Seorang pembantu rumah yang gagal mengawal perasaan marahnya telah berulang kali menganiaya anak majikannya yang berusia setahun, dalam lebih 20 insiden antara Mac dengan Julai 2024.
Nucom Loreta Talbo, 30 tahun, kemudian memberitahu penyiasat bahawa dia telah memukul anak majikannya itu kerana tidurnya terganggu dek tangisan kanak-kanak itu.
Pada 16 Julai, wanita warga Filipina yang mempunyai anak sendiri di kampungnya itu mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Heershan Kaur, berkata Talbo adalah seorang pembantu rumah berpengalaman yang telah bekerja di Singapura sejak 2020.
Talbo bekerja di rumah mangsa sejak September 2023, dan berkongsi bilik dengan kanak-kanak tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Pada 27 Disember 2023, seorang guru penjagaan bayi ternampak kesan kecederaan pada tubuh kanak-kanak itu.
Apabila ditanya, Talbo menafikan bahawa kecederaan itu berpunca daripada tindakannya, dan dokumen mahkamah juga tidak menyatakan sama ada dia yang menyebabkannya.
Perbuatan Talbo akhirnya terbongkar pada 23 Julai 2024, apabila ibu bapa mangsa terdengar anak mereka menangis dan kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bilik tersebut.
Rakaman itu menunjukkan Talbo berulang kali menganiaya anak mereka dalam beberapa kejadian berasingan yang berlaku sepanjang beberapa bulan.
Antara penganiayaan yang dilakukan termasuk mengangkat kanak-kanak itu dengan memegang paha kiri dan ketiaknya untuk mengalihkannya dalam ruang permainan, menampar muka, memukul kepala, menarik kepalanya dan menghentaknya ke bawah.
Pada 15 Julai 2024, dalam dua kejadian berasingan, Talbo menampar kepala kanak-kanak itu kira-kira 12 kali, sehingga mangsa menangis.
Pada 21 Julai 2024, dia menampar muka mangsa, menarik rambutnya dan menolak kepalanya ke bawah menggunakan jarinya.
Talbo terus menganiaya mangsa pada hari-hari berikutnya, termasuk mencubit telinganya dan memukul kepalanya.
Pasangan itu akhirnya mendapat tahu tentang penderitaan anak mereka pada 23 Julai 2024.
DPP Kaur berkata: “Tertuduh telah dibentangkan bukti, tetapi dia menafikan telah memukul mangsa walaupun telah ditunjukkan rakaman CCTV.
“Polis kemudian dipanggil. Tertuduh dibawa keluar dari rumah (majikannya) dan ditempatkan di pusat perlindungan sementara, sementara siasatan dijalankan.”
Bapa mangsa kemudian meneliti rakaman lain yang menunjukkan Talbo menganiaya mangsa antara Mac dengan Julai 2024.
Beliau kemudian mengongsi rakaman tersebut dengan pihak berkuasa.
Namun, kerana peranti itu telah rosak sebelum itu, beliau tidak dapat memastikan sama ada Talbo menganiaya anaknya antara September 2023 dengan Mac 2024.
Pada 16 Julai, DPP Kaur memohon agar pesalah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun enam bulan.
Talbo akan dijatuhkan hukuman pada 30 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg