Pelbagai cara boleh dimanfaatkan masyarakat Melayu/Islam Singapura untuk membuat perancangan harta atau warisan mereka bagi memastikan, bukan sahaja waris – penerima langsung faraid – malah mereka yang bukan penerima langsung faraid, juga boleh mendapat manfaat.
Dalam satu wawancara video-siar atau ‘vodcast’ Temu Bual Berita Harian (tBH), Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Shamsul Hadi Jangarodin, berkata langkah pertama adalah untuk mengenal pasti siapa penerima langsung di bawah hukum faraid.
“Kalau kita tak rancang semasa kita hidup, bila kita mati, orang lain yang rancangkan untuk kita. Tak semestinya orang lain yang rancang itu akan ikut apa yang kita kehendaki semasa kita hidup. Itu menjadi satu masalah,” kata Encik Shamsul Hadi.
Untuk mengenal pasti siapa penerima langsung mereka di bawah hukum faraid, Encik Shamsul Hadi berkata ini dapat ditentukan dengan mudah secara dalam talian melalui Kalkulator Warisan atau Inheritance Calculator yang telah dibangunkan Mahkamah Syariah.
“Pertama sekali, kita harus tahu siapa penerima kita yang berhak menerusi faraid. Kalau kita dah berkahwin, anak, isteri dan ibu bapa masih ada hak ke atas harta kita. Jadi kita tahu siapa yang berhak menerima.
“Kedua, biasanya kita akan nasihatkan mereka buat pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), sebab ini percuma, ia mudah, dalam masa lima minit awak dah selesai,” kata Encik Shamsul Hadi.
Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Muis pada 2010, pencalonan CPF untuk orang Islam Singapura adalah satu bentuk hibah atau hadiah yang sah, yang harus mereka pertimbangkan semasa merancang warisan mereka.
Wang simpanan CPF yang telah dicalonkan tidak akan diagihkan semula mengikut faraid.
Namun, bagi masyarakat Islam yang lebih cenderung menuruti undang-undang faraid, mereka masih digalakkan untuk membuat pencalonan CPF, dengan menamakan sebagai calon waris faraid dan menetapkan peruntukan yang ingin diberi kepada mereka.
Lembaga CPF berkata, ini dapat mempermudahkan pewaris untuk melangkau proses pewarisan di bawah Mahkamah Syariah dan Pemegang Amanah Awam, lantas menjimatkan yuran pentadbiran.
Selain pencalonan CPF, Encik Shamsul Hadi berkata, masyarakat Melayu/Islam juga perlu menimbangkan membuat pencalonan insurans, menerusi pembekal insurans masing-masing, untuk menentukan siapakah yang menerima hasil wang insurans mereka selepas mereka mati.
Peguam dan rakan kongsi, Eldan Law LLP, Encik Imran Rahim, berkata masyarakat Islam juga harus sedar bagaimana pemilikan rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka boleh terjejas jika pemilik meninggal dunia.
Beliau berkata ini bergantung sama ada mereka telah membuat pemilikan rumah secara hak milik bersama (joint tenancy) atau hak milik berasingan (tenancy-in-common).
“Kalau joint tenancy, kalau apa-apa terjadi kepada satu pemilik, contohnya suami, pemilik kedua yang masih hidup, contohnya si isteri, akan menjadi pemilik tunggal.
“Tenancy-in-common pula, kalau si suami mati, bahagian pemiliknya, kononnya 50 peratus, akan terjejas dan harus dibahagikan mengikut faraid atau wadah-wadah lain seperti wasiat,” kata Encik Imran.
Bagi keluarga yang mempunyai anggota berkeperluan khas (PSN), mereka juga boleh menimbang untuk memohon Skim Amanah Keperluan Khas Muis (SNTS), sebuah tabung amanah yang melindungi kesejahteraan dan keperluan jangka panjang PSN apabila penjaga mereka tiada lagi.
“Kalau ada anak istimewa, kita ada SNTS di mana kita letakkan sedikit wang ke dalam dana itu. Kalau kita meninggal, wang daripada SNTS itu akan diagihkan untuk membantu anak kita yang kurang upaya atau istimewa.
“Sebab mungkin peruntukan di bawah faraid tidak mencukupi. Jadi ada banyak instrumen lain yang boleh dipertimbangkan selain faraid,” kata Encik Shamsul Hadi.
SNTS, yang merupakan kerjasama antara Muis dengan Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC), bertujuan menyediakan sokongan kewangan untuk keluarga yang mempunyai PSN, dan memastikan wang untuk PSN dilindungi dan pemegang amanah akan menguruskan wang untuk menyediakan keperluan hidup mereka.
Di bawah skim itu, Muis akan menaja sehingga $10,000 bagi setiap PSN untuk menyediakan akaun amanah SNTC, di mana $5,000 akan menampung modal permulaan untuk menubuhkan amanah itu, dan jumlah baki sehingga $5,000 akan dikeluarkan kemudian pada asas sumbangan yang sepadan.
Dalam isu perancangan harta pula, Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata masyarakat juga harus membuat wasiat, dan tidak boleh hanya bersandarkan kepada pengagihan melalui faraid.
Menurut tinjauan yang dilakukan Muis pada Februari 2023, sebanyak 64 peratus daripada 150 yang ditinjau tidak tahu tentang cara-cara perancangan harta selain faraid.
Tinjauan tersebut turut menunjukkan bahawa 59 peratus tidak sedar bahawa pewaris dalam wasiat tidak boleh disertakan sebagai penerima faraid, manakala 41 peratus tidak sedar mereka hanya boleh mewasiatkan sebanyak sepertiga sahaja harta mereka melalui wasiat.
Contohnya, si suami tidak boleh menyenaraikan nama isteri di dalam wasiatnya kerana mengikut hukum faraid, si isteri mempunyai peruntukannya sendiri, umpamanya satu per lapan harta si suami, jika mereka mempunyai anak, sekiranya si suami meninggal dunia.
Sekiranya si suami ingin memberi lebihan hartanya kepada si isteri, beliau masih boleh melakukannya semasa hidup menerusi hibah, dan bukan menerusi instrumen wasiat.
“Wasiat tak diberikan kepada ahli waris di bawah faraid dan wasiat tu maksimumnya satu pertiga sahaja (jika kita ingin berikan kepada golongan yang bukan di bawah senarai faraid),” kata Ustaz Fathurrahman.
Encik Imran berkata, dalam menyediakan wasiat, amat penting untuk seseorang itu mendapat nasihat daripada peguam untuk memastikan harta dan hak mereka dikenal pasti dengan terperinci untuk elak daripada sebarang salah faham.
Beliau berkata, masyarakat juga tidak harus takut dengan kos guaman kerana kosnya tidak setinggi dengan perbelanjaan yang harus dikeluarkan sekiranya wasiat tidak dilakukan dengan betul.
“Contohnya, mungkin kita bayar $600 untuk buat wasiat. Tapi kalau kita tak buat wasiat, kemudian ahli keluarga bergaduh dan harus pergi ke mahkamah.
“Mereka harus belanja beribu-ribu dolar jika mereka ingin membuat permohonan kepada mahkamah untuk ditentukan. Bukan kos sahaja, ia juga mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan,” kata Encik Imran.
Masyarakat Islam juga boleh melakukan hibah, iaitu pemberian dalam bentuk fizikal seperti wang tunai atau harta yang diberikan semasa mereka masih hidup dan sihat akalnya, atau Surat Ikatan atau deed, yang membenarkan penerima yang disebut dalam wasiat untuk mengalihkan warisan mereka kepada orang yang dipilih.
“Kalau kita nak memberikan sesuatu semasa hidup dan ada persetujuan di antara semua ahli keluarga hendak berikan berapa, maka ia boleh dilakukan.
“Tapi jika ingin memastikan ada ikatan undang-undang bagi perjanjian itu, maka individu atau keluarga tersebut mungkin boleh mendapatkan nasihat peguam kerana itu adalah dokumen yang sah,” kata Ustaz Fathurrahman.
Orang ramai juga digalakkan membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Penjagaan Awal (ACP) untuk mempersiapkan diri sekiranya mereka telah kehilangan daya untuk membuat keputusan penting bagi kehidupan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg