Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadi kongsi realiti sebenar satukan jodoh 6 pasangan di sebalik tirai besi penjara
Kadi kongsi realiti sebenar satukan jodoh 6 pasangan di sebalik tirai besi penjara
Kadi kongsi realiti sebenar satukan jodoh 6 pasangan di sebalik tirai besi penjara
Bagi Ustaz Mohammed Nazim Rahuma Dulla, menikahkan mempelai di balik jeriji penjara telah menjadi satu tanggungjawab yang sudah sebati dengan tugasnya.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), kadi yang berusia 44 tahun itu berkata majlis akad nikah antara Faredz Ashim dengan Cik Nurashikin Husni Thamrin yang berlangsung pada 15 Januari lalu merupakan kali keenam beliau menyempurnakan akad nikah di mana seorang daripada pasangan masih dipenjarakan.
Beliau berkata pengalaman pertamanya mengendalikan akad nikah banduan bermula tidak lama selepas pandemik Covid-19 apabila diminta menjalankan akad secara dalam talian menerusi Zoom.
Selepas sekatan pandemik dilonggarkan, beliau mula menyempurnakan akad nikah secara bersemuka di dalam penjara, bermula dengan pasangan ketiganya.
Selain berkhidmat sebagai kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), beliau juga merupakan kaunselor agama di bawah Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), sebuah program oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk menyediakan perkhidmatan sokongan yang dipertingkatkan untuk banduan Islam dan keluarga mereka di Singapura.
“Sudah hampir 18 tahun saya berkhidmat di bawah Fitrah. Jadi berinteraksi dengan banduan dan berada di suasana sedemikian bukan sesuatu yang janggal bagi saya.
“Pengalaman itulah antara sebab saya dipilih untuk mengendalikan akad nikah di penjara, walaupun sebenarnya tiada kriteria khusus yang ditetapkan untuk seseorang kadi melaksanakan tugas tersebut,” jelasnya.
Katanya, meskipun rukun dan prosedur akad nikah adalah sama seperti majlis biasa, proses di penjara memerlukan penyelarasan tambahan.
Setiap permohonan perlu mendapat kelulusan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) terlebih dahulu sebelum diproses oleh ROMM, selain tertakluk kepada prosedur keselamatan dan jadual yang ditetapkan pihak penjara.
“Majlis akad nikah biasa selalunya selesai dalam tempoh sekitar sejam, tetapi di penjara ia boleh mengambil masa lebih 90 minit kerana perlu melalui pelbagai prosedur keselamatan dan penyelarasan dengan pegawai penjara,” terang beliau.
Bagi Ustaz Nazim, beliau turut akan mengadakan sesi kaunseling secara bersemuka untuk pasangan yang ingin bernikah di penjara.
Namun, kandungannya disesuaikan dengan cabaran yang bakal mereka hadapi sepanjang tempoh pemenjaraan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah tanggungjawab suami menyediakan nafkah ketika berada dalam penjara, cara pasangan menangani soal keizinan isteri keluar rumah, kepentingan membina kepercayaan serta mengelakkan salah faham yang boleh timbul akibat khabar angin atau cerita yang tersebar dalam kalangan banduan.
“Selain membantu pasangan membuat persediaan emosi, pengalaman saya membimbing banduan membolehkan saya menyesuaikan pendekatan kaunseling mengikut cabaran unik yang dihadapi pasangan.
“Terdapat pelbagai sebab mengapa seseorang banduan memilih untuk berkahwin ketika menjalani hukuman.
“Ada yang benar-benar mahu membina kehidupan bersama pasangan, manakala ada juga yang melihat perkahwinan dapat memudahkan urusan lawatan atau perancangan masa depan seperti permohonan perumahan,” katanya.
Ustaz Nazim turut menasihatkan pasangan yang bercadang untuk bernikah ketika salah seorang masih dipenjarakan supaya berfikir secara matang tentang masa depan, bersedia menghadapi cabaran, dan bersabar sepanjang proses permohonan.
Beliau juga bercadang agar mereka melakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan serta membina rumah tangga berasaskan komitmen, kepercayaan dan kesediaan untuk mengharungi dugaan bersama.
“Kemudian hari, objektif saya adalah untuk memudahkan urusan mereka. Saya percaya apabila seseorang banduan tahu masih ada insan yang mengambil berat dan menyokongnya, peluang untuk dia berubah dan menjadi insan yang lebih baik adalah lebih tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, isteri kepada seorang banduan, Cik Nurashikin, berkata kehidupan rumah tangganya tidak banyak berubah sejak bernikah pada Januari lalu kerana mereka sudah lama membiasakan diri hidup berjauhan.
Menurut beliau, beliau dan suami kini hanya dapat berhubung melalui sesi lawatan bersemuka dua kali setahun dan sesi telelawatan selama 30 minit setiap bulan.
Bagi mereka, saat-saat itu menjadi sesuatu yang paling dinantikan.
“Yang paling mencabar ialah menguruskan kehidupan seorang diri. Ada kalanya kami perlukan seseorang untuk membantu menguruskan pelbagai perkara, tetapi saya bersyukur kerana keluarga banyak memberi sokongan,” katanya sambil menambah bahawa ibu bapa, kakak serta abang iparnya sentiasa berada di sisi.
Beliau berkata, suaminya masih menunggu perkembangan mengenai tarikh pembebasannya dan kini berusaha mengekalkan rekod disiplin yang baik bagi melayakkan diri menyertai program pemulihan, yang berpotensi memendekkan tempoh hukumannya.
Mengulas reaksi masyarakat selepas kisah perkahwinan mereka disiarkan BH sebelum ini, beliau berkata ramai wanita menghubunginya untuk mendapatkan panduan mengenai prosedur lawatan serta proses mendapatkan kelulusan perkahwinan.
Menurutnya, ia memerlukan beberapa sesi temu duga bersama pegawai sosial, termasuk penilaian terhadap latar belakang, pekerjaan, kedudukan kewangan serta sebab mereka ingin mendirikan rumah tangga.
Menyentuh tentang kritikan segelintir netizen yang meramalkan perkahwinan mereka tidak akan berkekalan, Cik Nurashikin berkata beliau memilih untuk tidak melayan pandangan sedemikian.
