KUALA LUMPUR: Cinta yang disulam dalam diam akhirnya dimeterai dengan ikatan sah apabila penyampai radio Era, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 36 tahun, memilih untuk bukan sahaja bergelar suami, malah bersedia memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada tiga cahaya mata isterinya, Nur Amirah Shamsulbahrin, yang juga ibu tunggal.

Bagi Radin, amanah itu hadir bersama kasih yang tidak berbelah bahagi, apatah lagi apabila anak-anak Nur Amirah, atau lebih mesra disapa Mira, menerima kehadirannya dengan penuh keterbukaan.

“Saya tidak anggap ini sebagai beban. Ini tanggungjawab yang saya terima dengan hati terbuka dan Mira juga akan bersama saya mengharunginya,” katanya.

Mengulas penerimaan anak-anak terhadap Radin, Mira berkongsi anak-anaknya menyambut kehadiran Radin dengan penuh kegembiraan.

“Mereka sangat seronok kerana Radin penyayang dan mudah menyesuaikan diri dengan keadaan mereka,” katanya.

Apa yang menarik, kisah cinta antara Radin dengan Mira langsung tidak dapat dihidu dan identiti wanita yang bertugas sebagai seorang peguam itu hanya diketahui pada majlis pernikahan berlangsung.

Mengulas lanjut perkara itu, Radin berkata hubungan mereka bukanlah dirahsiakan terlalu lama, sebaliknya dipelihara sehingga tiba masa yang sesuai.

“Bukan rahsia lama pun, lebih kurang setahun kami berkenalan. Kami sepakat untuk tidak terlalu menghebahkan selagi belum ada kepastian.

“Keputusan (rahsiakan hubungan) dibuat secara bersama. Pada fasa ini, saya sendiri beritahu Mira, ini bukan sekadar ‘dating’, tetapi ke arah sesuatu yang lebih serius,” katanya.

Bagi Mira pula, dia tidak pernah berasa hati apabila hubungan mereka tidak diuar-uarkan seperti pasangan lain.

“Saya sentiasa menghormati setiap keputusan Radin selagi tidak bertentangan dengan agama, tidak membelakangkan ibu bapa serta tidak bercanggah dengan adat dan budaya,” ujarnya.

Meski tidak mempamerkan hubungan mereka secara terbuka, namun menurut Radin, mereka menjalani kehidupan seperti pasangan biasa.

“Sejujurnya kami tidaklah berahsia sangat. Kami keluar ‘dating’ seperti biasa, cuma pilih tempat yang tidak terlalu ramai orang, asalkan makanannya sedap,” kongsinya.

Disoal apa yang membuatkan beliau terpikat dengan Mira, Radin, yang juga pemenang trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular BH (APBH) 3.0, itu mengakui tertarik dengan keperibadian yang disifatkan berbeza daripada penampilan luaran.

“Wajahnya nampak sopan dan ayu, tetapi apa yang lebih penting adalah kejujuran serta keikhlasannya bersama saya,” katanya.

Mira pula menyifatkan Radin sebagai lelaki yang baik hati dan sentiasa mengutamakan orang lain.

“Dia sangat baik dengan semua orang dan sentiasa memberi yang terbaik walaupun tidak semestinya menerima perkara sama.

“Itu yang buat dia istimewa pada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Radin tidak dapat menahan sebak apabila mengenang arwah ibu bapanya yang ‘dihadirkan’ secara simbolik iaitu menerusi video hasil janaan kecerdasan buatan (AI) dalam majlis berkenaan.

“Saya memang rapat dengan arwah ibu dan bapa. Memang niat saya mahu mereka ‘ada’ pada hari ini.

“Bukan untuk saya sahaja, malah buat adik-beradik. Walaupun sebak, saya tetap gembira kerana rasa mereka bersama,” katanya.

Radin berkata beliau dan isteri merancang untuk menunaikan umrah sebagai destinasi bulan madu, dijangka selepas musim Haji.

“Saya juga berharap dikurniakan zuriat sendiri suatu hari nanti,” katanya.

Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan itu selamat diijabkabulkan dalam majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah premis acara di Ukay Perdana di sini, pada 1 Mei.

Pada majlis itu, Radin menyerahkan mas kahwin berupa pohon emas bernilai RM15,020.26 kepada pengantin perempuan sebagai simbolik tarikh pernikahan.

Majlis bertemakan putih itu dihadiri kira-kira 500 tetamu, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, selain rakan selebriti seperti Syed Saddiq, Bella Astillah, Erra Fazira dan suami, serta Nabila Razali.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid, Rabbani, dan penyanyi, Anuar Zain.