Topik diikuti
Pergi ke BHkuKontraktor beri amaran risiko bakar setanggi di kubur
Amalan bakar setanggi di kubur bukan sunah, kata Pejabat Mufti
Amalan membakar setanggi di tanah perkuburan mendapat perhatian susulan kebimbangan ia boleh mencetuskan kebakaran jika dibiarkan tanpa pengawasan, terutama dalam keadaan cuaca kering.
Pada masa sama, Pejabat Mufti menjelaskan bahawa amalan tersebut bukan sunah, sekali gus memperbetulkan tanggapan bahawa membakar setanggi dengan niat mewangikan kawasan kubur mempunyai sandaran dalam agama.
Penjelasan itu menyusuli satu hantaran Facebook oleh ATMI General Contractor pada 2 Ogos yang mengingatkan penziarah supaya tidak meninggalkan setanggi yang masih terbakar ketika menziarahi kubur, selepas ia menemui barang yang ditinggalkan di sebuah kubur hampir terbakar.
Namun, dalam hantaran sama, kontraktor kubur tersebut berkata membakar setanggi “boleh menjadi sunah atas sebab niat mewangikan kawasan kubur”.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pejabat Mufti berkata tiada sandaran dalam Al-Quran atau hadis sah yang menetapkan bahawa membakar setanggi di kubur, termasuk dengan tujuan mewangikan kawasan sekitarnya, merupakan satu amalan sunah.
“Amalan sedemikian secara umumnya merupakan adat budaya dan bukan amalan keagamaan yang ditetapkan,” ujarnya.
Sebaliknya, Pejabat Mufti menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan adab sebenar ketika menziarahi kubur dengan mendoakan arwah secara ikhlas serta mengucapkan salam seperti yang diriwayatkan dalam banyak hadis sah.
“Pengunjung juga harus mematuhi peraturan yang berkuat kuasa di tanah perkuburan serta keperluan keselamatan yang ditetapkan,” tambahnya.
Dalam hantaran Facebooknya, ATMI General Contractor berkata peringatan mengenai keselamatan itu dibuat susulan satu video yang dimuat naik mereka pada 18 Julai mengenai adat membakar setanggi di kubur ketika musim kemarau.
Menurut kontraktor itu, terdapat waris yang membakar setanggi di kubur dan kemudian beredar walaupun setanggi itu masih belum habis terbakar.
Ia turut berkongsi satu kejadian melibatkan sekeping nota lukisan yang ditinggalkan oleh seorang kanak-kanak di sebuah kubur yang menurutnya hampir terbakar akibat setanggi berdekatan.
Nota tersebut sempat dialihkan bagi mengelakkannya daripada terbakar, tambah kontraktor itu dalam hantarannya.
ATMI General Contractor berkata pihaknya pernah berdepan kejadian kebakaran belukar di tanah perkuburan suatu ketika dahulu dan tidak mahu kejadian sedemikian berulang.
“Diminta kerjasama semua waris yang menziarah agar lebih berhati-hati di musim kemarau ini,” tulisnya.
