Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahu jual flat arwah ayah, wanita rayu abang tiri tampil
Mahu jual flat arwah ayah, wanita rayu abang tiri tampil
Mahu jual flat arwah ayah, wanita rayu abang tiri tampil
Apa yang pada awalnya merupakan proses biasa untuk menjual flat selepas pemergian arwah ayahnya kini bertukar menjadi usaha mencari seorang abang tiri yang mungkin tidak mengetahui ayahnya telah meninggal dunia.
Selepas pemergian arwah ayahnya, Allahyarham Sulaiman Sukardi, pada 19 November 2025, Cik Nurulhuda Sulaiman sedang berusaha menjejaki abang tirinya, Encik Faisal Sulaiman, yang tidak pernah beliau temui.
“Kami sendiri tidak tahu sama ada abang tiri saya masih hidup atau tidak,” kata Cik Nurulhuda, 36 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata arwah ayahnya, yang tidak meninggalkan wasiat, hanya pernah bertemu Encik Faisal sekali kira-kira 10 tahun lalu sebelum terputus hubungan.
Tanpa berjaya mencari atau menghubungi abang tirinya, keluarga Cik Nurulhuda tidak dapat meneruskan urusan berkaitan penjualan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) milik arwah ayahnya.
Selain Encik Faisal dan Cik Nurulhuda, Allahyarham mempunyai satu lagi anak, Cik Nur Liyana Sulaiman.
Encik Faisal, Cik Nurulhuda dan Cik Nur Liyana berkongsi ayah sama, tetapi tidak berkongsi ibu sama.
Hanya Cik Nurulhuda dan Cik Nur Liyana berkongsi ibu sama.
Menurut laman web Mahkamah Syariah, faraid dikenali sebagai undang-undang Islam berkaitan pembahagian harta pusaka.
Ia turut menyatakan faraid “melibatkan pengagihan harta pusaka seseorang yang telah meninggal” kepada waris-warisnya.
Ini bermakna Encik Faisal, sebagai anak kepada Allahyarham daripada perkahwinan terdahulu, merupakan waris yang sah dan bahagiannya perlu diambil kira sebelum harta pusaka boleh diuruskan.
Laman web Mahkamah Singapura (SG Courts) menyatakan bahawa apabila seseorang meninggal dunia tanpa wasiat, Surat Pentadbiran (LA) diperlukan untuk memberi kuasa kepada seseorang bagi mengurus dan membahagikan harta pusaka, termasuk hartanah seperti flat HDB.
“Kami tidak ada sebarang gambar atau maklumat mengenai abang tiri saya.
“Ini menyukarkan keluarga kami untuk meneruskan proses kerana haknya tidak boleh diketepikan,” jelas Cik Nurulhuda.
Menurut Cik Nurulhuda, seorang penganalisis operasi rantaian bekalan, usaha mendapatkan bantuan melalui saluran rasmi setakat ini tidak berhasil.
“Polis tidak dapat membantu kerana kes itu tidak diklasifikasikan sebagai kes orang hilang,” terangnya.
Menurut beliau, keluarganya juga telah membuat permohonan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk mendapatkan sijil kelahiran abang tirinya, namun tidak berjaya.
Dalam balasan e-mel daripada ICA kepada keluarganya yang dilihat oleh BH, badan itu berkata mereka memerlukan kebenaran daripada Encik Faisal terlebih dahulu.
“Keperluan kebenaran disediakan untuk melindungi privasi dan kepentingan pemegang sijil kelahiran,” tulis ICA.
Cik Nurulhuda berkata ini menjadi penghalang bagi keluarganya untuk mendapatkan butiran abang tirinya.
Dalam e-mel tersebut, ICA turut menasihatkan keluarganya supaya meneroka saluran lain untuk menjejaki atau menghubungi Encik Faisal.
Dalam usaha meluaskan pencarian, Cik Nurulhuda memuat naik satu hantaran ke media sosial dalam kumpulan Facebook ‘Missing & Found People (Singapore)’ pada 8 April.
Menerusi hantarannya, Cik Nurulhuda meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki Encik Faisal, serta menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat agar menghubunginya secara langsung.
Pada 8 April juga, keluarga Cik Nurulhuda memfailkan notis pemberitahuan atau ‘citation’ di akhbar The Straits Times (ST).
Menurut pengarah urusan dan peguam di firma guaman Shehzhadee Law Corporation, Cik Shehzhadee Abdul Rahman, notis pemberitahuan ialah dokumen mahkamah yang dibawa kepada perhatian individu yang berkaitan.
Perunding dan peguam di Shehzhadee Law Corporation, Encik Abdul Aziz Abdul Rashid, berkata ‘citation’ itu bertujuan mengesan dan memaklumkan waris yang tidak dapat dihubungi mengenai urusan pentadbiran harta pusaka.
Tambah beliau, notis pemberitahuan tersebut juga memberi peluang kepadanya untuk tampil atau membalas dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jika si waris tidak membalas notis pemberitahuan itu, mahkamah akan membenarkan pemohon ‘citation’ (yang dalam kes ini merupakan Cik Nur Liyana) untuk meneruskan permohonan untuk menjadi pentadbir penjualan flat itu,” jelas Encik Abdul Aziz.
Namun begitu, Cik Nurulhuda berkata meskipun mereka dapat permohonan LA, bahagian faraid tetap milik abang tirinya dan mereka “tidak berhak menggunakannya” dan oleh itu mereka “masih mencari abang tirinya”.
Menukil Seksyen 35 Akta Pemindahhakkan dan Undang-undang Hartanah (CLPA), Cik Shehzhadee berkata flat harus dijual dalam tempoh enam tahun selepas pemergian pemilik.
“Saya berpendapat bahawa rasional tempoh enam tahun itu adalah untuk memberi masa kepada para waris membuat penyesuaian, termasuk menjual harta.
“Tetapi pada masa yang sama, mereka tak boleh mengambil terlalu lama kerana terdapat kemungkinan sebahagian waris meninggal dunia dalam tempoh tersebut,” kongsi Cik Shehzhadee.
