Lelaki berhabis $20,000 hiasi rumah dengan lap-lip dan bunga
Lelaki berhabis $20,000 hiasi rumah dengan lap-lip dan bunga
Salah satu budaya Ramadan yang semakin jarang dilihat sekarang ialah perhiasan lampu lap-lip yang tergantung di jendela rumah, yang suatu ketika dahulu lazimnya menyerikan suasana dengan cahaya warna-warni yang berkelipan.
Jika dahulu rumah orang Melayu ibarat tidak lengkap tanpa lampu lap-lip, kini ia bukan lagi satu kemestian, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Namun bagi Encik Ryan (bukan nama sebenar), 49 tahun, tradisi ini tetap dijulang tinggi.
Bahkan, beliau sanggup membelanjakan hampir $20,000 untuk hiasan lampu lap-lip di sekitar rumahnya.
Bagi konsultan perniagaan makanan dan minuman (F&B) itu, memasang lampu lap-lip adalah satu kemestian setiap tahun.
Tahun ini, ia bertemakan ‘Taman Raya’.
“Selain lampu lap-lip, saya juga membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pasu-pasu, bunga, daun-daun dan membayar dua orang juruteknik untuk memasang lampu-lampu tersebut,” kongsi Encik Ryan kepada Berita Harian (BH).
Encik Ryan yang tinggal di tingkat dua sebuah flat di Beach Road bersama bapa angkatnya berkata beliau telah membeli lebih daripada 25 pasu bunga dalam pelbagai saiz, masing-masing berharga antara $80 dengan $100.
“Setiap pasu dihias dengan kira-kira lapan batang bunga dan daun-daun, yang boleh mencecah $10 setiap batang. Bukan itu sahaja, saya juga telah membeli lampu LED dan pelbagai kelengkapan lain,” tambahnya lagi.
Apabila ditanya mengapa beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar semata-mata untuk menghiasi rumah, Encik Ryan mengakui ia adalah untuk mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanaknya.
“Saya membesar dengan lampu lap-lip dan saya rasa ini adalah satu budaya kita di Singapura yang patut diteruskan. Ia mencipta suasana meriah, berbeza daripada hari-hari biasa,” katanya.
Yang paling menggembirakannya ialah apabila orang ramai yang lalu-lalang berhenti seketika untuk bergambar dengan hiasannya.
“Ada yang mengambil foto, ada yang berdiri melihat. Saya gembira melihat reaksi mereka,” kata beliau.
Menurut Encik Ryan, persediaan dan perancangan untuk menghias kawasan dalam dan luar rumahnya bermula sekurang-kurangnya tiga bulan sebulan Raya.
“Saya perlu membuat persiapan, jadi saya tahu berapa perbelanjaan saya dan tidak berbelanja lebih daripada itu,” terangnya.

