Lumba basikal gunung di Seletar Mall
Ramai yang mungkin beranggapan pusat beli-belah sekadar tempat membeli barangan keperluan.
Namun pada malam 28 Februari, pusat beli-belah Seletar bertukar wajah menjadi laluan perlumbaan basikal gunung meluncur laju menuruni eskalator
Itulah pengalaman yang dilalui salah seorang penunggang basikal gunung Cik Nur Nasthasia Nadiah Abdul Nazzeer, yang berjaya merangkul gelaran kategori Terbuka Wanita.
Beliau yang berusia 34 tahun mencatat masa 58 saat menerusi perlumbaan yang berlangsung dari lantai 4 hingga lantai 1 di pusat beli belah itu.
Walaupun ini bukan kali pertama beliau menyertai acara seumpamanya – pernah bertanding pada 2015, 2018 dan 2021 – edisi kali ini menjadi tumpuan ramai selepas video sesi latihan yang dimuat naik pada 1 pagi itu menjadi tular dan kini mencecah sebanyak 577,000 juta tontonan di TikTok.
Meskipun ramai netizen yang teruja melihat perlumbaan lasak itu berlangsung dalam suasana yang berbeza, ada juga yang mempertikaikan keselamatan dan lokasi tersebut.
“Keselamatan para peserta adalah keutaaman kami. Lawatan tapak bersama pihak pengurusan pusat beli-belah bagi mengenal pasti sebarang potensi risiko juga telah dijalankan,” kata pengasas Werks Solutions, Encik Steven Cheah yang merupakan pengajur bagi perlumbaan tersebut semasa dihubungi wartawan.
Beliau yang berusia 42 tahun berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) bagi merancang pelan keselamatan serta laluan yang sesuai. Malah, beliau sendiri yang menguji laluan tersebut terlebih dahulu.
Antara langkah keselamatan yang dilaksanakan ialah penghadang keselamatan, tilam keselamatan selain menyediakan paramedik dan ambulans di lokasi.
Perlumbaan yang dipanggil “downmall” di Seletar merupakan sebahagian daripada disiplin “downhill” – iaitu sukan basikal gunung yang ekstrem, bergantung kepada graviti, dengan fokus menuruni laluan curam dan teknikal menggunakan basikal khas, dipenuhi dengan lompatan, jatuhan, batu dan akar pokok – tetapi berbeza kerana ia berlangsung di dalam bangunan dan bukannya di lereng gunung.
Laluan perlumbaan di Seletar merangkumi eskalator curam, selekoh tajam dan pecutan jarak dekat, dengan hanya satu percubaan diberikan kepada setiap peserta.
“Pusat beli-belah Seletar telah melanjutkan waktu operasinya kepada 18 jam sehari, lebih lama berbanding pusat beli-belah biasa. Mereka sedang mencari acara dan aktiviti yang boleh dijalankan pada waktu malam, dan idea inilah yang tercetus hasil daripada keperluan tersebut,” tambah Encik Cheah.
Cik Nasthasia merupakan antara peserta yang menyertai acara tersebut yang berlangsung pada 10 malam hingga 6 pagi dan telah meraih tempat pertama.
Terdapat hampir 60 peserta di dalam lingkungan usia 13 hingga 55 tahun.
“Bila saya lihat laluan untuk turun eskalator itu, saya juga tertanya bagaimana pihak pusat beli-belah benarkan acara ini? Laluannya begitu curam,” kata pekerja Grab itu yang telah lama berjinak-jinak dalam sukan BMX seawal usia sembilan tahun hasil dorongan bapanya.
Turut mengambil bahagian di acara ini ialah Mohammad Akid Akalil Mohd Rezal, seorang pelajar tahun ketiga di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang telah meraih tempat kedua dalam kategori Terbuka Lelaki dan ketiga secara keseluruhan.
“Saya menjalani latihan antara 24 hingga 28 jam seminggu dan sering memulakan kayuhan seawal 4.30 pagi sebelum ke sekolah. Latihan saya merangkumi berbasikal di jalan raya, sesi angkat berat di gimnasium serta latihan di laluan hutan pada hujung minggu,” katanya yang berusia 19 tahun.
Bagi Akid, perlumbaan dalam pusat beli-belah itu memberi pengalaman unik beraksi di hadapan penonton yang ramai dalam suasana berbeza daripada trek biasa.
Kini, selain terus bersaing, Cik Nasthasia memberi tumpuan kepada bidang kejurulatihan, khususnya melatih wanita dan kanak-kanak serta menyokong pembangunan bakat muda.
Dalam masa sama, Akid yang berada di dalam pasukan pembangunan kebangsaan di bawah SCF pula berharap untuk bersaing di peringkat serantau, termasuk di Indonesia dan Malaysia sebagai persediaan menghadapi sukan SEA pada 2027.

