Sebagai peminat tegar permainan video, Cik Norasma’ Sapari, 39 tahun, dan suami, Encik Norhaizat Mohamed Noor, 44 tahun, berkata alat seperti konsol Xbox, televisyen dan komputer di rumah mereka turut mendedahkan empat anak mereka yang berumur tiga hingga 20 tahun kepada masa skrin yang tinggi.

Malah, kecenderungan anak bongsu mereka untuk menghabiskan masa di depan skrin meskipun belum pandai bermain permainan video, mula membimbangkan pasangan suami isteri itu.

Justeru, Pek PlayFULL yang mereka terima di bawah program KidSTART pada Januari 2025 amat bermanfaat dan membantu mereka untuk mengawal masa skrin anak, kata mereka.

Dengan mainan seperti seperti blok kayu dan mainan yang boleh ditarik dengan tali (pull-toy) dalam Pek PlayFULL itu, mereka dapat mengalihkan perhatian anak-anak kepada aktiviti kreatif tanpa bergantung pada skrin.

“Dengan panduan dan mainan dalam pek itu, anak kedua hingga anak bongsu saya itu sekarang tahu bagaimana untuk bermain bersama dan kurang bergantung pada alat elektronik di rumah,” ujar Cik Norasma’, seorang suri rumah.

Keluarga Cik Norasma’ (kiri) mengalu-alukan Pek PlayFULL yang baharu pada Julai nanti.
Keluarga Cik Norasma’ (kiri) mengalu-alukan Pek PlayFULL yang baharu pada Julai nanti. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Pek PlayFULL yang dimanfaatkan Cik Norasma’ dan suami itu kini akan diperbaharui dengan sumbangan dana bernilai $1.1 juta daripada syarikat pembekal tenaga SP Group.

Sekitar 2,700 keluarga di bawah program KidSTART bakal menerima versi baharu Pek PlayFULL yang mengikut kesesuaian umur daripada bayi hingga enam tahun.

Inisiatif itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KidSTART, Encik Joel Tan, di acara pelancaran Festival Play It Forward 2026 di Pusat Kebudayaan Cina Singapura pada 13 Jun. 

Acara tersebut turut dihadiri Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, selaku tetamu terhormat.

Dalam ucapannya, Encik Zhulkarnain turut menyatakan usaha menyokong perkembangan awal kanak-kanak merupakan usaha segenap lapisan masyarakat.

“Sokongan terhadap kanak-kanak dan keluarga tidak boleh dilakukan oleh satu pertubuhan atau pemerintah sahaja.

“Kami percaya apabila kita berganding bahu dengan agensi perkhidmatan sosial, rakan korporat seperti SP Group, sukarelawan dan masyarakat, kita dapat membina sebuah masyarakat di mana setiap kanak-kanak berpeluang untuk berkembang maju,” kata beliau.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), Encik Tan menjelaskan bahawa KidSTART memahami cabaran masa skrin yang dihadapi ibu bapa moden.

“Kami sedar skrin adalah sebahagian daripada kehidupan harian. Oleh itu, daripada sekadar menyuruh keluarga mengurangkan masa skrin, kami menawarkan alternatif mudah dan realistik melalui Pek PlayFULL.

“Aktiviti santai ini membantu kanak-kanak menggunakan imaginasi dan berkomunikasi secara bersemuka. Malah, beberapa minit permainan yang sengaja diluangkan setiap hari sudah mampu membawa perubahan besar pada perkembangan anak,” kata Encik Tan.

Bagi Pengamal KidSTART, Cik Azimah Azhar, ibu bapa mula yakin bahawa pembelajaran bermakna boleh berlaku melalui aktiviti mudah di rumah.

“Malah, ramai yang berjaya mengurangkan kebergantungan pada alat elektronik, sekali gus mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” ujarnya.

Sementara itu, CEO Kumpulan SP Group, Encik Stanley Huang, berkata tumpuan utama mereka bagi 2026 adalah untuk menyediakan kaedah pembelajaran yang menyeronokkan, selamat dan mampan bagi kanak-kanak.

“Aktiviti bermain adalah faktor terpenting dalam membina asas kukuh bagi perkembangan sihat kanak-kanak, dan ia tidak semestinya rumit atau menelan kos yang tinggi. Melalui kerjasama rapat dengan KidSTART selama ini, kami melihat sendiri bagaimana interaksi harian mampu memupuk rasa ingin tahu, keyakinan, serta minat belajar sepanjang hayat.

“Menerusi festival Play It Forward, kami juga membantu kanak-kanak mengamalkan tabiat mesra alam dan memupuk semangat berkongsi. Kakitangan kami turut mengambil bahagian secara aktif dengan menderma mainan serta menghantar sendiri Pek PlayFULL ke rumah keluarga KidSTART,” jelas Encik Huang.

Melihat keberkesanan itu, Cik Norasma’ mengesyorkan pek ini kepada ibu bapa lain kerana panduannya yang sangat berkesan.

Beliau kini teruja menantikan agihan versi baharu pada Julai untuk melihat interaksi anak-anaknya.

“Saya tidak sabar melihat bagaimana anak-anak akan meneroka mainan baharu itu nanti untuk terus bermain bersama,” kongsi beliau penuh harapan.