Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki 68 tahun maut selepas flat di Lorong Lew Lian terbakar, dikenang sebagai jiran peramah meski tinggal bersendirian
Lelaki 68 tahun maut selepas flat di Lorong Lew Lian terbakar, dikenang sebagai jiran peramah meski tinggal bersendirian
Lelaki 68 tahun maut selepas flat di Lorong Lew Lian terbakar, dikenang sebagai jiran peramah meski tinggal bersendirian
Dikenali sebagai seorang yang baik hati dan peramah, terutama terhadap kanak-kanak, Encik Abdul Rahman Ahmad, 68 tahun, telah meninggal dunia selepas kebakaran yang berlaku di flatnya di Lorong Lew Lian, Upper Serangoon, pada 1 September.
Allahyarham Abdul Rahman, seorang bapa yang mempunyai beberapa orang anak dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an, tinggal bersendirian, menurut anak perempuannya yang enggan mendedahkan namanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Pusara Aman pada 2 September sekitar 3 petang.
Difahamkan, Allahyarham yang sedang melalui proses perceraian, merupakan anggota Masjid Haji Yusoff.
BH telah menghubungi pihak masjid untuk mendapatkan komen.
Biarpun tinggal sendirian, Allahyarham, yang gemar menghabiskan masa melakukan kerja pertukangan, dikenali sebagai seorang yang mudah mesra dan sentiasa mengambil berat terhadap jiran, khususnya kanak-kanak di kawasan kediamannya.
Demikian menurut jirannya, Cik Siti Aisha Abdul Rahman, 46 tahun, yang sudah lapan tahun menetap di flat berkenaan.
Cik Aisha berkata beliau dan Allahyarham sering bertegur sapa setiap kali berselisih.
“Saya berpindah ke rumah ini ketika anak lelaki saya berusia dua tahun. Sekarang dia sudah 10 tahun.
“Setiap pagi dan setiap kali kami lalu di hadapan rumahnya, Allahyarham akan memberi salam.
“Beliau juga akan menyebut nama anak saya dan bertanya, ‘Amir, nak pergi sekolah? Jalan baik-baik, ya. InsyaAllah, Allah akan lindungi kamu. Kamu akan jadi budak yang pandai.’
“Kemudian beliau akan berkata kepada saya, ‘Assalamualaikum Aisha. Kerja? Jalan baik-baik,’” kenang beliau ketika dihubungi BH.
Cik Aisha, yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan, berkata kediamannya turut terjejas akibat kebakaran tersebut.
Menurutnya, beliau sedang bekerja ketika kejadian itu berlaku, manakala ibunya merupakan orang pertama yang menyedari kebakaran tersebut.
“Ibu saya yang mula-mula menyedari kebakaran itu. Apabila keluar dari rumah, beliau menjerit meminta pertolongan kerana mengalami kesakitan.
“Ibu saya sebenarnya tidak boleh berjalan untuk jarak yang jauh dan menghidap asma kronik.
“Rumah saya tidak terjejas teruk, hanya bahagian luar. Di dalam rumah, kebanyakannya terdapat serpihan dan habuk yang masih boleh saya bersihkan,” katanya.
Sementara itu, Speaker Parlimen yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Seah Kian Peng, turut melahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham menerusi satu hantaran di Facebook pada hari kejadian.
“Saya sudah mengenalinya selama bertahun-tahun dan kali terakhir bertemu dengannya juga tidak lama dahulu.
“Beliau sudah lama menjadi penduduk di sini dan sememangnya seorang yang peramah, pemergiannya pasti akan dirasai,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Menurut laporan The Straits Times, polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima panggilan mengenai kebakaran di Blok 8 Lorong Lew Lian sekitar 2.45 petang pada 1 September.
Ketika operasi memadam kebakaran dijalankan, seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu sebuah unit di tingkat tiga.
Anggota bomba kemudian membawanya keluar dari unit berkenaan dan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum beliau dibawa ke Hospital Tan Tock Seng.
Polis berkata berdasarkan siasatan awal, tiada unsur perbuatan khianat disyaki, manakala siasatan masih dijalankan.
SCDF pula berkata dalam satu hantaran di Facebook bahawa asap hitam kelihatan keluar dari unit tersebut ketika anggotanya tiba di lokasi.
Kebakaran yang melibatkan barangan di ruang tamu itu kemudian dipadamkan menggunakan pancutan air, menurut SCDF.
Hantaran itu juga menyatakan bahawa kira-kira 30 penduduk blok berkenaan turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Kejadian itu berlaku di tengah-tengah beberapa kes kebakaran kediaman yang membawa maut sejak akhir Julai.
Pada 28 Julai, seorang lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di sebuah flat di Blok 39 Circuit Road.
Tiga hari kemudian, seorang lagi maut dalam kebakaran di Blok 309 Clementi Avenue 4, yang turut menyebabkan dua anggota bomba cedera.
Pada 5 Ogos, seorang lelaki berusia 88 tahun meninggal dunia dua hari selepas kebakaran berlaku di Blok 684 Race Course Road, yang menyebabkan empat lagi penghuni terperangkap di dalam flat.
Pada 16 Ogos pula, seorang lelaki berusia 67 tahun meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di sebuah flat di Jurong East.
