Topik diikuti
Pergi ke BHkuJemaah, pelajar S’pura di Makkah kekal tenang susuli kejadian dron
Jemaah, pelajar S’pura di Makkah kekal tenang susuli kejadian dron
Jemaah umrah dan ejen penjualan (GSA) Singapura melaporkan keadaan di Makkah tenang dan selamat selepas Arab Saudi memintas sebuah dron yang didakwa dilancarkan kumpulan Houthi di kawasan Selatan kota suci itu pada 15 September.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan di Makkah, Jeddah, dan Taif yang meminta orang ramai kekal dalam bangunan, sebelum amaran tersebut ditarik balik beberapa minit kemudian selepas ancaman berjaya ditangani.
Namun, bagi ribuan jemaah di Makkah – termasuk rakyat dan penuntut Singapura – kejadian tersebut tidak mencetuskan sebarang kecemasan, dengan kegiatan harian serta ibadah umrah diteruskan seperti biasa.
Pelajar Singapura dari Universiti Umm Al-Qura di Makkah, Encik Naqiy Muzhaffar Mubarak, 21 tahun, berkata amaran keselamatan yang diterimanya menerusi telefon bimbit mengejutkannya ketika dalam perjalanan pulang dari kampus.
“Saya terkejut kerana pada mulanya menyangka bunyi itu datang daripada jam loceng telefon saya, tetapi rupa-rupanya ia adalah amaran daripada pihak keselamatan Arab Saudi mengenai ‘ancaman udara’.
“Alhamdulillah, reaksi saya tenang, tetapi terdapat sebahagian pelajar baharu yang agak panik,” kata Encik Naqiy ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Namun, menurut beliau, amaran tersebut tidak menjejas sebarang kegiatan harian mahupun ibadah di Makkah.
“Ibadah umrah, solat dan kelas yang berlangsung di Masjidil Haram masih diteruskan seperti biasa,” ujarnya.
Beliau menambah Konsulat-Jeneral Singapura di Arab Saudi juga sentiasa memberikan peringatan keselamatan kepada para pelajar bagi memastikan mereka sentiasa berwaspada.
Pengalaman serupa dikongsi Encik Faiqul Basyir Mohamad Husni, 22 tahun, yang berada di Makkah untuk menunaikan umrah.
Pelajar Singapura yang menuntut di Universiti Yarmouk di Jordan itu berkata dirinya terjaga daripada tidur di bilik hotel apabila amaran keselamatan berbunyi pada telefon bimbitnya.
Menurutnya, mesej amaran pertama meminta orang ramai supaya kekal tenang, berada di dalam bangunan, dan menjauhi pintu serta tingkap.
“Apabila amaran pertama berbunyi, saya terus memeriksa portal berita untuk mengetahui apa yang berlaku dan kekal tenang.
“Tidak lama kemudian, saya terima amaran kedua yang mengesahkan bahawa ancaman telah diatasi,” kata Encik Faiqul kepada BH.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada tanda kecemasan di sekitar hotelnya mahupun di Masjidil Haram, dengan para jemaah terus menjalani kegiatan dan ibadah seperti biasa.
“Alhamdulillah, ibadah umrah saya tidak terjejas sama sekali. Semuanya berjalan lancar dan saya kini bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Madinah,” tambahnya.
Di samping itu, GSA tempatan dihubungi BH turut mengesahkan bahawa perjalanan jemaah Singapura di Arab Saudi tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.
Menurut Perunding Kanan Pelancongan merangkap mutawif Karva Travel, Ustaz Mohammad Lazim Abdul Karim, jemaah di bawah kendalian mereka bagi kumpulan September bakal pulang ke Singapura seperti dirancang pada 18 September menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah.
“Buat masa ini, semua persiapan yang telah dibuat akan berjalan seperti biasa selagi belum ada arahan untuk pertukaran, penundaan atau pembatalan.
“Keselamatan para jemaah sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata Ustaz Lazim kepada BH.
Beliau menambah bahawa pihak agensinya sentiasa mengemas kini maklumat perjalanan jemaah menerusi saluran rasmi Konsulat-Jeneral Singapura di Jeddah bagi membolehkan pihak kedutaan memantau pergerakan mereka.
"Kami mengharapkan agar orang ramai mendapatkan berita yang sahih dari sumber yang benar dan boleh dipercayai, serta menghubungi pihak agensi bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini," nasihatnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Ustaz Lazim turut menggalakkan jemaah mendapatkan perlindungan insurans perjalanan tambahan bagi menghadapi sebarang keadaan yang tidak dijangka.
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, turut berkata operasi agensinya tidak terjejas, meskipun sebuah kumpulan seramai 27 jemaah kendaliannya berada di Makkah ketika insiden berlaku.
Kumpulan yang berada di Arab Saudi dari 5 hingga 16 September itu meneruskan perjalanan seperti dijadualkan, dengan 25 jemaah selamat pulang ke Singapura manakala dua lagi melanjutkan penginapan mereka di Arab Saudi.
“Apabila insiden itu berlaku, kami memantau keadaan untuk melihat sama ada perjalanan kumpulan yang bakal pulang akan terjejas.
“Namun, tiada apa-apa yang terjejas dan ketua rombongan melaporkan bahawa keadaan seperti biasa,” terang Encik Haffidz.
Beliau menjelaskan bahawa tidak seperti urusan haji yang dikendalikan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), perjalanan umrah tidak berada di bawah bidang kuasa mereka, dengan GSA sebaliknya berkongsi maklumat pergerakan jemaah dengan Konsulat-Jeneral Singapura di Jeddah sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan.
Menurut Encik Haffidz, Halijah Travels mempunyai dua kakitangan sepenuh masa masing-masing di Makkah dan Madinah yang memantau keadaan di lapangan, dan setakat ini tiada gangguan penerbangan atau isu keselamatan dilaporkan kepada agensi itu.
Tambahnya, sebuah lagi kumpulan jemaah kendalian Halijah Travels dijadualkan berangkat ke Arab Saudi pada 26 September dan perjalanan itu akan diteruskan seperti dirancang.
“Buat masa ini, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Jadual perjalanan berjalan seperti biasa dan keutamaan kami adalah memastikan keselamatan serta kebajikan jemaah tidak terjejas,” jelas beliau.
