Topik diikuti
Pergi ke BHkuKontroversi Mangobossku: Pakar kongsi cara dandanan kucing yang betul
Kontroversi Mangobossku: Pakar kongsi cara dandanan kucing yang betul
Kontroversi Mangobossku: Pakar kongsi cara dandanan kucing yang betul
Apakah sebenarnya amalan dandanan kucing yang betul?
Soalan itu kini hangat diperkatakan susulan kontroversi membabitkan pempengaruh tempatan, Encik Mohamad Hussin Said, atau lebih dikenali sebagai Mangobossku, yang kini disiasat Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) selepas sesi dandanan beliau tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai persoalan mengenai kebajikan haiwan.
Pandangan tiga pakar yang dihubungi Berita Harian (BH) menunjukkan bahawa ukuran kejayaan sesuatu sesi dandanan bukanlah sama ada ia berjaya disiapkan, tetapi sama ada kebajikan kucing terus terpelihara sepanjang proses tersebut.
Fahami risiko tekanan terhadap kucing
Juruteknik Veterinar Kanan di Brighton Vet Care, Encik Ahmat Sharezza Ahmat Ja’affar, berkata tekanan melampau akibat pengendalian yang kasar bukan sahaja boleh menyebabkan kucing bertindak mencederakan diri sendiri atau pendandan ketika cuba melarikan diri, malah boleh membawa kesan kepada kesihatannya.
Menurut beliau, tekanan yang tinggi berpotensi mencetuskan kondisi Feline Idiopathic Cystitis (FIC), iaitu keradangan pada pundi kencing yang berkait rapat dengan tekanan sehingga menyebabkan kucing mengalami kesukaran membuang air kecil, kencing berdarah dan saluran kencing tersumbat, terutama bagi kucing jantan.
“Sesi dandanan perlu ditangguhkan jika kucing menunjukkan kesukaran bernafas, seperti bernafas melalui mulut, atau sedang mengalami kesakitan akibat penyakit atau kecederaan,” katanya.
Beliau turut menasihati pemilik supaya memantau keadaan kucing selepas sesi dandanan.
“Jika kucing menjilat atau menggaru sesuatu bahagian badan secara berlebihan, terdapat luka atau pendarahan pada kulit, atau menunjukkan perubahan tingkah laku seperti menjadi terlalu takut, kerap bersembunyi, agresif atau kurang aktif daripada kebiasaan, ia mungkin petanda bahawa kucing mengalami kecederaan atau trauma,” jelasnya.
Bukan semua cara mengekang pergerakan sesuai
Bagi perunding tingkah laku kucing, Cik Shelby Doshi, isu yang lebih besar bukanlah sama ada seekor kucing perlu dikekang ketika sesi dandanan, tetapi bagaimana ia dilakukan.
Beliau, yang pernah menjadi ahli jawatankuasa di Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) antara 2017 dengan 2022, serta di Purely Meow antara 2023 dengan 2025, menjelaskan bahawa secara biologi, anatomi kucing membolehkannya memusing dan memutar badan dengan lincah.
“Oleh itu, apabila pergerakannya dikekang secara berlebihan, naluri ‘lawan atau lari’ (fight or flight) akan tercetus, menyebabkan kucing meronta-ronta sehingga berisiko mencederakan dirinya sendiri,” ujarnya.
Menurut beliau, pendandan sebaliknya boleh menggunakan kaedah yang lebih sesuai seperti balutan tuala, kon pelindung atau ‘air muzzle’, yang dapat melindungi pendandan tanpa meningkatkan tekanan terhadap kucing.
Cik Doshi, yang juga pengasas The Cat Whisperer Singapore, turut menjelaskan bahawa amalan mencengkam tengkuk kucing juga tidak lagi disarankan mengikut piawaian kebajikan haiwan antarabangsa.
Ketahui bila perlu menghentikan dandanan
Pandangan itu turut dikongsi Pengarah dan Pengetua Animal Arts Academy, Encik Kingsly Tan, yang menegaskan bahawa tidak semua sesi dandanan perlu diselesaikan.
Menurut beliau, sesi perlu dihentikan sekiranya kucing terus menunjukkan tanda tekanan yang berterusan, ketakutan melampau, agresif, atau tidak lagi selamat untuk dikendalikan.
“Pendandan profesional tidak sepatutnya berasa tertekan untuk menghabiskan sesi dandanan jika ia boleh menjejaskan kebajikan kucing.
“Jika perlu, jadualkan semula janji temu atau nasihatkan pemilik mendapatkan bantuan veterinar,” nasihatnya.
Di samping itu, Cik Doshi berkata pemilik kucing juga boleh membantu mengurangkan tekanan haiwan sebelum sesi dandanan dengan membiasakan mereka menggunakan sangkar sejak kecil agar perjalanan ke pusat dandanan tidak menjadi pengalaman yang menakutkan.
Bahasa tubuh kucing jangan diabaikan
Menurut Encik Tan, antara kesilapan paling lazim dilakukan pendandan kurang berpengalaman ialah gagal mentafsir bahasa tubuh kucing dengan tepat, selain kurang memahami anatomi haiwan tersebut.
Cik Doshi berkata kucing lazimnya akan memberikan pelbagai isyarat sebelum bertindak menyerang.
“Pernafasan yang semakin berat, badan menjadi kaku, mendesis (hissing) atau cuba menarik diri merupakan tanda awal bahawa kucing sedang tertekan.
“Apabila isyarat ini diabaikan, kucing mungkin menggigit atau mencakar sebagai usaha mempertahankan dirinya,” jelasnya.
Pendandan profesional bukan sekadar ada sijil
Menurut Encik Tan, seseorang pendandan profesional perlu menerima latihan yang sewajarnya serta memiliki pengetahuan dan kemahiran untuk mengendalikan kucing dengan selamat.
Beliau berkata mereka juga perlu memahami serta mematuhi Kod Tatakelakuan untuk Pendandan Haiwan Peliharaan AVS, yang menggariskan piawaian berkaitan kebajikan haiwan dan amalan dandanan profesional.
“Selain memiliki kemahiran teknikal, seseorang pendandan juga perlu benar-benar meminati mengendalikan haiwan.
“Dandanan kucing memerlukan kesabaran, empati, serta keupayaan memahami bahawa setiap kucing mempunyai personaliti dan tindak balas yang berbeza.
“Justeru, keutamaan pendandan haruslah sentiasa untuk mengurangkan tekanan yang dialami haiwan itu dan memastikan kebajikannya terpelihara sepanjang sesi dandanan,” tegasnya.
