Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenulis hilang daya penglihatan hasil buku kanak-kanak inklusif
Penulis hilang daya penglihatan hasil buku kanak-kanak inklusif
Penulis hilang daya penglihatan hasil buku kanak-kanak inklusif
Kehilangan penglihatan pada usia pertengahan merupakan satu fasa yang amat sukar buat Sherriza Hareani Jalil.
Beliau disahkan menghidapi retinitis pigmentosa pada 2000, sejenis penyakit mata yang jarang ditemui dan menyebabkan beliau hilang daya penglihatannya secara bertahap, ketika berusia 32 tahun.
Sherriza merupakan penulis sambilan untuk ruangan Life! di The Straits Times ketika itu.
Pada mulanya, Cik Sherriza sukar menerima hakikat tentang keadaannya terutama sekali apabila terpaksa melepaskan minatnya dalam bidang penulisan.
Beliau juga berasa malu untuk berdepan dengan orang lain.
Namun, beliau berjaya membiasakan diri dengan dunia baharunya, menerusi sokongan rakan-rakan di Persatuan Golongan Kurang Upaya Penglihatan Singapura (SAVH).
Kini berusia 58 tahun, minat Sherriza untuk menulis tidak pernah padam.
Titik perubahan hadir pada 2021 apabila beliau mendapat peluang menulis buku bergambar untuk kanak-kanak, satu impian yang sudah lama dipendamnya.
Sejak itu, beliau menumpukan usahanya untuk membantu kanak-kanak yang turut mengalami masalah daya penglihatan agar mereka juga dapat menikmati keseronokan membaca cerita bergambar menerusi inisiatif, Picture the book.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Sherriza menjelaskan bahawa buku bergambar banyak bergantung pada ilustrasi untuk menyampaikan jalan cerita.
“Saya mengarang buku bergambar supaya kanak-kanak yang mengalami masalah daya penglihatan, masih boleh membayangkan kisah, tanpa perlu melihat ilustrasi,” kata Cik Sherriza, yang tidak mempunyai anak.
Penerbitannya tertumpu kepada kanak-kanak berusia tiga hingga lapan tahun.
Penggunaan tatabahasa yang jelas juga penting, supaya kanak-kanak dapat memahami niat dan tingkah laku watak.
“Saya memastikan kanak-kanak tersebut boleh menggambarkan jalan cerita menerusi perkataan juga dan kemudian membayangkan cerita itu mengikuti cara mereka tersendiri,” tambahnya.
“Usia awal itu adalah yang terbaik untuk kita menerapkan nilai dan ilmu dalam kanak-kanak, dan saya tidak mahu kanak-kanak tiada daya penglihatan ketinggalan daripada pengalaman bermakna itu,” kata Cik Sherriza.
Dengan penuh semangat, Cik Sherriza mengatasi pelbagai cabaran demi memenuhi azamnya itu.
Beliau sudah hampir dua dekad tidak menulis, apatah lagi menceburi gaya penulisan yang baru.
“Ia amat berbeza jika dibandingkan menulis rencana profil.
“Sebagai persiapan, saya membeli pelbagai buku latihan dan meminjam buku bergambar dari perpustakaan,” katanya.
“Saya juga menggunakan senarai semak apabila mengarang buku bergambar,” seloroh Sherriza.
Usaha itu membantu Sherriza menghasilkan sembilan judul buku sejak 2022.
Buku pertama beliau, berjudul, I Am Not an Owl Or Am I? mengisahkan seekor burung hantu yang berdepan kekeliruan jati diri, namun akhirnya belajar menerima hakikat kerana keistimewaan yang terdapat pada dirinya.
Malah, beliau juga mempertingkatkan penulisannya dengan menggabungkan unsur audio, muzik dan video.
Sherriza mengadakan sesi penceritaan secara langsung, atau Story-Oke (penceritaan yang digabungkan dengan karaoke), untuk tiga judul buku yang dikarangnya.
Dalam sesi tersebut, kanak-kanak akan mengikuti dan menceritakan semula, menerusi gabungan naratif, muzik dan irama, sekali gus menawarkan pengalaman membaca yang lebih interaktif serta imersif.
Beliau juga turut menyumbang kepada masyarakat dalam meningkatkan kesedaran tentang proses menghasilkan buku cerita bergambar yang inklusif dan mudah diakses oleh kanak-kanak.
Pada November 2025, beliau berkongsi ilmunya itu kepada 450 pelajar program Pembangunan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECDE) di Politeknik Ngee Ann.
Di sebalik menjayakan usaha itu, Sherriza menganggap suaminya, Encik Rashul Rahman, sebagai tonggak semangat utamanya.
Cinta yang mekar selama 31 tahun antara pasangan itu jelas terpancar, menerusi setiap pengorbanan yang dilakukan Encik Rashul.
Sambil berseloroh, Sherriza berkongsi bahawa suaminya bukan sekadar membiayai operasi penerbitan buku bergambar tersebut, malah sanggup mengorbankan banyak masa dan tenaga demi memastikan impiannya itu menjadi kenyataan.
Selaku seorang jurutera bunyi bebas, beliau membantu isterinya dalam aspek susun atur dan penyuntingan, hinggalah penyediaan video, format audio dan pemasaran digital asas.
Beliau sehingga melalui kursus pemasaran digital demi memperluaskan penerbitan isterinya.
“Kami sedar bahawa tempoh pandemik Covid-19 merupakan waktu yang paling sesuai untuk mencuba sesuatu yang baharu. Isteri saya juga semakin meningkat dan saya tahu beliau amat meminati menulis untuk untuk kanak-kanak.
“Sebab itu, saya tekad untuk memberikan sokongan penuh demi merealisasikan impiannya ini. Pada masa yang sama, kami juga berharap usaha ini dapat membantu rancangan persaraan kami kelak,” ujar Encik Rashul.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan Singapura ke-61, Sherriza melahirkan rasa syukur kerana berpeluang merapatkan jurang dalam kalangan kanak-kanak pelbagai peringkat keupayaan untuk menghayati pembacaan buku dan persembahan seni.
Beliau berharap masyarakat semakin menyedari bahawa golongan kurang upaya turut mempunyai minat dan keinginan untuk menikmati hiburan seperti anggota masyarakat lain.
Berbekalkan semangat itu, Sherriza berazam untuk terus memperluaskan karyanya demi menyantuni seramai mungkin kanak-kanak kurang upaya penglihatan.
Berikut antara buku yang telah diterbitkan oleh Sherriza, yang menggunakan nama pena, Sherri Eri:
- ‘A Kitten’s Love Story’
- ‘It’s Raining, Cats and Duck’
- ‘The Smitten Kitten Strikes Again’
- ‘The Fart Brigade’
- ‘Mermaid On A Mountaintop’
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026