Seorang lelaki berumur lewat 50-an tahun dilihat merangkak sebelum berjalan di koridor sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Yishun pada tengah malam.
Perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di luar salah satu unit flat di situ.
Rakaman sepanjang satu minit 16 saat itu dimuat naik ke akaun TikTok @aismilomanis1 pada 25 Ogos, dan setakat ini sudah ditonton lebih 92,000 kali.
Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki berkemeja-T kelabu dan berseluar pendek hitam dilihat merangkak di koridor flat berkenaan, sebelum mundar-mandir sambil cuba mengintip ke dalam rumah.
Pada saat ke-55 video, lelaki itu kelihatan mengambil sepasang selipar di depan rumah. Namun sejurus menyedari kewujudan CCTV, lelaki itu segera meletakkan semula selipar tersebut sebelum beredar.
Itu bukan kali pertama kelakuan mencurigakan tersebut berlaku, menurut satu lagi video yang dimuat naik pada 26 Ogos oleh pengguna akaun sama.
Dalam video kedua, lelaki itu sekali lagi dilihat mundar-mandir di koridor yang sama, di depan unit yang sama, dengan pakaian serupa.
Rata-rata komen pengguna TikTok menunjukkan rasa tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.
Seorang pengguna, @Happy, menulis: “Yishun tempat ramai orang kreatif!”, manakala @Agogo pula menambah:
“Merangkak untuk elak CCTV? Lepas tu dia bangun, mungkin sebab sedar CCTV dapat rakam dia.”
Menjawab salah satu komen, pemilik video itu merayu kepada orang ramai supaya menjadikan video itu tular agar lelaki tersebut dapat ditangkap.
“Tolong kongsi, jadikan ia tular,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg