Tahun 2025 melabuhkan tirainya dengan seribu satu kenangan.
Sebagai penutup tirai, Berita Minggu mengimbas 13 artikel pilihan yang menarik perhatian netizen serta mencetuskan perbualan hangat di media sosial sepanjang 2025.
Demi kasih sayang terhadap haiwan terbiar, seorang warga Singapura, Cik Nur Amira Jumali, sanggup menggunakan wang simpanannya untuk membina pusat perlindungan kucing di Johor Bahru.
Meskipun melibatkan kos yang tinggi, beliau tekad menyediakan ruang selesa bagi haiwan terbiar yang sering terlepas pandang.
Seorang warga Singapura, Cik Azula Cinta Idris, menceritakan pengalamannya ditahan kastam kerana pemandu kereta sewa (’Pak Wanca’) yang dinaikinya dari Johor Bahru ke Singapura cuba menyeludup rokok haram.
LTA mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan khidmat tempahan pengangkutan secara haram yang tidak mempunyai lesen dan insurans yang sah.
Setelah sekian lama menyarung kebaya ‘Singapore Girl’, seorang bekas pramugari, Cik Masita Ghani, kini beralih bidang sebagai penjaja nasi lemak.
Sebelum bekerja sebagai seorang penjaja selama 10 tahun, tidak pernah terdetik dalam benak fikirannya yang beliau akan menguruskan sebuah gerai nasi lemak bersama suaminya.
Satu pertemuan emosi berlaku apabila empat adik-beradik yang terpisah selama 18 tahun berjaya disatukan semula.
Memuatnaikkan pertemuan itu di media sosial, Encik Muhamad Iqbal Abdul Razak berharap ia menjadi motivasi supaya mereka yang menghadapi keadaan serupa tidak berputus asa.
Pempengaruh Don Jany menarik perhatian netizen apabila beliau secara terbuka meminta panduan dan nasihat orang ramai sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Perkongsian beliau mencetuskan perbincangan tentang persediaan mental dan ilmu bagi membina rumah tangga.
6. Peniaga bazar terkejut pelanggan habiskan stok baju Raya untuk diderma
Pemilik perniagaan pakaian lelaki Ghettomen Clothing, Encik Hafiz Zainal, terkejut apabila seorang pelanggan membeli keseluruhan baki stok baju Melayunya.
Kesemua pakaian tersebut kemudiannya diagihkan terus kepada golongan memerlukan sebagai sumbangan hari raya.
Laluan baru untuk perkhidmatan bas 975 yang dimulakan pada Jun lalu memudahkan akses orang ramai ke kawasan perkuburan tanpa perlu bergantung kepada kenderaan peribadi.
Cik Rizaliah Sulaiman mengongsi pengalamannya di media sosial kerana mendapati perjalanannya menziarahi kubur keluarga di Pusara Abadi kini lebih mudah dan dekat.
Cik Rosemina Hamzah, 72 tahun, membuktikan usia bukan penghalang apabila gigih menjalani senaman dan latihan di gim.
Rutin kecergasannya dipantau rapi oleh anaknya sendiri, Cik Siti Maryam Abdul Rahman, yang juga merupakan seorang jurulatih peribadi bertauliah.
Detik cemas melanda pasangan Cik Ira Wahyuni Bambang Suwarno dan Encik Imam Wahyudi Bambang Budiono apabila bayi mereka, Izy Windrawan, dilahirkan di dapur rumah mereka di Punggol, sebulan lebih awal dari tarikh jangkaan.
Cik Ira bersalin dalam keadaan berdiri dan Encik Wahyudi terpaksa bertindak pantas ‘menangkap’ bayi dan meleraikan lilitan tali pusat dengan bimbingan operator 995.
Pengasas bersama Menspire Singapore, Encik Muhammad Sufiyan Shafari dan Encik Danesh Sweegers, mendapat peluang keemasan menggunting rambut barisan bintang kelab Arsenal, termasuk kapten Martin Ødegaard dan Kai Havertz, semasa kunjungan mereka ke Singapura pada Julai lalu.
Peluang ini tercetus apabila penjaga gol simpanan Arsenal sendiri menghubungi mereka. Meskipun gementar, pasukan anak muda tempatan ini berjaya memberikan gaya terbaik buat 30 pemain dan kakitangan kelab gergasi England tersebut.
Pasangan muda Encik Muhammad Nasrullah Jarlani dan Cik Nur Mizalina Abdul Rahman menarik nafas lega selepas permohonan Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) mereka diluluskan bagi flat di Boon Lay.
Perkongsian Encik Nasrullah di TikTok mengenai proses menghias rumah lama berusia 50 tahun itu menarik perhatian lebih 1.2 juta tontonan dan sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai bantuan perumahan sedia ada.
12. Penyanyi rap setempat Fariz Jabba sah bergelar suami
Perkahwinan penyanyi rap setempat Fariz Jabba dan Sofea Khan pada September lalu menjadi antara detik paling ‘trending’ pada 2025.
Di sebalik kemeriahan busana tiga budaya, perkongsian ikhlas Fariz tentang bagaimana isterinya membimbing beliau kembali mendalami agama menyentuh hati ribuan pembaca.
Satu kejadian yang tular dan menimbulkan tanda tanya apabila seorang wanita dirakam menolak kereta sorong bayi di ekspreswe KJE pada dini hari.
Berita ini mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang prihatin akan keselamatan dan kebajikan individu terbabit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg