Tingkah laku penumpang cilik Kyle Mishary Hirman telah menjadikan penerbangan pertama keluarganya selepas tujuh tahun sebagai satu detik yang amat menyentuh hati.
Kanak-kanak berusia lapan tahun itu telah menyediakan bungkusan hadiah kecil sebagai tanda penghargaan kepada kru kabin dalam penerbangan Singapore Airlines (SQ) ke Indonesia pada 27 Disember 2025.
Idea tersebut tercetus selepas beliau menonton video-video perjalanan yang positif dalam talian dan telah dirancang beberapa bulan lebih awal.
Ia didorong semata-mata oleh keinginannya untuk berbuat baik kepada orang lain.
Menurut ibunya, Cik Noor Melissa Zainal, 47 tahun, Mishary mengaitkan perbuatan memberi itu dengan kegembiraan yang sering dilihatnya semasa musim Krismas, walaupun keluarga mereka tidak menyambut perayaan tersebut.
“Saya teruja apabila melihat video yang ditunjukkan oleh Mishary. Ternyata tidak semua kandungan media sosial bersifat negatif jika ia dipantau dengan betul. Ada juga yang boleh dijadikan sebagai contoh,” tambah suri rumah itu kepada Berita Harian.
Beliau turut berkongsi bahawa mereka pada awalnya risau tentang kos pemberian hadiah itu.
“Saya sempat membuat carian di Google dan mendapati terdapat kira-kira 15 orang kru dalam penerbangan tersebut. Terus terfikir: ‘Alamak, kalau nak beli barang yang mahal memang berat dan tidak mampu.’ Tetapi kami tetap mahu memberi,” kata ibu kepada tiga orang anak itu
Sebagai alternatif, beliau membawa Mishary ke kedai ValueDollar dan membiarkan anaknya sendiri memilih barangan untuk dijadikan hadiah.
Antara barangan yang dipilih ialah coklat KitKat – sesuai untuk dinikmati kru ketika waktu rehat singkat – serta gula-gula kecil seperti Tic Tac Fruit Plus Candy, serta tisu basah mini yang diletakkan di dalam beg hadiah kecil.
Adik bongsu daripada tiga beradik itu melengkapkan hadiah tersebut dengan tulisan nota:
“Hai, saya Mishary. Saya pernah menaiki kapal terbang ketika berusia satu tahun, tetapi saya tidak ingat apa-apa. Jadi, ini merupakan kali pertama saya. Harap anda menyukai hadiah kecil saya.”
Jelas Cik Melissa, sambutan kru kabin amat mesra terhadap pemberian Mishary.
Mereka membalas pemberian Mishary dengan penuh hormat – bermula dengan pemberian dua mainan, diikuti sebuah beg Singapore Airlines berisi keperluan seperti selipar, stokin, pen, kacang dan penutup mata.
Cik Melissa yang turut bercuti bersama keluarga serta nenek dan datuk Mishary berkongsi bahawa beliau terharu apabila kru kabin memanggil anaknya dengan nama, “Mishary”, ketika menyerahkan hadiah.
Malah, pihak kru juga kembali sekali lagi dengan satu beg berisi baju tidur Singapore Airlines.
Apa yang paling mengagumkan, semua barangan tersebut dihidangkan di atas dulang, mencerminkan sikap yang sangat sopan dan beradab serta nota ringkas yang mengucapkan terima kasih atas pemberian hadiah tersebut.
“Kami percaya, jika kita berbuat baik kepada orang lain, kebaikan itu akan datang berkali-kali kepada kita,” katanya.
Prinsip ini telah dipegang oleh beliau dan suami, Encik Hirman Ramlee sejak muda.
Suaminya juga pernah dan masih menjadi ketua kumpulan dikir barat dan kompang yang membimbing ramai remaja lelaki sejak tahun 2002.
“Daripada budak sekolah dahulu sehingga kini menjadi bapa muda, mereka masih berhubung dan mengingati seperti mana kami melayan mereka,” tambahnya.
Selepas kejadian itu, Cik Melissa mengambil kesempatan untuk memberi penjelasan ringkas kepada Mishary:
“Saya cuma cakap, ‘Nampak tak bagaimana kamu membuat mereka (kru kabin) gembira, dan bagaimana mereka menghargai kamu?’ Dia hanya mengangguk dan hampir menangis. Dia benar-benar terharu.”
Interaksi tersebut itu dirakamkan dan dimuatnaikkan di akaun TikTok serta Instagram Cik Melissa dan telah mencetuskan reaksi dalam talian yang mengingatkan ramai bahawa perbuatan ikhlas yang kecil juga mampu meninggalkan kesan yang berkekalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg