Video majlis perkahwinan Cina di kolong blok menjadi tular di TikTok selepas pengguna ‘LadyXmax’ memuat naik video memaparkan hiasan majlis tersebut di kawasan perumahannya yang terletak di Bukit Panjang.

Ramai dalam kalangan netizen menyifatkan suasana itu sebagai sesuatu yang jarang dilihat pada hari ini, memandangkan majlis perkahwinan di kolong blok sering dikaitkan dengan bangsa Melayu.

Justeru ramai yang meluahkan rasa terkejut melihat pengantin memilih untuk mengadakan majlis serupa gaya masyarakat Melayu.

Video tersebut meraih sebanyak 131,900 juta tontonan dengan beberapa netizen meluahkan harapan untuk melihat lebih banyak lagi acara seperti ini di kolong blok mereka.

Antara yang meninggalkan komen ialah pengguna ‘deekayninenine’.

“Kita perlu membiasakan majlis perkahwinan Cina di kolong blok,” katanya.

Pengguna ‘user2965584986266’ pula berkata:

“Jarang sekali melihat majlis perkahwinan masyarakat Cina di kolong blok. Ini satu pemandangan yang agak unik. Saya rindu suasana majlis kahwin di kolong blok.”

Malah, perhatian terhadap majlis itu terus meningkat selepas seorang tetamu yang hadir turut memuat naik video pengalamannya menghadiri acara berkenaan.

Tetamu yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Sheryl berkata beliau menghadiri majlis perkahwinan rakan bapanya, Encik Goo, pada 23 Mei lalu.

“Ini merupakan kali pertama seumur hidup saya menghadiri majlis di bawah blok. Kata ibu, majlis seperti ini lebih popular pada zaman 80an,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Goo, yang enggan mendedahkan nama penuhnya, pula berkata:

“Kami mengadakan majlis di kolong blok kerana ibu saya sudah lama tinggal di sini (Bukit Panjang) sejak 1988. Kebanyakan tetamunya terdiri daripada jiran serta warga emas yang menetap di kawasan ini.

“Jadi kami mahukan lokasi yang mudah dan dekat untuk mereka.”

Meskipun ramai di ruang komen berkata kos untuk majlis di kolong blok murah, Encik Goo berkata ia mencecah hampir $30,000 bagi majlisnya.

Ketika dihubungi, Cik Sheryl juga berkata suasana majlis itu jauh beza berbanding majlis hotel yang lebih formal dan tersusun.

Hiasannya lebih sederhana, manakala kebanyakan tetamu hadir dengan pakaian kasual berbanding busana formal.

Pasangan pengantin juga tidak membuat perarakan masuk khas, sebaliknya sudah berada di lokasi sejak awal majlis untuk menyambut tetamu.

Hidangan yang disediakan pula merupakan menu hidangan berperingkat tradisional Cina merangkumi gabungan sajian panas dan sejuk, sup ayam abalon, ikan serta pencuci mulut.

Pasangan pengantin turut mengupah kugiran secara langsung bagi memeriahkan suasana sepanjang acara.

“Suasana majlis di kolong blok juga terasa lebih santai dan mesra kerana pasangan pengantin mempunyai lebih banyak masa untuk beramah mesra dengan tetamu berbanding majlis hotel yang biasanya padat dengan jadual acara seperti sesi memotong kek atau aturan acara yang tetap,” tambah Cik Sheryl, 27 tahun.

Walaupun majlis diadakan di ruang terbuka, beliau berkata keadaan cuaca agak nyaman kerana hujan turun menjelang penghujung acara selain kipas turut disediakan di sekitar kawasan majlis.

Ruang komen di TikTok Cik Sheryl turut dibanjiri dengan komen di mana ramai menganggap majlis ini membawa balik kenangan nostalgia kampung.

“Pasangan yang tidak terlalu mementingkan ego atau ‘air muka’ biasanya adalah yang (hubungannya) paling kuat dan berpanjangan. Tahniah!” kata pengguna ‘drakovinch’.