Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari rumah ke hospital, FitBarber mudahkan akses pelanggan

Bekas pemain bola sepak profesional, Andy Ahmad, perkenal khidmat gunting rambut bergerak
Sep 21, 2025 | 5:30 AM
FitBarber, Andy Ahmad, perkhidmatan gunting rambut bergerak
Pengasas FitBarber, Encik Andy Ahmad, bersama isterinya, Cik Nuralifah Mohamed Yunos, yang membantu menguruskan perkhidmatan gunting rambut bergerak. Encik Andy menggunakan van di belakangnya untuk mengisi peralatannya dan untuk ke tempat pelanggan. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Memiliki perniagaan gunting rambut di rumah bukan lagi sesuatu yang asing di Singapura.

Namun, bekas pemain bola sepak profesional Woodlands Wellington, Encik Andy Ahmad, 34 tahun, mengubah kebiasaan itu dengan memperkenalkan perkhidmatan gunting rambut bergerak.

Selepas lima tahun beraksi dalam bidang bola sepak, beliau mengambil keputusan untuk menggantung but setelah memikirkan tentang masa depannya.

Kini, syarikatnya yang dikenali sebagai FitBarber, baru sahaja dilancarkan secara rasmi setahun lalu walaupun minatnya dalam bidang ini sudah hampir 10 tahun.

Bagi Encik Andy, titik perubahan itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu apabila beliau diminta menggunting rambut arwah bapa kawan baiknya yang terlantar sakit dan tidak berupaya keluar rumah.

Dengan bantuan tunangnya ketika itu – kini isterinya – Cik Nuralifah Mohamed Yunos, seorang jururawat, Encik Andy dibimbing tentang cara mengurus warga emas secara berhati-hati.

“Beberapa hari kemudian, bapa kawan saya meninggal dunia. Keluarga arwah rasa bersyukur akan perkhidmatan saya kerana arwah pergi dengan keadaan yang kemas,” kata Encik Andy.

Pengalaman tersebut mendorong Encik Andy, bapa kepada dua orang anak berusia tiga dan empat tahun, untuk terus membantu golongan warga emas serta mereka yang kurang upaya, selepas melihat bagaimana beliau dapat menolong orang lain.

Malah, penglibatan awalnya dalam menggunting rambut kanak-kanak istimewa juga dipengaruhi pengalaman peribadinya yang pernah menggunting rambut anak saudara lelakinya.

Ryan Rudy, 16 tahun, merupakan anak istimewa kepada abang Encik Andy, Encik Rudy Ahmad.

Beliau akui pengalaman memotong rambut Ryan telah banyak mengajar beliau untuk menyesuaikan diri dan memahami keperluan pelanggan dengan keperluan khas.

“Alat gunting rambut itu sendiri bunyinya tidak boleh terlalu kuat. Jadi, saya melabur dalam alat yang berbeza untuk mencuba sama ada ia sesuai dengan kanak-kanak seperti ini atau tidak.

“Sekarang alat yang saya ada ialah jenis yang mempunyai desibel (kekuatan bunyi) yang sangat rendah dan tidak menakutkan kanak-kanak istimewa ini,” terang Encik Andy.

Alat gunting rambut yang mempunyai desibel (kekuatan bunyi) yang rendah ini dibeli Encik Andy untuk digunakan ketika menggunting rambut kanak-kanak istimewa.
Alat gunting rambut yang mempunyai desibel (kekuatan bunyi) yang rendah ini dibeli Encik Andy untuk digunakan ketika menggunting rambut kanak-kanak istimewa. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kini semua peralatan, termasuk kerusi pelanggan, tersusun rapi di dalam van bagi memudahkan proses khidmatnya.

Walaupun sudah lama dalam bidang ini, beliau akur menghadapi cabaran untuk menolong sebanyak pelanggan yang boleh, kerana tiada siapa lagi yang melakukan perkhidmatan gunting rambut bergerak bagi mereka yang memerlukan.

Syarikat FitBarber menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai lapisan masyarakat, daripada bayi dan kanak-kanak kepada orang dewasa dan warga emas, termasuk pelanggan yang berlainan kaum.

“Tidak kira tua ataupun muda, sihat ataupun tidak, saya tolong sebanyak yang boleh,” katanya.

Perkhidmatannya turut meliputi ‘full grooming’ (rambut dan janggut bagi pelanggan dewasa dan warga emas), dengan kadar bayaran yang mengikuti peringkat umur pelanggan – kanak-kanak $28, warga emas $38, dan orang dewasa $48.

Kini, Encik Andy mempunyai sekurang-kurangnya 200 pelanggan setia dan mengurus sebanyak 250 temu janji dalam sebulan.

Beliau turut melakukan lawatan di serata Singapura termasuk menawarkan perkhidmatannya di hospital demi keselesaan pelanggannya yang sedang menerima rawatan.

Encik Andy memotong rambut pelanggan yang merupakan pesakit angin ahmar di Hab Jagaan Bersepadu (ICH), Hospital Tan Tock Seng (TTSH). FitBarber turut menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang berada di dalam hospital.
Encik Andy memotong rambut pelanggan yang merupakan pesakit angin ahmar di Hab Jagaan Bersepadu (ICH), Hospital Tan Tock Seng (TTSH). FitBarber turut menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang berada di dalam hospital. - Foto ihsan ANDY AHMAD

Encik Andy menguruskan FitBarber bersama isterinya, Cik Nuralifah, 34 tahun, yang menguruskan hal pentadbiran dan media sosial, manakala Encik Andy akan melakukan kerja menggunting rambut.

Khidmat FitBarber boleh didapatkan menerusi temu janji yang harus dibuat melalui laman tempahan berikut: FitBarber Booking

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg