Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPS: Nikah dalam penjara bukan amalan biasa, boleh dipertimbang tapi tak terjamin
SPS: Nikah dalam penjara bukan amalan biasa, boleh dipertimbang tapi tak terjamin
SPS: Nikah dalam penjara bukan amalan biasa, boleh dipertimbang tapi tak terjamin
Walaupun perkahwinan dalam penjara bukan sesuatu yang biasa diamalkan, permohonan untuk bernikah dalam penjara boleh dipertimbangkan berdasarkan kes demi kes, menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Dalam pada itu, SPS akan akan mengambil kira faktor serta keadaan khusus bagi setiap kes, jelasnya dalam jawapan kepada Berita Harian (BH) yang bertanya tentang proses pernikahan dalam penjara dan kriteria yang perlu dipenuhi.
“Memandangkan setiap kes adalah unik, kelulusan adalah berdasarkan budi bicara dan tidak terjamin,” kata SPS tanpa mengulas lanjut.
SPS juga enggan mendedahkan jumlah permintaan untuk bernikah dalam penjara yang telah diluluskan sebelum ini.
Baru-baru ini, kisah pasangan Cik Nurashikin Husni Thamrin dan Faredz Ashim yang bernikah di Sekolah Penjara Tanah Merah pada 15 Januari menjadi tular.
Cik Nurashikin akhirnya sah bergelar isteri kepada Faredz, yang kini menjalani hukuman penjara akibat kesalahan berkaitan dadah, selepas enam kali pemohonannya ditolak dalam tempoh empat tahun.
Menurut SPS, secara umumnya, ia tidak mengendalikan majlis pernikahan di penjara memandangkan ia melibatkan pertimbangan dari segi keselamatan dan operasi.
“Kami amat menggalakkan banduan dan bakal pasangan mereka untuk mengaturkan pernikahan mereka selepas pembebasan banduan, di mana mereka dapat membuat persiapan yang lebih baik serta membolehkan orang tersayang menyaksikan peristiwa penting hidup itu dalam masyarakat.
“Bagaimanapun, SPS sedar bahawa terdapat keadaan luar biasa yang boleh timbul melibatkan pertimbangan keluarga yang mendesak,” tambah jurucakap SPS.
Dalam situasi sedemikian, permohonan untuk melangsungkan perkahwinan di penjara boleh dipertimbangkan dengan menilai faktor dan keadaan khusus setiap kes.
Menurut SPS, kelulusan yang diberikan bagi sesuatu permohonan tidak mewujudkan duluan untuk kes pada masa hadapan kerana setiap permohonan dinilai berdasarkan merit dan keadaannya sendiri.
Sekiranya sesuai, SPS akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Pendaftar Perkahwinan (ROM) atau Pendaftar Perkahwinan Orang Islam (ROMM), serta rakan masyarakat bagi mengendalikan aturan yang diluluskan dalam sekitaran yang terkawal dan selamat.
Memandangkan aturan tersebut dibuat atas dasar budi bicara, SPS berkata pihaknya tidak dapat mengulas mengenai kes-kes tertentu atau memberikan maklumat lanjut mengenainya.
