Tidak berpuas hati selepas seorang budak lelaki berusia empat tahun menunjukkan isyarat tangan lucah kepadanya, seorang lelaki menyerang kanak-kanak itu dan mencengkam lengan kanannya pada Mac lalu.

Muhammad Firdhaus Mokhtar, 37 tahun, kemudian menarik lengan budak itu ke belakang sehingga kanak-kanak tersebut, yang merupakan rakan sekolah anaknya, terjatuh.

Firdhaus turut menggertak untuk mematahkan jari mangsa dan berkata dia akan kembali mencarinya pada Isnin.

Pada 30 September, Firdhaus dijatuhi hukuman penjara 14 minggu selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan menyerang dan satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap orang lain.

Dia diperintahkan membayar pampasan $170 bagi menampung kos rawatan perubatan mangsa.

Ibu mangsa, yang memberi kenyataan di mahkamah pada 30 September, berkata beliau amat terganggu dengan kejadian itu dan anaknya masih mengalami mimpi buruk.

Menurutnya, selepas kejadian itu, anaknya sering bertanya mengenai hari Isnin seterusnya dan tahap keyakinan dirinya turut merosot.

Wanita itu berkata anaknya telah berpindah ke prasekolah lain dan masih belum pulih sepenuhnya daripada trauma tersebut.

Firdhaus, yang berada di kandang tertuduh di mahkamah, memohon maaf atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Etsuko Lim, memberitahu mahkamah bahawa Firdhaus pergi ke prasekolah anaknya sekitar tengah hari pada 6 Mac, yang jatuh pada hari Jumaat, ketika anaknya sedang bermain bersama mangsa.

Mangsa kemudian menunjukkan isyarat tangan lucah kepada Firdhaus.

Kanak-kanak itu kemudian menuju ke arah pembantu rumahnya yang sedang menunggu di sebuah perhentian bas di luar prasekolah berkenaan.

Perhentian bas itu ketika itu sesak dengan ramai kanak-kanak prasekolah lain, termasuk rakan mangsa, serta anggota keluarga mereka.

Firdhaus mengejar mangsa hingga ke perhentian bas sebelum mencengkam lengan kanannya dan bersemuka dengan pembantu rumah tersebut.

Mangsa cuba melepaskan diri daripada cengkaman Firdhaus tetapi tidak berjaya.

Firdhaus memberitahu pembantu rumah itu supaya memaklumkan kepada ibu bapa mangsa agar anak mereka tidak menunjukkan isyarat sedemikian.

Dia turut mengancam untuk menampar mangsa, sebelum pembantu rumah itu meminta maaf kepadanya.

Dalam ketakutan, mangsa cuba bersembunyi di belakang sebuah tiang, namun Firdhaus menariknya keluar dengan memegang kolar bajunya sebelum menampar pipi kanannya menggunakan belakang tangan.

Sambil sebelah tangannya terus mencengkam lengan kanan mangsa, Firdhaus menggunakan tangan sebelah untuk menampar pipi kiri dan telinga kiri kanak-kanak itu.

Mangsa kemudian terjatuh ke lantai dan mengalami bunyi berdengung pada telinga kirinya.

Pembantu rumahnya cuba menarik mangsa menjauhi Firdhaus.

“Sambil masih mencengkam lengan kanan (mangsa), tertuduh mengacukan jarinya ke muka mangsa, mengancam untuk mematahkan jarinya dan menjerit bahawa dia akan kembali... pada Isnin,” kata DPP Lim.

Dia kemudian melepaskan cengkamannya sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Menurut pihak pendakwaan, beberapa kanak-kanak prasekolah menyaksikan kejadian tersebut, manakala serangan itu turut dirakam kamera polis.

Mangsa menangis apabila tiba di rumah dan ibu bapanya membawanya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada hari yang sama.

Pihak hospital kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum Firdhaus ditangkap.

DPP Lim berkata mangsa tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari selepas kejadian tersebut.