Sejak kecil, Encik Hassan Azhar meminati mata pelajaran Kimia, khususnya konsep bagaimana sesuatu bahan boleh diubah menjadi bahan lain yang lebih berguna.

Daripada rasa ingin tahu tentang “menukar timah menjadi emas”, minat itu berkembang kepada persoalan yang lebih praktikal, iaitu bagaimana sisa boleh ditukar menjadi produk yang memberi manfaat kepada manusia.

Ia akhirnya membawa pemuda berusia 24 tahun itu memilih bidang kejuruteraan kimia di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Namun bagi penerima Hadiah Izzuddin Taherally itu, antara pengalaman paling bermakna sepanjang empat tahun di universiti sebenarnya berlaku di luar makmal.

Pada tahun pertama dan kedua pengajiannya, Encik Hassan menyertai program bimbingan yang membawa pelajar kurang bernasib baik ke kampus NUS untuk makan malam, sebelum mengikuti sesi tuisyen, kegiatan permainan dan berinteraksi dengan mahasiswa.

Pengalaman itu mengukuhkan minatnya terhadap bidang pengajaran.

Anak kedua dalam tiga adik-beradik itu kemudian menjadi penolong pengajar bagi salah satu modul kejuruteraan dan mula menyimpan impian untuk mengajar bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) suatu hari nanti.

“Saya mahu memberi mereka (pelajarnya kelak) pendedahan secara langsung melalui kegiatan praktikal, seperti menjalankan eksperimen, kerana ketika membesar, saya sendiri tidak banyak berpeluang melakukan kegiatan sedemikian,” katanya.

Selain membimbing pelajar, Hassan turut meluangkan masa memberi makan kepada kucing masyarakat di sekitar Casa Clementi.

Beliau juga pernah terlibat dalam kegiatan berkaitan keharmonian sosial dan antara agama di Kolej NUS.

Baginya, menerima Hadiah Izzuddin Taherally merupakan sesuatu yang tidak disangkanya, tetapi membuatnya berasa bahawa usaha kecil yang dilakukan sepanjang pengajian dihargai.

Sebagai Penduduk Tetap (PR) Singapura yang berasal dari Malaysia, Encik Hassan mengakui beliau pada awalnya berdepan sedikit kejutan budaya dan kesepian.

Beliau mula berpindah ke Singapura pada 2022, dengan mendapat sokongan daripada saudara-mara yang membantu beliau menyesuaikan diri.

Selain itu teman-teman yang ditemuinya, termasuk rakan kediaman yang dikenalinya sejak tahun pertama, akhirnya membuat Singapura terasa seperti rumah keduanya.

Minat terhadap kelestarian pula kekal dalam perjalanan akademiknya.

Antara penyelidikan yang pernah dilakukannya termasuk meneroka penggunaan mikroalga dan sisa bijirin untuk menghasilkan produk baharu.

Kini, Encik Hassan memulakan kerjayanya di Singapura sebagai jurutera sokongan proses di sebuah syarikat.

Namun impiannya lebih jauh daripada kerjaya pertama itu.

Beliau berharap suatu hari nanti dapat kembali meneroka bidang penyelidikan berkaitan penukaran sisa kepada produk berguna, sambil mengekalkan cita-cita tersembunyinya untuk menjadi seorang pendidik.

Baginya, hidup yang berjaya bukan hanya tentang kerjaya.

Ia adalah saat apabila seseorang mampu bersama keluarga dan teman, tanpa dibelenggu kebimbangan terhadap masa depan, dan benar-benar menikmati waktu yang ada.

“Saya mahu memberi mereka (pelajarnya kelak) pendedahan secara langsung melalui kegiatan praktikal, seperti menjalankan eksperimen, kerana ketika membesar, saya sendiri tidak banyak berpeluang melakukan kegiatan sedemikian.”
Encik Hassan Azhar.