulillah berjalan dengan lancar dan pantas ketika kami kendalikan di sana. Selepas disolatkan di Masjidil Haram sejurus solat subuh, jenazah terus dikebumikan di tanah perkuburan khas untuk warga asing yang terletak kira-kira 12 kilometer dari kota suci. Pihak kami juga memastikan waris mendapat tanda makam (tanda kubur) Allahyarhamha.
“Pihak kami bersama syarikat insurans ST&T bertindak segera bagi memastikan segala kebajikan keluarga terjaga di hospital. Kami bersedia untuk terus membantu dan menyokong dan akan terus memberikan sokongan moral yang diperlukan,” jelas Encik Ayoob.
