Pihak berkuasa sedang menyiasat perkhidmatan dandanan kucing yang baru dilancarkan pempengaruh tempatan, Encik Mohamad Hussin Said, atau lebih dikenali sebagai Mangobossku.

Ini menyusuli sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini yang memaparkan bagaimana Mangobossku menangani kucing-kucing dalam menjalankan khidmat dandanannya, dengan ada yang menyifatkan caranya itu sebagai “kasar”.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA), memaklumkan bahawa pihak mereka menyedari tentang kes berkenaan dan telah merujukkannya kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks) untuk siasatan lanjut serta sebarang tindakan penguatkuasaan.

NParks dalam kenyataannya berkata:

“NParks maklum tentang dakwaan pengendalian tidak wajar terhadap seekor kucing yang berlaku ketika sesi dandanan secara siaran langsung. Siasatan kini sedang dijalankan.”

Isu itu tercetus susulan penelitian orang ramai terhadap penglibatan baru Mangobossku dalam industri dandanan kucing.

Baru-baru ini, Encik Hussin turut menyiarkan sesi siaran langsung di TikTok yang memaparkan perkhidmatan dandanan kucing yang ditawarkan.

Di platform Threads, warganet termasuk pencinta kucing meluahkan rasa kurang selesa terhadap cara kucing ditangani.

Sebahagian mendakwa cara Mangobossku mengendali kucing dalam video kelihatan kasar dan menimbulkan kebimbangan mengenai kebajikan haiwan.

Pengguna ‘thatwomannn’ berkata beliau tidak akan menghantar kucingnya ke premis tersebut selepas melihat video berkenaan, sambil mempersoalkan sama ada pemilik haiwan yakin dengan tahap penjagaan yang diberikan.

Ada juga yang mempersoal kesahihan sijil dandanan yang dimilikinya.

Pengguna ‘anaryuku’ berkata:

“Biasanya pengusaha dandanan kucing menghabiskan masa bertahun-tahun bekerja di salun dandanan, mengikuti kursus serta menyertai pertandingan sebelum akhirnya memperoleh sijil sebagai pendandan kucing profesional.

“Adakah sijil yang dimiliki individu ini benar-benar sah? Atau hanya sijil yang diperakui AI (kecerdasan buatan)?

“Tiba-tiba sahaja menceburi bidang dandanan kucing, malah lokasi premis dandanan itu dikatakan berada di alamat yang sama dengan lokasi perniagaan cuci keretanya.”

Antara komen lain pula mempersoal aspek kebersihan dan keselamatan di ruang dandanan kucing tersebut, selepas beberapa pengguna mendakwa ternampak objek yang menyerupai vape berada di kawasan berkenaan.

Seorang lagi pengguna ‘norsh3ila’ berkata:

“Ini tidak boleh diterima. Beliau pun tidak mengetahui perkara asas seperti memakai sarung tangan ketika mengendalikan kucing yang mempunyai masalah kulit. Jadi, dari mana sebenarnya beliau memperoleh sijil tersebut? Pada ketika ini, saya benar-benar mempersoal kredibilitinya.

“Sebagai penjaga kucing, pemilik kucing dan pencinta kucing, saya bimbang terhadap kucing-kucing lain yang bakal menerima perkhidmatan dandanan daripadanya.”

Beberapa pengguna Threads turut menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa dengan ada di antara mereka mendakwa telah berbuat demikian.

Masyarakat pencinta kucing turut menyuarakan pendapat.

Di Facebook, pengguna ‘Mis Ha Na’ menerusi kumpulan Sayang Our Singapore’s Community Cats, mengingatkan pemilik kucing supaya berhati-hati sebelum menghantar haiwan peliharaan mereka ke mana-mana pusat dandanan.

Beliau turut mendakwa telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan mempersoalkan tindakan Mangobossku memadam beberapa video yang sebelum ini dimuat naik di TikTok, Instagram dan Facebook.

Bagaimanapun, tidak semua reaksi bersifat negatif.

Ada juga pengguna media sosial yang menyatakan sokongan terhadap usaha Mangobossku untuk menceburi bidang baharu.

Seorang pengguna Facebook, ‘Siti Hawa Haron’, berkata:

“Mantap MBK, tak pernah kenal erti putus asa. Sentiasa ada jalan berniaga. Sangat berkemahiran. Semoga berjaya dalam apa jua bidang. Kekal kuat.”

BH sedang menghubungi Mangobossku bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.