Usaha memikat hati pasangan tidak berakhir selepas akad nikah.
Bagi Encik Muhammad Fadzly Hanafe, 25 tahun, status sebagai seorang suami bukan alasan untuk berhenti menghargai impian isterinya, Cik Siti Aisyah Mohamad Noor, meskipun mereka telah sah bergelar pasangan suami isteri pada 15 November 2025.
Bagi Encik Fadzly, prinsip ‘melamar’ isteri sendiri selepas perkahwinan adalah satu keputusan yang disengajakan demi menghormati nilai peribadi dan agama.
“Saya memutuskan ia adalah lebih manis untuk melakukannya selepas berkahwin. Ia memenuhi pegangan peribadi saya dan juga sebagai cara untuk memberitahunya bahawa saya akan sentiasa ingat pada fikiran dan perasaannya,” kata juruteknik bangunan itu.
Cik Aisyah, seorang pengurus berusia 25 tahun, mengakui bahawa beliau sudah lama inginkan detik lamaran yang istimewa. Tetapi beliau faham batasan sebelum mereka bernikah.
“Sebelum kami berkahwin, saya sering menonton video lamaran dan berkongsi dengannya bahawa saya teringin merasai detik itu. Beliau berkata ia mungkin sukar kerana agama dan kami tidak mahu terlalu berlebihan di khalayak ramai. Namun, beliau ada berjanji ia boleh dilakukan selepas kami berkahwin,” kongsi Cik Aisyah.
Janji itu ditunaikan Encik Fadzly semasa menonton pertunjukan bunga api di Marina Bay pada malam sambutan tahun baru lalu.
Cik Aisyah pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa sehingga Encik Fadzly meminta cincin yang sedang dipakainya dengan alasan mahu mengambil gambar menggunakan tripod.
“Rupa-rupanya beliau cuba sembunyikan cincin dalam kotak. Detik lamaran itu membuatkan diri saya rasa seperti terapung. Bagi saya, lamaran itu sangat bermakna kerana ia menunjukkan bahawa beliau ingat, mendengar dan mengotakan kata-katanya. Beliau faham bahawa itu penting bagi saya dan ia membuat saya rasa sangat istimewa,” tambah Cik Aisyah lagi.
Detik peribadi itu kemudiannya dikongsikan di Instagram dan TikTok dan ia menjadi tular, meraih hampir sejuta tontonan dan lebih 57,000 ‘like’ sejauh ini.
Seorang pengguna Instagram ‘amirullimran’ berkata: “Seronok bercinta lepas berkahwin ni. Dating tak berhenti walau dah jadi suami isteri. Suka dan duka tempuhi sama-sama. Satu lelaki happy satu dunia lelaki happy.”
Seorang lagi pengguna akaun TikTok, ‘orkes’ meninggalkan komen: Macam itu rupanya rasa jatuh cinta berkali kali. Semoga korang sentiasa diberkati Allah dan dimurahkan rezeki selalu...”.
Ramai juga yang memuji tindakan Fadzly sebagai lamaran halal yang menyentuh hati.
Encik Fadzly mengakui beliau rasa gementar kerana melakukannya di tempat awam, namun tumpuan utamanya hanya kepada isterinya.
“Melihat wajahnya dan tahu saya masih boleh membuatkan beliau jatuh cinta lagi adalah perasaan terindah di dunia. Perasaan itu ibarat berkata ‘saya mahu beliau tahu saya akan memilihnya sekali lagi’.
“Lamaran ini juga menjadi peringatan kepada kami bahawa perkahwinan bukan hanya sekeping kertas, ia adalah sesuatu yang hidup dan harus terus dipupuk,” ujar Encik Fadzly yang tidak menyangka perkongsian tersebut akan menjadi tular.
Sebagai pasangan pengantin baru Encik Fadzly menggalak para suami agar jangan rasa segan untuk menunjukkan penghargaan secara terbuka kepada isteri sendiri.
“Anda tidak perlu buat apa yang saya buat dan letakkannya dalam talian. Cukup beritahu beliau mengapa anda bersyukur memilikinya sebagai pasangan. Jangan biarkan rasa malu atau takut nampak kelakar menghalang anda daripada memberitahu isteri bahawa beliau cinta hati anda,” nasihat Encik Fadzly.
Melangkah ke 2026, pasangan itu teruja untuk mengharungi fasa baru kehidupan bersama, termasuk pengalaman pertama menyambut Ramadan dan Hari Raya sebagai suami isteri.
“Kami paling ghairah tentang perjalanan kami sebagai suami isteri. Tahun 2026 akan menjadi kali pertama kami berbuka puasa bersama dan melakukan rutin harian secara bersama. Memilih satu sama lain apabila keadaan menjadi sukar, dan belajar siapa kami sebagai pasangan suami isteri,” kata pasangan itu lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg