Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerja kutip sampah beri pemuda peluang kedua ubah kehidupan
Ketika ramai anak muda seusianya mengejar kerjaya di bidang profesional ataupun menyambung pelajaran, Encik Muhamad Danial Aiman Abdul Muttalib, 22 tahun, memilih untuk bekerja sebagai pengutip sampah.
Beliau mengakui bahawa bagi sesetengah orang, pekerjaan sedemikian mungkin dianggap kotor atau tidak sesuai bagi golongan muda.
Namun, bagi Encik Danial, tiada apa yang perlu dimalukan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu menganggap ia adalah pekerjaan halal dan peluang untuk membuktikan bahawa beliau mampu mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik.
“Saya mula menceburi industri ini secara tidak sengaja selepas diajak oleh seorang rakan untuk menghadiri temu duga.
“Ketika itu saya memang tidak begitu memilih tentang pekerjaan yang ditawarkan, asalkan ia merupakan sumber pendapatan halal,” katanya yang sudah bekerja selama lima bulan di syarikat 800 Super Waste Management.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Danial mengakui mempunyai kesukaran untuk mendapatkan kerja.
Sebelum ini, beliau bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood.
Pengalaman lalu turut mendorong Encik Danial untuk membuktikan kepada keluarganya bahawa beliau mampu berubah dan menjadi insan yang lebih baik.
“Saya pernah berhenti pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan prestasi saya ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS) juga tidak begitu baik.
“Selepas bertahun mengecewakan ibu dan membuatnya menangis, akhirnya saya dapat menunjukkan kepadanya bahawa saya mampu menjadi seorang yang lebih baik,” ujarnya.
Baru-baru ini, Encik Danial berkongsi rutin hariannya sebagai pengutip sampah menerusi video TikTok yang mengikuti trend ‘sehari dalam hidup saya’.
Video yang dimuat naik pada Julai 2026 meraih lebih 100,000 tontonan dengan ruangan komen dipenuhi kata-kata positif daripada warganet.
Menurutnya, hantaran itu memberi gambaran kepada orang ramai mengenai rutin kerja yang dilakukannya setiap hari.
“Tugas saya adalah mengutip tong sampah, beg sampah dan sisa pukal dari kawasan perumahan serta perindustrian,” katanya.
Menurutnya, beliau biasanya memulakan tugas antara tujuh dengan lapan pagi, bergantung kepada jadual kerja, dan ditugaskan di sekitar Pasir Ris serta Tampines yang terletak berhampiran kediamannya.
Di ruangan komen, beberapa warganet turut meluahkan penghargaan terhadap usaha Encik Danial dalam memastikan kebersihan kawasan persekitaran.
Antaranya ialah pengguna ‘LynnRaz’ yang menulis:
“Terima kasih kerana membantu memastikan negara kita sentiasa bersih. Alhamdulillah. Semoga rezeki awak sentiasa bertambah dan dipermudahkan segala urusan.”
Seorang lagi pengguna, ‘faz’, turut memberikan kata-kata semangat kepada Encik Danial kerana memilih untuk mencari rezeki yang halal.
“Alhamdulillah, mencari rezeki yang halal buat keluarga. Semoga Allah memberi kesihatan, kebaikan, kemudahan, kekuatan, dan iman kepada keluarga, serta selalu dibawah naungan Allah,” tulisnya.
Bagi Encik Danial, antara cabaran dalam pekerjaan itu ialah keadaan cuaca kerana tugas tetap perlu dilakukan tidak kira hujan atau panas.
Selain itu, beliau berkata persepsi masyarakat terhadap pekerjaan tersebut juga antara perkara yang perlu dihadapinya.
“Pekerjaan ini sering dikaitkan dengan pekerjaan yang memalukan atau bergaji rendah, malah ada yang beranggapan industri ini kebanyakannya diceburi masyarakat Melayu.
“Tanggapan itu tidak tepat kerana industri ini juga disertai pekerja daripada pelbagai latar belakang dan kaum.
“Pekerjaan ini juga menawarkan pendapatan yang agak baik.
“Saya akan membersihkan diri selepas bekerja. Tambahan pula, saya lebih banyak mengendalikan bahan yang boleh dikitar semula, jadi baunya lebih kepada bau kotak dan peluh berbanding sisa yang terlalu busuk,” kongsinya.
Walaupun menerima beberapa komen negatif di media sosial mengenai pekerjaannya dan bau yang dikaitkan dengannya, Encik Danial berkata beliau tidak terlalu mengambil hati.
Baginya, selagi beliau bekerja secara jujur, mencari rezeki yang halal dan tidak melakukan sesuatu yang salah, pandangan orang lain tidak akan menentukan cara beliau menjalani kehidupannya.
“Orang boleh cakap apa sahaja. Saya tahu apa yang saya lakukan tidak salah.
“Kenapa saya perlu peduli dengan apa yang orang fikir apabila saya sedang mencari rezeki dengan cara yang jujur?” katanya.
Bagi Encik Danial, pekerjaan mengutip sampah bukan sekadar cara untuk mencari nafkah.
Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk membina semula kehidupannya, membantu keluarga serta membuktikan bahawa beliau mampu berubah dan menjadi seseorang yang boleh dibanggakan oleh keluarganya.
