Lelaki berhabis ribuan dolar hiasi rumah dengan lampu ‘lap-lip’ dan bunga
Lelaki berhabis ribuan dolar hiasi rumah dengan lampu ‘lap-lip’ dan bunga
Salah satu budaya Ramadan yang semakin jarang dilihat sekarang ialah perhiasan lampu ‘lap-lip’ yang tergantung di jendela rumah.
Suatu ketika dahulu cahaya warna-warni yang berkelipan lazimnya menyerikan suasana menjelang Raya.
Jika dahulu rumah orang Melayu ibarat tidak lengkap tanpa lampu ‘lap-lip’, kini ia bukan lagi satu kemestian, terutama dalam kalangan generasi muda.
Namun bagi Encik Ryan (bukan nama sebenar), 49 tahun, tradisi itu tetap dijulang tinggi.
Bahkan, beliau dikatakan sanggup membelanjakan hampir $20,000 untuk hiasan lampu ‘lap-lip’ di sekitar rumahnya.
Bagi konsultan perniagaan makanan dan minuman (F&B) itu, memasang lampu ‘lap-lip’ adalah satu kemestian setiap tahun.
Bagi 2026, ia bertema ‘Taman Raya’.
“Selain lampu ‘lap-lip’, saya juga membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pasu-pasu, bunga, daun-daun dan membayar dua orang teknisyen untuk memasang lampu-lampu tersebut,” kongsi Encik Ryan kepada Berita Harian (BH).
Encik Ryan yang tinggal di tingkat dua sebuah unit di Beach Road bersama bapa angkatnya, berkata beliau telah membeli lebih 25 pasu bunga dalam pelbagai saiz, masing-masing berharga antara $80 dengan $100.
“Setiap pasu dihias dengan kira-kira lapan batang bunga dan daun-daun, yang boleh mencecah $10 setiap batang.
“Bukan itu sahaja, saya juga telah membeli lampu LED dan pelbagai kelengkapan lain,” tambahnya.
Apabila ditanya mengapakah beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar semata-mata untuk menghiasi rumah, Encik Ryan mengakui ia adalah untuk mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanaknya.
“Saya membesar dengan lampu ‘lap-lip’ dan saya rasa ini adalah satu budaya kita di Singapura yang patut diteruskan. Ia mencipta suasana meriah, berbeza dari hari-hari biasa,” katanya.
Yang paling menggembirakannya adalah apabila orang ramai yang lalu-lalang berhenti seketika untuk bergambar dengan hiasannya.
“Ada yang mengambil foto, ada yang berdiri melihat. Saya gembira melihat reaksi mereka,” kata beliau.
Menurut Encik Ryan, persediaan dan perancangan untuk menghias kawasan di dalam dan luar rumahnya bermula sekurang-kurangnya tiga bulan sebulan Raya.
“Saya perlu membuat persiapan, jadi saya tahu berapa perbelanjaan saya dan tidak berbelanja lebih daripada itu,” terangnya.

