Bak kata pepatah, tiada rotan, akar pun berguna.
Seorang lelaki didakwa mencuri pokok pasu bernilai $1,500 dari sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Yishun.
Pada 12 Jun, Lee De Yuan, 42 tahun, didakwa atas kesalahan mencuri 18 pokok pasu, dua rak tanaman dan tiga pasu bunga dari Blok 418 Yishun Avenue 11.
Kes kecurian itu dipercayai berlaku antara 5 dengan 8 Jun, sekitar 2 hingga 4 pagi.
Dua daripada pokok yang dicuri adalah pokok bonsai Lohansong bersaiz besar yang setiap satu bernilai $388.
Secara keseluruhan, barangan yang didakwa dicuri dianggarkan bernilai $1,514.
Menurut polis pada 11 Jun, mereka menerima beberapa laporan berkaitan kes kecurian pokok pasu di kawasan tersebut minggu lalu.
Melalui siasatan lanjut, pegawai daripada Divisyen Polis Woodlands berjaya mengenal pasti identiti Lee dan menahannya pada 10 Jun.
Barangan yang dicuri kemudiannya berjaya ditemui semula.
Kes Lee telah ditangguhkan ke 19 Jun.
Mereka yang disabit kesalahan mencuri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg