Bagi Encik Muhammad Danial Afiq Fharick, pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Melayu bukan sekadar membuka peluang untuk mempelajari budaya dan sejarah masyarakat Melayu.

Sebaliknya, ia membolehkannya memahami dengan lebih mendalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu serta memahami isu yang dihadapi masyarakatnya daripada sudut yang lebih luas.

Kini berusia 25 tahun dan bertugas sebagai wartawan di Berita Harian (BH), perjalanan akademiknya mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Yayasan Warisan Melayu (MHF) bagi tahun akademik 2025 hingga 2026.

Anugerah tersebut diberikan setiap tahun kepada pelajar Ijazah Kepujian terbaik daripada Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Nasional Singapura (NUS), dan disertakan hadiah wang tunai sebanyak $1,000 bagi menggalakkan lebih banyak penyelidikan dalam bidang warisan Melayu.

Bagi Encik Danial, yang menamatkan pengajian NUS pada Julai 2026, minat untuk mendalami masyarakat Melayu mula berputik sejak di bangku sekolah.

Sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Melayu di universiti, beliau mengambil mata pelajaran H2 Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Maktab Rendah Tampines Meridian (TMJC).

“Pengalaman itu kemudian mendorong saya untuk mendalami lagi masyarakat sendiri dari pelbagai sudut,” katanya.

Sepanjang pengajiannya, Encik Danial berkata beliau berpeluang meneliti pelbagai isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu, termasuk isu sosial, undang-undang keluarga, politik serantau, ekonomi, dan sejarah.

Menurutnya, pendedahan kepada pelbagai bidang tersebut membantunya melihat pengalaman dan cabaran masyarakat Melayu daripada perspektif yang lebih menyeluruh.

Tambah beliau, keputusan untuk memilih bidang Pengajian Melayu dibuat atas minat sendiri tanpa tekanan daripada sesiapa, meskipun datuknya memainkan peranan penting dalam membentuk minat dan pandangannya terhadap masyarakat.

“Sejak kecil, datuk saya sering menekankan kepentingan memahami masyarakat sendiri dan memberi kembali kepada komuniti.

“Nilai itu akhirnya menjadi sebahagian daripada perjalanan saya untuk mengenali masyarakat Melayu dengan lebih mendalam, serta mencari ruang untuk saya sendiri menyumbang kembali kepada masyarakat,” kongsinya.

Mengulas mengenai anugerah tersebut, Encik Danial turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Warisan Melayu atas pengiktirafan yang diberikan.

Beliau berharap pengiktirafan itu dapat menjadi dorongan kepada penerima pada masa hadapan untuk terus menggunakan ilmu dan pengalaman yang diraih demi memberi manfaat kepada masyarakat.

“Semoga setiap sumbangan yang diberikan dipandu oleh rasa tanggungjawab, tujuan, dan empati yang teguh dalam usaha membawa perubahan positif melalui kerja yang dilakukan,” ujarnya.