Ibu muda sedekah iftar masakan sendiri setiap hari buat yang memerlukan
Ibu muda sedekah iftar masakan sendiri setiap hari buat yang memerlukan
Pada bulan Ramadan yang mulia ini di mana pahala diganda dan perbuatan baik mendapat berkat, tidak hairanlah ramai umat Islam berlumba-lumba ingin membuat kebaikan, tidak kira sama ada dengan memberi sedekah, atau membantu mereka yang kurang bernasib baik mengikut kemampuan sendiri.
Bagi Cik Nur Syairah Mohamad Shahid, 26 tahun, beliau mengambil kesempatan membuat kebajikan alang-alang memasak juadah berbuka untuk keluarganya, termasuk suami dan ibu bapanya, serta seorang anaknya, yang baru berumur empat tahun.
“Oleh kerana ibu saya sudah membantu menjaga anak saya sewaktu saya bekerja, saya akan memasak untuk keluarga, dan kerap juga untuk nenek dan datuk saya yang tinggal berdekatan.
“Jadi kami selalu ada makanan terlebih, cukup untuk satu hingga tiga orang makan, jadi apa salahnya saya menawarkannya untuk mereka yang memerlukan?” kata ibu muda itu.
Ini merupakan kali pertama Cik Syairah, yang bekerja sepenuh masa sebagai Pengurus Pemasaran Serantau dalam sektor tenaga berbuat demikian dan menurutnya tidak sangka mendapat sambutan yang baik.
“Saya tidak meletak sebarang syarat, melainkan saya berharap, mereka yang mengambilnya ialah golongan yang berpuasa, berbadan dua atau warga emas tetapi saya tidak memeriksa latar belakang mereka sekiranya mereka datang ambil, saya ikhlas memberi,” tambah Cik Syairah lagi.
Awalnya sekadar niat untuk mengelakkan pembaziran makanan, kini menjadi satu inisiatif kecil yang penuh makna, dikongsi menerusi akaun Threads miliknya, @syairahshahid kerana tertarik dengan algoritmanya yang memaparkan kandungan kepada pengguna yang paling relevan.
Menurut Cik Syairah, idea tersebut tercetus selepas beliau terinspirasi dengan perkongsian seorang pencipta kandungan @angmohmakcik di Instagram yang menawarkan makanan masakan hariannya kepada sesiapa yang memerlukan.
Melihat kerja baik itu, Cik Syairah berasa beliau juga mampu melakukan perkara sama sepanjang Ramadan.
“Pada mulanya saya bercadang untuk menawarkan makanan pada harga berpatutan untuk ibu bapa yang bekerja,” katanya.
“Sebagai orang yang bekerja sepenuh masa, ada perniagaan kecil dan anak, saya faham cabarannya. Tapi akhirnya saya putuskan untuk jadikannya makanan percuma untuk semua.”
Antara yang pernah tampil ialah seorang ibu dengan anak berkeperluan khas, ibu tunggal, dan juga individu bukan Islam yang sekadar memerlukan makanan untuk keluarga mereka.
Seorang wanita juga pernah menghantar mesej meminta resipi kerana masakan Cik Syairah mengingatkannya kepada masakan ibunya.
Kata wanita itu, beliau tidak sempat mempelajari resipi tersebut sebelum ibunya disahkan menghidap demensia.
“Mendengar kisah mereka membuatkan usaha ini sangat bermakna,” kata Cik Syairah.
Selain wadah Threads, beliau turut berkongsi di kumpulan Telegram SG Blessings yang diperkenalkan oleh adiknya.
“Keluarga saya juga ikut serta ingin membantu. Nenek dan datuk saya juga pernah membuat sandwic telur dan bila kami kongsikan di Telegram, dengan cepat kesemuanya habis diambil orang,” kata Cik Syairah.
Bapa Cik Syairah juga terlibat membantu apabila seorang ibu hamil yang mengidam Ayam Pop, sebuah resipi oleh pempengaruh Malaysia Khairul Aming, tidak dapat mengambil juadah itu setelah disiapkan Cik Syairah.
Dengan rela hati, bapanya menghantarkan makanan itu ke rumah wanita itu yang tidak jauh dari kediamannya di Yishun.
“Berbuat baik adalah amalan baik yang boleh ‘berjangkit’, tetapi sangat memuaskan,” kata Cik Syairah lagi.
Walaupun sibuk dengan kerjaya sepenuh masa dan perniagaan naein.co, jenama tudung yang diasaskan bersama adiknya pada Disember 2024 yang menampilkan rekaan ilustrasi tangan oleh artis tempatan dan serantau, Syairah berhasrat untuk meneruskan inisiatif ini sehingga penghujung Ramadan.
“InsyaAllah, dengan izinNya yang memberi kesihatan dan keberkatan masa, saya akan teruskan,” katanya.

