Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes Wakaf Kassim: Waris fail rayuan secara rasmi tuntut dana lebih $10j
Kes Wakaf Kassim: Waris fail rayuan secara rasmi tuntut dana lebih $10j
Kes Wakaf Kassim: Waris fail rayuan secara rasmi tuntut dana lebih $10j
Kes tuntutan harta Wakaf Kassim kini dibawa ke peringkat seterusnya selepas pihak waris memfailkan rayuan secara rasmi pada 12 Jun lalu.
Dokumen mahkamah yang dilihat Berita Harian (BH) mengesahkan tindakan tersebut.
Langkah tersebut diambil oleh pihak waris yang diwakili Cik Fauziyah Mohd Ahbidin bagi meneruskan tuntutan hak ke atas sebahagian hasil wakaf tersebut.
Tuntutan mereka yang dianggarkan bernilai lebih $10 juta itu bersandarkan sebuah dokumen wasiat tahun 1932.
Walau bagaimanapun, pihak waris menganggarkan nilai pasaran semasa bagi keseluruhan kawasan hartanah berkenaan — termasuk tapak Masjid Kassim, kondominium East Bay Gardens dan bangunan Wisma Indah — boleh menjangkau sekitar $60 juta.
BH difahamkan bahawa anak bongsu plaintif, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad, merupakan individu yang menguruskan proses dokumentasi dan pentadbiran bagi permohonan rayuan tersebut.
Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi telah menolak tuntutan Cik Fauziyah.
Hakim Mohamed Faizal Abdul Kadir memutuskan bahawa harta yang diwakafkan oleh datuknya dari tahun 1914 hingga 1927 adalah muktamad dan tidak boleh diubah.
Hakim Faizal menegaskan undang-undang tidak boleh dikorbankan atas dasar simpati demi menjaga integriti sistem wakaf awam yang kini mempunyai aset dana terkumpul sekitar $23 juta.
Ketika dihubungi, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan bahawa prosiding mahkamah sudah selesai dan mereka menganggap kes ini telah ditutup.
Dalam laporan awal, Syed Muhammad Farit menjelaskan bahawa tujuan utama mereka untuk meneruskan kes ini bukanlah didorong oleh faktor nilai wang, melainkan demi menuntut hak sejarah keluarga yang sekian lama tertunggak.
“Ini adalah tentang menuntut hak dan kebenaran sejarah keluarga kami yang telah tertunggak sekian lama.
“Malah, kami juga berharap kes ini dapat meningkatkan semula kesedaran masyarakat Melayu/Islam di Singapura mengenai institusi wakaf.
“Hari ini, kita sering mendengar tentang amalan infak biasa, tetapi konsep wakaf semakin kurang diperkatakan,” katanya lagi.
Meskipun pertikaian ini melibatkan harta keluarga jutaan dolar nilainya, kehidupan waris tunggal Allahyarham Kassim, Allahyarham Zainal Abidin, jauh berbeza.
Walaupun merupakan anak kepada seorang tokoh yang mengumpulkan kekayaan hartanah yang besar di Singapura pada awal abad ke-20, Allahyarham Zainal Abidin tidak menjalani kehidupan yang mewah.
Dikenali oleh orang terdekat sebagai seorang yang sangat serba sederhana dan rendah diri, beliau menghabiskan kehidupannya di sebuah flat sewa, tanpa menyedari hak kelayakan besarnya di bawah wasiat bapanya.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2011 di flat sewanya dengan hanya meninggalkan baki wang sekitar $800 atas namanya.
Bagi keturunan Allahyarham Kassim, rayuan ini tertumpu kepada persoalan asas melibatkan hak kekeluargaan.
BH telah menghubungi pihak plaintif untuk maklum balas rasmi mengenai butiran rayuan tersebut.
