Ketika kebanyakan orang mungkin memilih untuk meneruskan perjalanan masing-masing, beberapa individu sebaliknya mengambil keputusan untuk berhenti dan menghulurkan bantuan selepas melihat bahagian depan sebuah kereta dijilat api di sekitar Orchard Road pada 11 pagi.

Antara yang tampil membantu ialah seorang penunggang motosikal yang menghampiri sebuah bas dua tingkat berhampiran untuk meminta alat pemadam api.

Di dalam bas tersebut ialah Cik Mahirah Mohammed Noor Khan, 20 tahun, yang menyaksikan pemandu bas berkenaan mengambil beberapa alat pemadam api sebelum turut membantu memadamkan kebakaran itu.

“Seorang penunggang motosikal Melayu yang berbaju hijau cuma mengalihkan motosikalnya ke tepi jalan, lebih kurang 3 hingga 4 meter dari tempat kejadian.

“Selepas itu, beliau terus datang, berlari melintas jalan untuk memberhentikan bas saya dan bertanya sama ada terdapat alat pemadam api,” kata Cik Mahirah.

Beliau, seorang mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS), menaiki bas 972M dalam perjalanan ke Plaza Singapura.

Menurutnya, pemandu bas yang dinaikinya segera mengambil kira-kira tiga alat pemadam api untuk membantu memadamkan kebakaran tersebut.

Seorang lagi pemandu bas yang berada di belakang bas berkenaan, turut berhenti untuk memberikan alat pemadam api tambahan.

Secara keseluruhan, kira-kira tiga hingga empat alat pemadam api digunakan dalam usaha memadamkan kebakaran itu.

Seorang jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberitahu Berita Harian, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada kira-kira 11.05 pagi, 3 November.

Kebakaran melibatkan bahagian enjin kereta tersebut dan berjaya dipadamkan menggunakan pancutan air, namun punca kebakaran masih dalam siasatan.

SCDF turut melaporkan tiada sebarang kecederaan yang berlaku.

Menurut Cik Mahirah, keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila sebahagian daripada kereta yang terbakar itu tiba-tiba meletup lalu tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Ketika mereka sedang memadamkan api, tiba-tiba salah satu bahagian kereta itu meletup dan tercampak keluar, lebih kurang 3 hingga 4 meter, mungkin sekitar 5 meter dari tempat kejadian,” tambah Cik Mahirah kepada BH.

Suasana dalam bas pula pada mulanya agak tenang dengan penumpang di tingkat bawah sekadar merakam kejadian menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Bagaimanapun, mereka mula berasa cemas apabila melihat sebahagian kereta tercampak akibat letupan itu, namun para penumpang tetap berada di tempat masing-masing.

Anggota bomba kemudian tiba kira-kira lima hingga 10 minit selepas kejadian dan mengambil alih usaha memadamkan kebakaran tersebut.

Bagi Cik Mahirah, kejadian itu memperlihatkan bagaimana keprihatinan tidak semestinya datang daripada mereka yang dikenali, sebaliknya boleh ditunjukkan oleh orang asing yang sanggup berhenti seketika untuk membantu mereka yang memerlukan.