Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu sangka anak autisme dipandang serong di masjid, sebaliknya disambut kasih sayang
Ibu sangka anak autisme dipandang serong di masjid, sebaliknya disambut kasih sayang
Ibu sangka anak autisme dipandang serong di masjid, sebaliknya disambut kasih sayang
Ketika anak bongsunya yang mempunyai autisme tidak duduk diam semasa kuliah agama di masjid, Cik Nurul Jannah Hamzah hanya mampu menahan rasa cemas kerana bimbang mengganggu jemaah lain.
Sebaliknya, apa yang berlaku selepas itu bukan kecaman, tetapi limpahan kasih sayang daripada para jemaah.
Bagi Cik Nurul, 39 tahun, seorang rakan perniagaan dan pembantu eksekutif, pengalaman itu menjadi titik perubahan yang mengubah cara beliau melihat ruang awam dan penerimaan masyarakat terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.
Ini selepas bertahun-tahun beliau hidup dibayangi trauma dan rasa takut terhadap pandangan serong orang lain ketika membawa kedua-dua anak berkeperluan khasnya keluar rumah.
Mengimbas peristiwa itu, Cik Nurul berkata anak bongsunya, Aryan Ibraheem Rifdi, sembilan tahun, menunjukkan tingkah laku ‘stimming’ semasa kuliah mingguan di Masjid Darul Ghufran pada 19 Mei.
Menurutnya, ‘stimming’ berlaku apabila kanak-kanak yang mempunyai autisme berada dalam dunia mereka sendiri dan sedang membayangkan sesuatu, lantas menyebabkan mereka menjadi sangat teruja, lalu menggerakkan tangan secara berulang.
“Saya rasa segan dan cemas kerana saya takut kelakuan Aryan membuat jemaah lain tidak khusyuk ketika mengikuti kuliah itu.
“Rasa segan ini juga disebabkan trauma lalu apabila orang awam pernah memperlekeh anak sulung saya dan memanggilnya ‘orang gila’.
“Jadi, saya cuba sedaya upaya menenangkan Aryan kerana saya tidak mahu membebankan orang lain,” ujar Cik Nurul, berlinangan air mata.
Anak pertamanya, Muhammad Erwin Danish, 18 tahun, mempunyai autisme dan palsi serebrum tahap rendah.
Namun, rasa segan dan cemas Cik Nurul bertukar apabila pendakwah yang mengendalikan kuliah mingguan tersebut, Ustazah Shameem Sultanah, menyedari kelakuan Aryan dan bersuara secara terbuka kepada jemaah.
Menurut Cik Nurul, Ustazah Shameem dengan tenang berkata:
“Tidak mengapa. Saya mengalu-alukan semua kanak-kanak hadir ke kuliah ini. Saya sayang mereka. Jika ada jemaah yang rasa terganggu, mereka boleh meninggalkan kuliah ini.”
Cik Nurul menambah bahawa kata-kata Ustazah Shameem itu, yang diulang dua kali, amat menyentuh hatinya, lantas membuatnya terharu dan lebih bersemangat.
Beliau turut memuat naik video di TikTok yang memaparkan Ustazah Shameem beramah mesra dengan Aryan semasa kuliah itu, dengan harapan ia meningkat kesedaran dan memberi galakan kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak bekeperluan khas.
Setakat ini, video TikTok itu mempunyai lebih 5,800 tanda suka, menarik lebih 30 komen netizen, dan disebarkan lebih 300 kali.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) semasa kuliah seterusnya pada 26 Mei, Ustazah Shameem menekankan bahawa masjid perlu menjadi ruang yang mesra dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Menurutnya, pendedahan awal kepada suasana masjid penting dalam membentuk hubungan mereka dengan agama sejak kecil.
“Kita perlu membina kefahaman dalam kalangan jemaah bahawa setiap anak mempunyai cabaran tersendiri, dan mereka juga berhak berada dalam ruang ini,” katanya.
Setelah sesi kuliah pada 26 Mei tamat, jemaah yang hadir malah mendekati Aryan untuk menunjukkan kasih sayang, bersalaman, dan menghulurkan sumbangan, sehingga membuatkan Cik Nurul berasa sangat tersentuh dan bersyukur.
Cik Nurul turut berkongsi kegembiraannya apabila melihat lebih ramai ibu bapa membawa anak kecil mereka ke kuliah tersebut.
“Untuk ibu bapa lain yang sedang mengharungi cabaran serupa, saya harap mereka mempunyai kekuatan mental, selalu menyayangi diri sendiri, dan jangan menyalahkan diri sendiri.
“Hanya dengan menyayangi diri sendiri, barulah mereka mampu menjaga anak mereka dengan baik,” nasihat beliau dengan senyuman.
