Latihan Simulasi Penipuan Nasional sebahagian inisiatif Pertahanan Mutlak 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Latihan Simulasi Penipuan Nasional sebahagian inisiatif Pertahanan Mutlak 2026

Josephine: S’pura bukan sahaja harus tingkat pertahanan teknologi, tetapi tahap siap siaga, daya tahan rakyat secara kolektif
Feb 1, 2026 | 6:00 PM

Latihan Simulasi Penipuan Nasional sebahagian inisiatif Pertahanan Mutlak 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pertahanan Mutlak, Josephine, Teo, Zaqy
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (dua dari kanan) bersama Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, meninjau reruai Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert) Persatuan Rakyat (PA) sempena pelancaran Latihan SG Ready dan acara Peringatan Pertahanan Mutlak di Our Tampines Hub (OTH) pada 1 Februari. - Foto ZAOBAO

Adalah penting rakyat bagi Singapura sentiasa bersiap siaga untuk sebarang gangguan besar, termasuk gangguan digital dalam dunia yang saling terhubung, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Atas sebab ini, buat kali pertama dalam acara tahunan Latihan SG Ready, latihan pertahanan mutlak yang kini memasuki edisi ketiga bagi meningkatkan kesediaan warga Singapura menghadapi krisis dan gangguan, akan tertumpu pada gangguan digital, katanya.

Beliau juga mengumumkan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan mengadakan Latihan Simulasi Penipuan Nasional (NSSE) buat julung-julung kalinya sebagai sebahagian daripada Latihan SG Ready.

Inisiatif sedemikian dilakukan untuk meningkatkan pertahanan negara tatkala Singapura mengalami serangan terhadap prasarana penting pada Julai 2025 oleh kumpulan penggodam canggih.

Cik Teo berkata Singapura bukan sahaja harus meningkatkan pertahanan teknologi dan mengemas kini dasar sedia ada semata-mata, malah juga perlu “meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan daya tahan rakyatnya secara kolektif”.

“Kita sedia maklum di seluruh dunia, kestabilan dapat pudar dengan begitu mudah – satu serangan siber sahaja dapat melumpuhkan prasarana atau rantaian bekalan.

“Semua ini bukanlah ancaman yang tidak boleh berlaku. Ia sebenarnya boleh berlaku kepada kita tanpa diduga,” ujarnya.

Cik Teo berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran Latihan SG Ready dan acara Peringatan Pertahanan Mutlak di Our Tampines Hub (OTH) pada 1 Februari.

Pelancaran majlis tersebut menandakan bermulanya aktiviti bersangkutan Pertahanan Mutlak bagi menguji kesiapsiagaan Singapura terhadap sebarang gangguan, selama dua minggu hingga 15 Februari.

Turut hadir di acara tersebut ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Acara tersebut menyaksikan rangkaian semboyan Sistem Amaran Awam (PWS) diputarkan di seluruh negara pada 3 petang bagi memberikan isyarat ‘Mesej Penting’.

Mesej tersebut kemudian disiarkan di corong radio dan saluran televisyen percuma, di samping wadah media sosial, dan disampaikan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Dalam mesejnya, Encik Shanmugam berkata selain ancaman pengganasan yang boleh berlaku dan kini mencengkam negara-negara lain, timbul kini ancaman baru seperti ancaman digital dan ancaman maklumat.

Beliau berkata ancaman baru ini “menjejas kehidupan serta memecahbelahkan masyarakat” dan berupaya “menghakis kepercayaan terhadap pemerintah”.

“Usaha mempertahankan negara bukanlah tanggungjawab pihak keselamatan semata-mata, tetapi ia memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.

“Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan keselamatan dalam negeri sememangnya masih memainkan peranan penting.

“Namun, kita memerlukan seluruh masyarakat untuk bersama-sama membina daya tahan, bersiap siaga dan bersatu menghadapi ancaman ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, CSA dan MHA dalam satu kenyataan pada 1 Februari menyatakan NSSE akan berlangsung antara Mac dengan Ogos.

Warga Singapura digalakkan untuk turut serta dengan mendaftarkan diri dalam latihan itu, dengan para peserta dapat memahami dengan lebih mendalam bagaimana penipuan berlaku dan langkah yang boleh diambil untuk melindungi diri.

Kenyataan itu berkata: “NSSE akan memberi tumpuan kepada Penipuan Penyamaran Pegawai Pemerintah atau GOIS, jenis penipuan utama yang kian menjadi kebimbangan.

“Peserta akan menerima panggilan robot yang memberi simulasi taktik penipuan GOIS. Pada penghujung latihan (simulasi), peserta akan mempelajari langkah-langkah yang boleh mereka ambil apabila berdepan taktik GOIS dalam kehidupan sebenar.”

Kenyataan itu menambah pendaftaran dibuka pada 1 Februari dan boleh dilakukan melalui laman web rasmi CSA.

Sejajar dengan pelancaran Latihan SG Ready, satu inisiatif perintis yang dipanggil Mobilisasi Komuniti turut dijalankan di dua blok HDB berhampiran OTH.

Inisiatif tersebut menyaksikan senario gangguan bekalan elektrik dan ketersambungan digital, dengan anggota sukarelawan TD Champions dikerahkan untuk bekerjasama dengan Pasukan Respons Kecemasan Masyarakat (Cert) Persatuan Rakyat (PA) bagi mendekati mereka yang memerlukan.

Bersama-sama, mereka mendekati isi rumah untuk menyampaikan maklumat penting dan mendidik penduduk apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku gangguan pada ketersambungan digital dan bekalan elektrik, serta mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg