Bayangkan betapa terkejutnya seorang ibu apabila ternampak apa yang kelihatan seperti sosok seorang lelaki yang sedang nyenyak tidur di bilik anak-anaknya.
Pada setiap pagi, memang sudah jadi kebiasaan Cik Rubie Sunit, 35 tahun, seorang suri rumahtangga untuk mengejutkan anak-anaknya untuk bersiap ke sekolah, sambil mematikan hawa dingin di bilik mereka.
Namun, pada pagi 21 Ogos, beliau terkejut melihat seorang lelaki sedang duduk di kerusi dalam bilik tidur anaknya dalam gelap.
“Apabila saya sedar, ia bukanlah orang, tetapi patung yang dibuat dengan perkakas rumah, saya pun tertawa,” kata Cik Rubie yang berasal dari Filipina dan telah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan dari Singapura.
Walaupun terkejut, beliau berkata terhibur dengan ‘kreativiti’ anak-anaknya, walaupun temanya agak seram.
“Saya nampak semalam anak perempuan saya bermain dengan gunting, tetapi saya biarkan saja, tak sangka pula ini kerjanya dan abangnya,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
“Mereka memang suka menakut-nakutkan satu sama lain. Kepala kepada patung itu merupakan sebuah lampu dari Ikea yang berbentuk kepala, dan badannya diisi dengan bantal.”
Menurut Cik Rubie lagi, anak-anaknya Sofia Sunit Muhammad Izad, 9 tahun, dan Daniel Sunit Muhammad Izad, 12 tahun, yang berkomplot menghasilkan patung itu memakaikan baju dan seluar panjang untuk kelihatan lebih ‘realistik’.
“Mereka geli hati ketawakan saya bila melihat reaksi saya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg