Setiap kali mahu melintas jalan, Cik Nuraziana Mohd Said perlu menghayunkan tongkatnya untuk mengesan timbulan bulat pada jubin taktil di laluan pejalan kaki.

Beliau yang mempunyai penglihatan kurang lima peratus akibat glaukoma yang dihidapinya sejak berusia sembilan tahun, turut bergantung pada isyarat audio daripada lampu isyarat untuk mengetahui waktu yang selamat untuk melintas serta menentukan arah tujuannya.

Baginya, jubin taktil tersebut bukan sekadar sebahagian daripada laluan pejalan kaki, malah menjadi panduan yang membolehkannya bergerak secara berdikari tanpa bantuan orang lain.

“Jubin ini sangat penting kerana saya menggunakannya untuk berulang-alik ke tempat kerja, menaiki MRT, dan melintas jalan,” kongsi Cik Nuraziana, 42 tahun, seorang penjawat awam dalam bidang pentadbiran.

Justeru, beliau menyambut baik langkah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menggantikan jubin taktil di lintasan pejalan kaki dengan jenis baharu yang lebih tahan lama dan mempunyai ciri anti-kegelinciran yang dipertingkatkan.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), LTA berkata kerja penggantian telah bermula di beberapa lintasan pejalan kaki, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang mempunyai jumlah pejalan kaki yang tinggi.

Buat masa ini, jubin taktil baharu itu boleh ditemui di Woodlands Road, Hougang Avenue 2, Victoria Street, New Bridge Road, Serangoon Road, dan Bukit Batok East Avenue 6, kongsi LTA kepada BH.

Namun, LTA tidak menyatakan jenis bahan yang digunakan untuk menghasilkan jubin taktil baharu tersebut.

Tinjauan BH mendapati jubin jenis baharu itu telah dipasang di tiga lintasan pejalan kaki di persimpangan Serangoon Road dan Buffalo Road.

Menurut laporan The Straits Times pada Julai 2026, LTA berkata semua jubin taktil di lintasan pejalan kaki akan digantikan secara bertahap dalam tempoh empat tahun dengan jenis yang lebih tahan lama dan mempunyai ciri anti-kegelinciran yang dipertingkatkan, dengan kerja dijangka selesai menjelang 2030.

Pada 22 Jun, bekas pramugari, Cik Venecia Ng, 40 tahun, tergelincir di atas jubin taktil yang basah selepas hujan di Thomson Road.

Beliau menjalani pembedahan pada 30 Jun, namun kemudian mengalami sesak nafas dan rebah di hospital sebelum meninggal dunia pada 9 Julai.

Jubin taktil baharu di Serangoon Road mengekalkan warna dan reka bentuk jubin lama, tetapi diperbuat daripada bahan dengan ciri anti-kegelinciran yang dipertingkatkan.
Jubin taktil baharu di Serangoon Road mengekalkan warna dan reka bentuk jubin lama, tetapi diperbuat daripada bahan dengan ciri anti-kegelinciran yang dipertingkatkan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

LTA memberitahu BH bahawa jubin taktil telah dipasang di lintasan pejalan kaki sejak 2010 untuk membimbing golongan yang mempunyai masalah penglihatan dan mematuhi piawaian antarabangsa bagi ciri anti-kegelinciran, termasuk dalam keadaan basah.

Menurut laman LTA, terdapat dua jenis jubin taktil yang digunakan di Singapura untuk memberi panduan berbeza kepada pengguna.

  1. Timbulan bulat: menandakan detik membuat keputusan atau persimpangan, seperti di pintu tambang, lif dan pintu skrin platform
  2. Jalur memanjang: menunjukkan arah perjalanan

Mengulas tentang kerja penggantian jubin tersebut, Cik Noraziana, berharap jubin baharu bukan sahaja lebih selamat, malah terus berkesan dalam membimbing gologan kurang penglihatan.

“Saya berharap jubin baharu ini akan kekal berkesan dalam membimbing kami.

“Penting untuk kita mengambil kira keselamatan orang ramai, di samping membantu golongan yang mempunyai masalah penglihatan,” ujarnya.

Menurutnya, kemudahan sedemikian turut memainkan peranan dalam membentukkan masyarakat lebih inklusif yang memberi golongan kurang upaya penglihatan keyakinan untuk menjalani kehidupan secara berdikari.

“Jubin ini membolehkan kami hidup secara kendiri kerana kami dapat menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung pada orang lain,” kata beliau.

Namun, beliau berharap penggunaan jubin taktil dapat diperluaskan ke lebih banyak ruang awam, bukan sahaja di lokasi seperti lintasan pejalan kaki, stesen MRT, dan jejantas.

Menurutnya, panduan sedemikian juga dapat membantu golongan kurang penglihatan melakukan kegiatan lain secara lebih berdikari, termasuk beriadah dan mengunjungi pusat beli-belah.

“Kadangkala, sebaik sahaja kami memasuki pusat beli-belah, kami akan sesat kerana tiada jubin taktil.

“Jadi, kami perlu bergantung pada deria lain seperti bau untuk mencari kedai makan,” jelasnya.