Kumpulan ‘askar’ hidupkan semula semangat perwira
Sekumpulan ‘askar’ lengkap berseragam era Perang Dunia Kedua kelihatan berarak tenang di tengah-tengah kesibukan bandar pada pagi Sabtu, 14 Februari lalu.
Perarakan kira-kira 3 kilometer itu bermula dari kawasan bekas tapak Kem Beach Road -– kini dikenali sebagai South Beach Tower – menuju ke Battlebox di Fort Canning, sempena sambutan Hari Pertahanan Mutlak pada 15 Februari.
Perarakan yang dinamakan Footsteps of History: SVC Commemorative March itu dianjurkan oleh kumpulan tempatan, History Fort Singapore, yang bertujuan menghidupkan semula (reenactment) memori sejarah peperangan dan pengorbanan penduduk Singapura sebelum merdeka.
Salah seorang daripada dua pengasas kumpulan itu, Encik Muhammad Zulfadli Tahar, 32 tahun, seorang jurutera IT, berkata usaha mereka bukan sekadar berpakaian seragam, tetapi ia satu cara memperingati sejarah yang semakin dilupakan.
Tapak kem itu merupakan ibu pejabat Kor Sukarelawan Singapura (SVC) dari 1930-an hingga 2000.
“Melalui reenactment, kami cuba mengingati pengorbanan masyarakat perintis Singapura sebelum kemerdekaan – termasuk pelbagai kaum yang menyertai pasukan sukarelawan,” katanya.
Menurut beliau, antara unit yang diberi tumpuan ialah SVC yang ditubuhkan pada 1854 dan dianggotai orang Eropah, Cina, India dan Melayu.
“Kita selalu dengar tentang peperangan besar, tetapi sumbangan tempatan seperti zaman Darurat dan Konfrontasi jarang diketengahkan,” tambahnya.
Kumpulan History Fort Singapore kini terdiri daripada 10 anggota aktif berbilang kaum berusia antara 21 tahun dengan 50-an tahun.
Mereka bertemu sekurang-kurangnya sebulan sekali selain aktif di media sosial.
Menurut Encik Zulfadli, yang belum berumah tangga, minat terhadap sejarah tercetus sejak beliau menghadiri satu acara di Bukit Chandu sekitar 2015 yang diketahuinya melalui seorang rakan.
Beliau mengenali pengasas bersama kumpulan itu, Encik Wang Jia Han, 32 tahun, seorang bekas pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), ketika acara di Bukit Chandu itu dan pada 2023 mereka menubuhkan History Fort Singapore.
“Tanpa belajar daripada masa lalu, kita mudah mengulangi kesilapan tanpa sedar. Kita tidak boleh menolak sejarah sebelum melangkah ke hadapan,” katanya yang banyak membuat penyelidikan tentang sejarah peperangan.
Kumpulan itu ditubuhkan secara rasmi pada 2023 dan sejak itu kerap dijemput muzium, sekolah serta balai rakyat untuk pameran dan penggambaran dokumentari.
Anggota terbaru, Encik Muhammad Reza Putra Salam Husiadi, seorang teknisyen berusia 44 tahun, yang menyertai perarakan tersebut, berkata minatnya bermula daripada hobi mengumpul topi tentera lama sejak zaman sekolah.
“Saya pernah ingin tempah semula topi Leftenan Adnan, jadi saya hubungi kumpulan reenactment di Malaysia. Dari situ, saya dapat tahu tentang kumpulan ini (History Fort Singapore),” kata bapa kepada seorang anak lelaki berusia 21 tahun itu.
Beliau yang gemar membaca buku sejarah dan menonton dokumentari berkata kebanyakan pakaian seragam yang dipakai kumpulan itu dibuat semula berdasarkan kajian terperinci.
“Seragam ini ialah antara pakaian yang dipakai tentera Komanwel British di Tanah Melayu sekitar 1930-an. Ada bahagian asli, tapi kebanyakannya reproduksi yang boleh dihasilkan dari kedai-kedai koleksi sejarah di Britain,” kata Encik Reza yang telah berbelanja lebih $2,000 untuk minatnya itu.
Selain anggota lelaki, kumpulan itu turut mempunyai anggota seorang guru wanita yang melakonkan peranan anggota First Aid Nursing Yeomanry (FANY) iaitu unit bantuan perubatan wanita semasa perang.
Kebiasaannya kumpulan itu hanya membuka reruai pameran ketika Hari Kebangsaan atau program masyarakat di bawah Persatuan Rakyat, namun perarakan kali ini merupakan pengalaman baru kerana ia mendapat permit rasmi.
Perarakan itu bermula pada 10 pagi dengan sembilan anggota berbaris lengkap membawa kelengkapan masing-masing. Orang ramai yang lalu-lalang kelihatan terkejut melihat kehadiran mereka.
“Ada yang sangka kami tentera Jepun. Ini menunjukkan ramai sebenarnya tidak mengenali sejarah sendiri,” kata Encik Zulfadli.
Menurutnya, tujuan utama perarakan itu bukan untuk melakonkan peperangan, tetapi memberi gambaran fizikal tentang perjalanan sejarah Singapura kepada orang awam dan memberi penghargaan kepada perwira Singapura pada zaman itu.
Acara itu juga bersempena ulang tahun ke-84 Kejatuhan Singapura, dan pengunjung yang tiba di Battlebox berpeluang mengikuti pameran mengenai peristiwa menjelang penyerahan Singapura semasa perang.
Pada masa depan, kumpulan itu merancang menambah ahli baru serta memperluaskan kegiatan pendidikan sejarah kepada generasi muda.
“Kalau bukan kita yang kongsi, sejarah tempatan akan hilang perlahan-lahan,” ujar Encik Zulfadli.

