Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60), Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG), memperkenalkan ruang baru yang memberi peluang kepada si cilik untuk bermain dan meneroka kreativiti mereka sambil mempelajari tentang budaya makanan tempatan.
Di ruang Play + Make yang bakal dibuka pada 20 Julai, kanak-kanak boleh menghasilkan pelbagai kraf tangan bertemakan makanan.
Mereka juga boleh melihat pameran yang menerapkan permainan menggunakan deria seperti memegang alat masakan dengan cara yang betul dan menghidu pelbagai bauan makanan.
Bagi memastikan pameran tersebut menarik dan bermanfaat bagi kanak-kanak, ruang tersebut telah direka bersama mereka.
Awal sebelum itu, satu siri perbincangan telah diadakan bersama murid prasekolah, Star Learners, dan sukarelawan berusia antara tujuh dengan 12 tahun untuk memahami minat mereka dan apakah yang ingin mereka pelajari apabila berkunjung ke muzium.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Pengarah Muzium CMSG, Cik Asmah Alias, berkata makanan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian semua individu, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak, di mana ingatan atau memori awal mereka sering kali melibatkan makanan.
“Makanan tempatan merupakan sesuatu yang digemari warga Singapura.
“Menerusi ruang Play + Make, kami berharap dapat menggalakkan kanak-kanak untuk menghayati budaya dan warisan makanan Singapura sambil menanam sifat ingin mencuba sesuatu yang baru melalui kegiatan yang ditawarkan.
“Pameran ini turut menyatukan individu daripada pelbagai bidang dan masyarakat.
“Ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk pelajari alat-alat yang digunakan untuk membuat sejenis hidangan, mendengar kisah menarik di sebalik makanan itu dan juga mengenali pereka seni tempatan yang menggunakan tema makanan dalam rekaan unik mereka,” kongsi Cik Asmah, semasa pelancaran dan previu bagi media pada 16 Julai.
Turut hadir semasa pelancaran itu ialah Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash.
Ruang Play + Make merupakan susulan daripada pameran khas CMSG, Into the Hawkerverse, yang menceritakan tentang budaya penjaja.
“Ruang ini melengkapi pameran yang dilancarkan tahun lepas (2024) dengan menawarkan pengalaman amali atau ‘hands-on’ dan pembelajaran berasaskan objek.
“Kami juga berharap ia dapat menarik pengunjung yang telah ke Into the Hawkerverse untuk kembali ke CMSG dan mempelajari sesuatu yang baru,” tambah Cik Asmah.
CMSG turut bekerjasama dengan pereka tempatan yang memaparkan karya seni bertema makanan dalam satu almari yang diberi nama, Maker’s Cabinet.
Ia termasuk gaun dengan corak yang mendapat cetusan ilham daripada durian, Black Pearl, oleh jenama fesyen Reckless Ericka, kasut sniker dengan lukisan nasi lemak dan mi Hokkien oleh Tuckshop dan mangkuk tingkat diperbuat daripada LEGO oleh Artisan Bricks.
Terdapat juga pelbagai kegiatan menarik di ruang itu yang akan bertukar hingga Mac 2026.
Ia termasuk menghasilkan boneka kertas, menghasilkan alat masakan peribadi dan kraf tangan anyaman mengikut corak dan motif warisan.
Demi menyokong kesejahteraan kanak-kanak dan ibu bapa serta pembelajaran terangkum, satu panduan telah dihasilkan dengan kerjasama pakar terapi dari perkhidmatan kesihatan mental di Singapura, BRB Kids.
Panduan tersebut menggalakkan interaksi dan komunikasi antara ibu bapa dengan kanak-kanak melalui kegiatan yang boleh dilakukan di ruang itu.
Ia turut memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membina kosa kata, mempelajari teknik menyelesaikan masalah dan memahami emosi diri sendiri.
Selain ruang khas di CMSG, terdapat juga program menyeluruh yang memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat pameran bergerak, Play + Make, yang bakal diadakan di estet kejiranan seluruh Singapura hingga 30 Januari 2026.
Di samping itu, terdapat program khas mulai 12 Ogos, Hawkerverse Special: Be a Changemaker, untuk kanak-kanak di sekolah.
Ia selari dengan kurikulum subjek, Pendidikan Sosial, di Kementerian Pendidikan (MOE).
BUTIRAN PAMERAN
Tarikh: 20 Julai hingga 31 Mac 2026
Masa: Selasa hingga Ahad, 9 pagi hingga 5.45 petang
Harga: Percuma bagi warga Singapura dan penduduk tetap
Tempat: Discovery Room, Muzium Kanak-Kanak Singapura
Alamat: 23-B Coleman Street, Singapura 179807
PAMERAN BERGERAK
Perpustakaan Daerah Jurong: 1 Ogos hingga 29 Ogos
Perpustakaan Awam Ang Mo Kio: 1 September hingga 30 September
Perpustakaan Awam Bedok: 1 Oktober hingga 30 Oktober
Perpustakaan Daerah Woodlands: 31 Oktober hingga 1 Disember
Perpustakaan Awam Jurong West: 2 Disember hingga 30 Disember
Perpustakaan Daerah Punggol: 2 Januari 2026 hingga 30 Januari 2026
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg